Pages

Thursday, March 3, 2011

Hosni dirawat di Arab Saudi






KAHERAH - Bercanggah dengan kenyataan-kenyataan rasmi, bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak (gambar) dikatakan sedang menjalani rawatan kanser di Arab Saudi, lapor akhbar Al-Akhbar semalam.
Hosni yang berusia 82 tahun itu berada di sebuah pangkalan tentera di Tabouk, Arab Saudi yang merupakan lokasi beliau menerima rawatan kemoterapi untuk kanser pankreas pada setiap lima hari.
Ahli keluarga ada bersamanya sepanjang rawatan tersebut.
Akhbar itu menyatakan Hosni pergi ke Arab Saudi dua hari selepas beliau meletakkan jawatan.
Beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah selama 18 hari bagi menuntut peletakan jawatannya.
Majlis Tertinggi Pasukan Bersenjata Mesir yang memerintah negara itu selepas peletakan jawatan Hosni dan kedutaan Mesir di Riyadh bagaimanapun menafikan laporan tersebut.
Beberapa media menyatakan Hosni kembali ke pusat peranginan Sharm El-Sheikh, Mesir yang menjadi tempat tinggalnya selepas berundur daripada jawatan presiden. Akhbar Al-Youm al-Sabia melaporkan Hosni dilarang keluar negara dan dia berada di sebuah hopsital di Mesir.
Hosni tidak pernah dilihat selepas beliau meletakkan jawatan pada 11 Februari lalu.
Kediamannya di Sharm el-Sheikh sentiasa dikawal ketat. Terdapat juga laporan media yang menyatakan beliau sibuk melayan tetamunya.
Pendakwa raya terkenal Mesir, Abdel Magid Mahmoud pada Isnin lalu secara rasmi melarang Hosni dan ahli keluarganya meninggalkan negara selain mengarahkan harta bekas pemimpin itu dibekukan sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah.
Hosni pernah memberitahu bahawa beliau mahu meninggal dunia di Mesir. - Agensi

No comments: