Pages

Saturday, January 29, 2011

Perjuangan membebaskan Chechnya






IA bukanlah kejadian pengeboman berani mati pertama di Rusia. Serangan bom di Lapangan Terbang Domodedov, Moscow minggu lalu sehingga mengorbankan 35 orang awam dan mencederakan ramai yang lain hakikatnya adalah satu lagi siri pengeboman dalam sejarah Rusia yang tidak pernah lari dengan isu hak kebebasan dengan militan Chechen itu.
Walaupun ia didakwa dilakukan oleh kumpulan militan dari wilayah Caucasus Utara yang dikerah untuk mengebom ibu negara berkenaan, pihak berkuasa kini turut memburu tiga suspek dari Chechnya yang dipercayai menyediakan pengebom berani mati.
Rusia telah berdepan dengan ancaman kumpulan militan dengan beberapa siri serangan dan pengeboman yang berlaku sejak jatuhnya Kesatuan Soviet.
Kejatuhan Soviet membangkitkan sekelompok pemberontak Chechnya yang menyatakan bahawa mereka adalah pemerintah yang sah.
Mereka mengumumkan parlimen baru dan mengisytiharkan kemerdekaan mereka sebagai Republik Chechnya Ichkeria. Sehingga tahun 2004, kemerdekaan mereka tidak diiktiraf oleh mana-mana negara.
Pengisytiharan tersebut menyebabkan konflik bersenjata di mana kedua-dua belah-belah pihak di antara Chechnya yang merupakan sebuah wilayah di bawah Rusia. Chechnya merupakan wilayah paling ramai warga Islam di Rusia.
Dalam kejadian minggu lalu itu, Presiden Rusia, Dmitry Medvedev mengarahkan kerajaannya menyiasat punca serangan bom di Lapangan Terbang Domodedov termasuk meneliti sama ada ia berpunca daripada kegagalan pihak keselamatan pengangkutan melakukan tugas mereka.
Beliau berkata, pejabat peguam negara dan jawatankuasa penyiasatan Rusia perlu menyiasat pihak bertanggungjawab yang membenarkan pengebom berani mati terlibat berada di kawasan lapangan terbang tanpa dikesan.
"Kita perlu lakukan segala yang mungkin supaya pihak yang mendalangi serangan dikenal pasti, didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan. Mereka perlu dihapuskan," katanya dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen sambil menggesa semakan kesemua rekod penerbangan.

PENINDASAN hak warga Islam di Chechnya dikatakan menjadi faktor kebangkitan pejuang-pejuang Chechen.


Perdana Menteri, Vladimir Putin pula berjanji pengebom yang menyebabkan 35 orang terkorban di lapangan terbang paling sibuk di Rusia itu akan menerima hukuman setimpal.
Kronologi pengeboman Rusia
Tahun 1999 mencatat sejarah hitam buat Rusia apabila pengeboman bersiri dekat apartmen di Buinaksk, Dagestan membunuh 61 orang. Pengeboman tiga buah apartmen lain di Moscow pula membunuh 215 orang dan sembilan yang lain tercedera pada bulan September.
Walaupun pada 2 September, komander militan Ibn Al-Khattab mengumumkan mujahidin Dagestan akan melakukan siri serangan ke beberapa tempat di Rusia, dia menegaskan tidak bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Ekoran kejadian itu, Rusia telah melancarkan Perang Chechen Kedua.
Tahun 1999 turut menyaksikan beberapa siri pengeboman lain antaranya letupan di sebuah pasar di Vlasdikavkaz membunuh 64 orang yang berlaku pada bulan Mac.
Tahun 2002 pula, kira-kira 800 penonton dan para pelakon muzikal Nord Ost dijadikan tebusan. Seramai 129 orang dibunuh selepas polis menyerbu bangunan teater di Moscow pada bulan Oktober.
Kejadian itu juga didakwa dilakukan militan Chechnya yang diketuai oleh Movsar Barayev. Mereka menahan tebusan dan mahukan tentera Rusia berundur dari Chechnya dan menamatkan Perang Chechnya Kedua.
Barayev membuat satu kenyataan kepada media dengan mengatakan mereka sanggup mati di atas tindakan mereka itu. Kenyataan yang diperoleh pihak media antaranya menyebut bahawa Rusia mengambil hak orang Chechnya dan mereka mahu menuntut semula hak itu.
"Allah telah memberikan kami hak kebebasan dan hak menentukan haluan hidup kami. Rusia telah membanjiri tanah kami dengan darah anak-anak kami.
"Penduduk dunia tidak mempedulikan orang yang tidak bersalah yang mati di Chechnya, para sheikh, wanita, kanak-kanak dan golongan yang lemah," kata Barayev.
Menurutnya lagi, mereka memilih untuk mati dengan berperang demi kemerdekaan Chechnya dengan membawa bersama ratusan nyawa manusia berdosa Rusia.
"Sekiranya kami mati, akan ada ramai lagi yang akan mengikut langkah kami yang sanggup mengorbankan nyawa mereka di jalan Allah. Para pejuang kami telah mati tetapi orang mengatakan para pejuang ini sebagai pengganas dan penjenayah.

SEBUAH masjid di Grozny bermandi limpahan cahaya bunga api sempena sambutan Maulidurrasul.


"Hakikatnya Rusia adalah penjenayah sebenar," katanya.
Sasar stesen Metro
Pada tahun 2004, stesen kereta api Metro di Moscow menyaksikan satu letupan yang membunuh 40 orang awam. Putin menuduh militan Chechen di atas kejadian itu, tetapi ketua pemberontak Chechen mengaku tidak terbabit.
Tetapi, kumpulan pengganas Chechen yang tidak dikenali mengaku bertanggungjawab ke atas letupan itu. Mereka memanggil diri mereka sebagai Gazoton Murdash dan diarahkan oleh Lom-Ali.
Menurut kenyataan itu, kumpulan tersebut melancarkan serangan sebagai simbol ulang tahun keempat pembunuhan orang awam Chechen oleh askar Rusia di Grozny dalam pembunuhan beramai-ramai.
Bulan November tahun 2009 menyaksikan satu lagi pengeboman di dalam sebuah tren ekspres yang bergerak antara stesen Moscow dan St. Petersburg membunuh 27 orang dan lebih 100 yang lain cedera.
Kejadian membabitkan stesen kereta api Moscow berlaku lagi Mac tahun lalu membabitkan pengebom berani mati wanita pada waktu puncak di stesen tren yang padat di Moscow. Kejadian itu membunuh sekurang-kurangnya 39 orang dan mencederakan ramai penumpang lain.
Pada bulan Oktober pula, seramai empat orang militan Chechen menyerbu bangunan Parlimen Chechnya. Mereka menahan tebusan, menembak mati dua orang polis dan seorang orang awam sebelum empat pejuang tersebut dibunuh oleh anggota-anggota pihak berkuasa.
Peristiwa itu memberi tamparan hebat kepada Rusia yang sebelum ini mendakwa Chechnya sudah kembali stabil selepas kejatuhan Soviet Union.
Konflik tanpa kesudahan
Penindasan agama yang dialami rakyat Chechnya, pembangunan ekonomi yang tidak seimbang, eksploitasi dan kesengsaraan hidup menjadi punca serangan militan. Dan yang pasti ia tidak akan berakhir selagi kerajaan Rusia tidak bertolak ansur terhadap hak yang dituntut mereka.

PEMBUNUHAN Aslan pada tahun 2005 membangkitkan lagi kemarahan penduduk Chechnya.


Demikian pendapat pensyarah politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamad Agus Yusoff.
Katanya kesengsaraan Chechen telah dipadamkan dalam laporan media-media Barat yang menggambarkan mereka sebagai pengganas semata-mata.
"Media Barat sentiasa melaporkan serangan-serangan yang dilakukan militan Chechen tetapi punca serangan itu tidak pernah dilaporkan secara telus dan tidak pernah dibincangkan.
"Oleh itu, selagi mereka tidak memperoleh keadilan yang dituntut, peperangan ini tidak akan menemui penghujungnya," katanya yang menganggap dasar luar Amerika Syarikat (AS) yang tidak adil menjadi punca meletusnya peperangan agama dunia.
Menurut beliau, amalan double-standard yang diamalkan oleh kuasa dunia menyebabkan kebangkitan kumpulan militan daripada satu generasi ke satu generasi lain.
"Kerajaan Rusia mungkin telah membunuh ketua militan Chechen, tetapi ia hanya membangkitkan semangat pejuangnya yang lain. Konflik ini ini tidak akan berakhir kerana pemikiran mereka diwariskan kepada setiap generasi.
"Saya percaya serangan-serangan yang dilakukan bukanlah bertujuan untuk membunuh orang awam sewenang-wenangnya tetapi mereka mahu membuktikan bahawa mereka juga mampu bangkit demi menuntut hak mereka serta keadilan sebagai orang Islam di bumi Rusia," katanya.
kosmo

Misteri piano di pantai Miami selesai




PIANO misteri yang terdapat di beting pasir di Teluk Biscayne, Miami pada Rabu lalu.


MIAMI, Amerika Syarikat – Misteri sebuah piano yang muncul di beting pasir di Teluk Biscayne, Miami yang menarik perhatian dunia akhirnya dapat diselesaikan.
Seorang remaja, Nicholas Harrington memberitahu akhbar Miami Herald bahawa dia melakukan kerja itu dengan bantuan bapanya bagi menghasilkan satu klip video untuk membolehkannya memasuki sebuah sekolah seni di Manhattan.
“Kami memikirkan tentang satu produksi yang besar. Satu muzik video epik,” kata Harrington yang berusia 16 tahun. Piano itu adalah sebahagian daripada siri set televisyen yang direka oleh bapanya dan disimpan di dalam garaj selama bertahun-tahun.
Para pegawai hidupan liar Florida mahu piano itu dibuang dalam tempoh 24 jam.
Jika piano itu tidak dibuang, Harrington dan bapanya akan dikenakan dakwaan membuang sampah merata-rata. – AFP

Kemalangan pelik kereta Volkswagen


KERETA yang dipandu seorang wanita berada dalam keadaan mengiring dalam sebuah lubang di Truro, Britain baru-baru ini.

TRURO – Sebuah kereta Volkswagen Polo berada dalam kedudukan mengiring dalam sebuah lubang sedalam 1.8 meter di sini, Britain selepas pemandunya hilang kawalan ketika hendak membuat pusingan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pemandu wanita itu melanggar susur jalan dan keretanya berada di dalam lubang tersebut di tingkat bawah tanah sebuah bangunan, baru-baru ini.
Namun, pemandu berkenaan yang merupakan seorang guru berusia 25 tahun, tidak cedera dalam kejadian itu.
Keretanya kemudian dikeluarkan dengan menggunakan sebuah kren. – Agens-kosmo

Mesir tutup Internet, telefon bimbit




POLIS antirusuhan menggunakan penyembur air bagi menyuraikan penunjuk perasaan di Kaherah, Mesir semalam.


KAHERAH - Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat.
Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut walaupun terdapat amaran bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk mematahkan gelombang kebangkitan itu.
Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.
Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran bahawa keganasan bukan penyelesaian di Mesir.
Obama turut meminta kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan menggesa Hosni agar melakukan perubahan politik.
"Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi," kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.
Demonstrasi itu mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.
Setakat ini, lima penunjuk perasaan dan dua anggota polis terbunuh di Mesir manakala 100 yang lain cedera.
Seorang pegawai keselamatan memberitahu kira-kira 1,000 orang telah ditahan sejak tunjuk perasaan bermula pada Selasa lalu.
Para aktivis menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah.
Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi.
Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari.
Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. - Agensi

5 Sahabat menyaksikan Rasulullah SAW membelah bulan 2 kali


http://t2.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcRilCJ6C2ulPyamF4M8Wb228nOzxgGckV2txNvUZBQ_euLnHzWB
Surah Al-Qamar
54:1
Sahih International
The Hour has come near, and the moon has split [in two].
Malay
Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.
5 Sahabat yang menyaksi Rasulullah SAW membelah bulan di Arafah dan Mina adalah :
1-Abdullah bin Masud.
2-Abdullah bin Abbas.
3-Abdullah bin Omar.
4-Anas bin Malik.
5-Jubair bin Mat’am.

Friday, January 28, 2011

Lelaki minta bantuan polis elak isteri kuat seks


BERLIN: Bosan kerana sering diminta memuaskan nafsu isteri, seorang lelaki terdesak meminta tolong kepada polis supaya melindunginya daripada wanita terbabit, kata pegawai keselamatan semalam.
Jurucakap polis berkata, lelaki keturunan Turki - tetapi bermastautin di Jerman - itu pergi ke sebuah balai polis di barat daya Jerman pada Selasa untuk mengadu masalahnya.

Kata jurucakap itu, lelaki terbabit bosan kerana terpaksa tidur di sofa rumah mereka sejak empat tahun lalu bagi menghindari isterinya.

“Semuanya gara-gara si isteri yang selalu menuntut mengadakan hubungan seks,” katanya.

Hasil perkahwinan mereka sejak 18 tahun lalu, pasangan itu dikurniakan dua anak.

Kata jurucakap polis, lelaki itu nekad mahu bercerai dan keluar dari rumahnya dengan harapan dapat hidup lebih aman.

“Lelaki terbabit meminta polis melindunginya untuk sementara kerana dia perlukan tidur yang cukup,” katanya. - AFP

Macam-macam: Makanan mampu jadi punca kemurungan





2011/01/28

WASHINGTON: Memakan makanan yang tinggi lemak-trans atau lemak tepu akan meningkatkan risiko kemurungan, kata satu kajian semalam, mengesahkan penyelidikan sebelum ini mengaitkan 'makanan tidak berkhasiat' dengan penyakit berkenaan. 

Penulis kajian dari universiti Navarra dan Las Palmas de Gran Canaria mengikuti dan menganalisa diet dan cara hidup lebih 12,000 sukarelawan selama enam tahun.
Apabila kajian bermula, tiada peserta dikesan dengan depresi tetapi akhir kajian 657 orang mengalaminya.
“Peserta menggunakan lemak trans tinggi (lemak hadir dalam bentuk bukan semula jadi dari penghasilan pastri dan makanan segera) mewakili lebih 48 peratus meningkatnya risiko kemurungan,” kata ketua kajian. – AFP 

Gunung Bromo mula muntah debu





2011/01/28

SEORANG penduduk lalu dekat gunung berapi Bromo yang memuntah debu di Probolinggo,  Jawa Timur.
SEORANG penduduk lalu dekat gunung berapi Bromo yang memuntah debu di Probolinggo, Jawa Timur.
Syarikat penerbangan antarabangsa terpaksa batal pesawat ke Bali elak bahaya 

JAKARTA: Beberapa penerbangan antarabangsa dari dan ke pulau pelancongan Bali terpaksa membatalkan atau melencongkan penerbangan untuk mengelak bahaya debu gunung berapi Indonesia.
Debu gunung berapi Bromo, satu tempat yang menjadi tarikan popular di wilayah Jawa Timur itu, merebak ke pulau popular berkenaan yang popular bagi pelancong asing dan peluncur.
“Kami menerima maklumat dari Darwin debu gunung Bromo mencecah 5,500 meter dari arah tenggara dan menjejaskan beberapa bahagian di Bali,” kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Bambang Ervan. 

“Sebagai langkah berjaga-jaga, kami menghantar maklumat dan memberi amaran kepada kepada semua syarikat penerbangan mengenai keadaan debu itu supaya krew udara mereka dapat mengelak melalui kawasan terjejas,” katanya. 

Pihak berkuasa penerbangan Indonesia terus memantau keadaan tetapi tidak bercadang untuk menutup sementara lapangan terbang, katanya. 

“Lapangan terbang masih dibuka, beberapa pesawat masih lagi mendarat. Kami memeriksa bagaimana situasi dan betapa buruknya keadaan sebelum membuat keputusan untuk mengambil langkah seterusnya,” kata Ervan. 
Syarikat penerbangan Australia, Jetstar dan Virgin Blue terpaksa melencongkan penerbangan ke Bali dari Perth, Sydney dan Brisbane berikutan amaran berkenaan, kata jurucakap lapangan terbang Bali, Sherly Yunita. 

Sementara itu, syarikat penerbangan Cathay Pacific dari Hong Kong, pula terpaksa mengambil langkah sama berikutan debu gunung berapi boleh mengancam keselamatan pesawat. 

Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain yang meninggalkan Bali semalam terpaksa membatalkan penerbangan, katanya. 

Penerbangan domestik dari dan ke pulau terbabit bagaimanapun tidak terjejas, lapor pengurus lapangan terbang, Heru Legowo. – AFP
bharian

Gelombang rakyat Yaman pula bermula



PENUNJUK perasaan Yaman melaungkan slogan dan mengibarkan bendera ketika membantah.
PENUNJUK perasaan Yaman melaungkan slogan dan mengibarkan bendera ketika membantah.


Tuntut pemerintah berundur, ugut tak mahu lanjut penggal Algeria, Tunisia

SANAA: Beribu-ribu penduduk Yaman melakukan demonstrasi di ibu negara semalam, menggesa Presiden Ali Abdullah Saleh supaya melepaskan kuasa selepas berkuasa sejak 1978.
“Cukuplah berkuasa (lebih) 30 tahun,” laung penunjuk persaan dalam demonstrasi yang diadakan di empat lokasi berbeza di Sanaa.
Mereka juga merujuk kepada Presiden Tunisia yang digulingkan, Zine El Abidine Ben Ali kerana menyerah kuasa selepas lebih 20 tahun memerintah.

“Kami bantah melanjutkan (penggal presiden). Kami kata tidak jawatan diberi kepada waris,” laung mereka sambil menegaskan sudah masanya ‘masa untuk berubah.”

“Teruskan Common Forum. Ia masa untuk berubah,” tulis kain rentang dibawa penunjuk perasaan, merujuk kepada penentang kerajaan.

Aktivis Common Forum berkata, demonstrasi yang diadakan di empat lokasi berbeza itu bertujuan untuk menyukarkan pasukan keselamatan. Satu daripada kawasan yang dipilih adalah di luar Universiti Sanaa.
Kongres Rakyat Umum pemerintah diterajui Abdullah pula menganjurkan empat demonstrasi dihadiri beribu-ribu penyokong kerajaan.

“Tidak kepada penggulingan demokrasi dan perlembagaan,” kata penyokong presiden yang tertulis pada kain rentang mereka.

Sabtu lalu, beratus-ratus pelajar Universiti Sanaa mengadakan bantahan balas di kampus dengan ada di antara mereka menggesa Abdullah meletak jawatan.

Saleh menjadi presiden sejak beberapa dekad, dipilih semula September 2006 dengan mandat selama tujuh tahun.

Satu draf pindaan perlembagaan sedang dibincangkan di parlimen walaupun bantahan pembangkang itu, yang jika diluluskan akan membenarkan beliau terus berkuasa sepanjang hayat.

Di KAHERAH, polis menahan sekurang-kurangnya 1,000 orang dalam masa dua hari pertempuran di jalanan, ketika aktivis berikrar untuk meningkatkan bantahan dalam kebangkitan terbesar negara itu selama 30 tahun.

Enam terbunuh dalam bantahan menentang pemerintah Presiden Hosni Mubarak yang tercetus daripada protes di Tunisia, mencetuskan gelombang mengejut di rantau berkenaan dan memaksa Washington merangsang sekutunya dalam perubahan demokratik berkenaan. – AFP
-bharian

Volkswagen cipta kereta paling jimat minyak




KERETA Volkswagen XL1 dipamerkan kepada orang ramai di Doha, Qatar malam kelmarin.


DOHA - Pengeluar kereta terkemuka Eropah, Volkswagen mempamerkan kereta paling jimat minyak di dunia dalam Pertunjukan Kereta Qatar malam kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Kereta itu mampu bergerak sejauh 504 kilometer dengan hanya menggunakan 3.78 liter minyak diesel.
Dikenali sebagai XL1 Super Efficient Vehicle, ia cuma mengeluarkan 38 gram gas karbon dioksida bagi setiap 1.6 kilometer dan bakal menjadi pilihan kepada golongan yang mementingkan alam sekitar.
Kereta itu menggunakan enjin diesel TDI dua silinder bersesaran 800cc yang disambungkan dengan satu motor elektrik.
Kereta kompak dua tempat duduk itu hanya seberat 795 kilogram dan dibina menggunakan polimer gentian karbon yang diperkuatkan.
Ia memiliki kelajuan maksimum 159 kilometer sejam (km/j).
Bakal dijual pada tahun 2013, XL1 hanya sepanjang kurang empat meter, sama panjangnya dengan model Volkswagen Polo dan setinggi 1.18 meter.
Pengerusi Volkswagen, Dr Martin Winterhorn menyatakan XL1 akan mula dijual di Britain dan Jerman pada harga yang berpatutan.
Bagi mengurangkan beratnya, XL1 menggunakan material yang ringan seperti magnesium pada rodanya, brek cakera seramik dan aluminium untuk komponen penyerap hentak, sistem stereng serta angkup brek. - Agensi

UFO dirakam dekat lingkaran misteri




Bulatan misteri di kawasan sawah padi terletak dekat dengan gambar objek terbang tidak dikenali itu dirakamkan.


YOGYAKARTA – Seorang pegawai pentadbiran negeri di Gunung Kidul, di sini merakamkan gambar ojek terbang tidak dikenali (UFO) di Bukit Patuk tujuh kilometer dari penemuan lingkaran misteri di sebuah kawasan sawah padi di Sleman, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Pegawai itu, Kidul Didit Widiatmoko mengaku merakamkan gambar itu pada 16 Januari lalu pada pukul 1.20 petang beberapa hari sebelum lingkaran misteri ditemui di Sleman pada Ahad lalu.
Satu lagi lingkaran misteri turut ditemui di Bantul dekat Sleman pada Selasa lalu.
Dia menyedari terdapat objek aneh pada gambarnya semasa proses memindahkan gambar tersebut dari kameranya ke komputer.
“Saya baru menunjukkan foto itu kepada teman-teman setelah ada berita tentang jejak lingkaran misteri itu,” ujar Kidul.
Gambar itu dirakamkan semasa dia dan isterinya berehat di Bukit Patuk.
Objek yang dirakamkan itu seperti titik berwarna hitam.
Sementara itu, seorang ahli nujum, Yohana Lestari berusia 40 tahun menyatakan lingkaran misteri itu memang perbuatan dari UFO.
Bagaimanapun, katanya, bentuk lingkaran itu terjadi kerana terdapat sejenis alat UFO yang mencari kawasan memiliki sumber tenaga baru.
Yohana berkata, UFO tidak datang ke kawasan itu tetapi terdapat sejenis alat yang tidak dapat dilihat pergi ke kawasan tersebut tetapi cara ia bekerja adalah seperti kuasa magnet.
Dalam perkembangan yang sama, polis masih melakukan soal siasat ke atas tujuh pemilik petak sawah yang mengandungi lingkaran itu bagi mencari penunjuk siapa yang mendalanginya.
Salah seorang daripada pemilik sawah itu, Jumadi menyatakan, dia tidak melihat cahaya yang mencurigakan pada malam Sabtu lalu dan mustahil bagi manusia untuk membuat lingkaran misteri itu.
Sebelum ini terdapat dakwaan bahawa pelajar Fakulti Matematik dan Ilmu Pengetahuan Alam Universiti Gajah Mada yang membuat lingkaran itu namun, sehingga semalam tiada pengakuan daripada pelajar itu dibuat mengenai kejadian aneh tersebut. – Agensi

Bangkai anjing dalam bongkah ais




BANGKAI seekor anjing terdapat dalam sebuah bongkah ais yang diletakkan di depan rumah seorang lelaki di Dawson Creek, Kanada pada 15 Januari lalu.


DAWSON CREEK - Pihak berkuasa Kanada melakukan siasatan berhubung bangkai seekor anjing yang dibekukan di dalam sebuah bongkah ais, lapor sebuah akhbar semalam.
Bangkai anjing itu ditemui oleh seorang lelaki apabila ia diletakkan di halaman rumahnya pada 15 Januari lalu.
Lelaki berkenaan yang tidak membela sebarang haiwan peliharaan itu memberitahu pihak berkuasa bahawa dia tidak mengetahui bagaimana bongkah ais itu berada di hadapan rumahnya di sini.
Jurucakap Persatuan Perlindungan Haiwan British Columbia, Marcie Moriarty memberitahu: "Ia sebuah kes yang ganjil dan menyedihkan. Dalam blok ais itu terdapat bangkai seekor anjing hitam."
Moriarty menjelaskan kepada akhbar Vancouver Sun bahawa siasatan awal menunjukkan bahawa haiwan itu telah mati sebelum bangkainya dibekukan. - Agensi

Badan bertukar biru selepas berenang di tasik




TUBUH seorang lelaki bertukar menjadi biru di Tasik Gippsland, Australia baru-baru ini.


VICTORIA, Australia - Sekumpulan individu yang berenang pada waktu malam di Tasik Gippsland, baru-baru ini terkejut apabila tubuh mereka menjadi biru, lapor sebuah akhbar kelmarin.
"Ia kelihatan seperti kami bermain dengan cat radioaktif," kata seorang jurugambar, Phil Hart yang merakamkan gambar pelik itu apabila dia dan rakannya selesai berenang di sebuah tasik.
Cahaya itu terbentuk oleh satu tindak balas kimia apabila kehidupan mikro organisma yang hidup secara semula jadi di dalam air diganggu.
Kombinasi kebakaran hutan dan banjir dipercayai menyebabkan tahap nutrien di dalam tasik itu bertambah. "Saya rasa bertuah kerana diberi peluang untuk melihat fenomena ini," kata Phil. - Agensi

Gorila jantan berjalan seperti manusia



GORILA bernama Ambam berdiri seperti manusia.


KENT, England - Seekor gorila jantan seberat 220 kilogram di taman haiwan Port Lympne yang boleh berjalan seperti manusia telah menarik perhatian ramai, lapor sebuah akhbar semalam.
Gorila yang diberi nama Ambam menjadi sensasi di laman web YouTube.
Pada kebiasaannya gorila berjalan dengan menggunakan kaki dan tangannya.
Rakaman itu menunjukkan Ambam yang berumur 21 tahun berjalan seperti manusia dengan menghayunkan kedua-dua tangan untuk mengimbangi badannya.
Penjaga haiwan itu sejak 16 tahun lalu, Ingrid Naisby memberitahu: "Ia (gorila itu berjalan) adalah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan gorila tetapi Ambam kerap melakukannya dan ia boleh mengimbangi badannya dengan baik." - Agensi

Anak Presiden Mesir bawa 100 beg




SEORANG penunjuk perasaan melaungkan slogan anti-Presiden Mesir, Hosni Mubarak di Kaherah semalam.


KAHERAH - Seorang anak lelaki Presiden Mesir, Hosni Mubarak melarikan diri ke London dengan membawa 100 bagasi, lapor beberapa buah akhbar semalam.
Anak lelaki Hosni itu, Gamal berusia 48 tahun melarikan diri selepas sjeumlah para penunjuk perasaan yang mendapat ilhan dari kejadian di Tunisia menuntut peletakan jawatan bapanya.
Bapanya telah memerintah Mesir selama 30 tahun selepas kematian Anwar Sadat yang mati ditembak dalam satu majlis ketenteraan.
Gamal kerap dikatakan akan menggantikan bapanya sebagai Presiden Mesir.
Sementara itu, para penunjuk perasaan melakukan protes pada hari ketiga semalam bagi menuntut peletakan jawatan Hosni.
Mereka menuntut peletakan jawatan itu kerana menganggap pemerintahan Hosni dicemari rasuah, penindasan dan masalah penggangguran.
Ekoran perkembangan itu, Parti Demokratik Kebangsaan yang dianggotai Hosni mengadakan mesyuarat semalam untuk menilai situasi di negara tersebut.
Anggota-anggota prodemokrasi yang dikenali sebagai Pergerakan 6 mendesak tunjuk perasaan akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini.
Menurut seorang pegawai keselamatan Mesir, sekurang-kurangnya 1,000 orang ditahan sejak tunjuk perasaan itu bermula pada Selasa lalu.
Sementara itu, pemenang Hadiah Nobel Keamanan dan bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei semalam berkata, beliau bersedia untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta.
Beliau dalam perjalanan pulang ke Kaherah dari Vienna, Austria semalam.
Kehadiran Elbaradei ke Mesir akan memberikan semangat baru ke atas para penunjuk perasaan yang menuntut peletakan jawatan Hosni. - Agensi

Pemberontakan landa Yemen




TAWAKUL Karman yang merupakan aktivis hak asasi manusia dan anggota sebuah parti pembangkang Yemen turut serta dalam tunjuk perasaan di Sanaa mendesak Presiden negara itu berundur, kelmarin. - REUTERS


SANAA 27 Jan. - Beribu-ribu rakyat Yemen menunjuk perasaan di ibu negara ini hari ini mendesak Presiden Ali Abdullah Saleh meletakkan jawatan setelah memegang kuasa sejak 1978.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan antikerajaan dan menyebut tentang penyingkiran Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali baru-baru ini.
"Memegang kuasa selama lebih 30 tahun sudah cukup," laung penunjuk perasaan dalam demonstrasi anjuran pembangkang Forum Bersama di empat lokasi di sini.
Kata mereka, Ben Ali tersingkir selepas hanya 20 tahun.
"Forum Bersama teruskan perjuangan. Sudah tiba masa untuk perubahan," menurut sepanduk yang dibawa dalam protes itu.
Seorang aktivis Forum Bersama berkata, demonstrasi itu diadakan di empat lokasi berbeza di ibu negara dengan tujuan untuk mengalihkan perhatian pasukan keselamatan.
Satu kawasan yang dipilih ialah di luar Universiti Sanaa.
Sabtu lalu, ratusan pelajar universiti itu mengadakan dua protes berasingan di kampus, dengan satu kem menuntut Saleh berundur manakala satu lagi mahu beliau mempertahankan jawatannya.
Penganjur protes hari ini menggesa pelajar dan pertubuhan sivil menunjuk perasaan menentang rasuah dan dasar ekonomi.
Rakyat Yemen merungut mengenai kadar kemiskinan yang semakin meningkat di kalangan penduduk yang makin bertambah dan kekecewaan dengan ketiadaan hak bersuara dalam politik di negara ini.
Seorang aktivis hak asasi yang juga anggota parti Islah iaitu parti pembangkang Yemen, Tawakul Karman dilihat menyertai tunjuk perasaan semalam, dua hari selepas dibebaskan.
Wanita itu ditahan Ahad lalu kerana mengetuai bantahan terhadap presiden Yemen dan dibebaskan dengan jaminan keluarganya pada Isnin lalu. - AFP

Akankah Tunisia Menjadi Keping Domino yang Pertama?


Dari Blog Jalan Telawi
Oleh Anwar Ibrahim
Awal bulan ini, warga Tunisia telah berjaya menyingkirkan presiden mereka menerusi satu revolusi popular yang pertama dalam sejarah moden negara-negara Arab. Kepantasan revolusi ini merebak semestinya memberikan isyarat jelas kepada negara-negara Muslim lain yang masih lagi tegar mempertahankan kerajaan otokratik dan diktator.
Jangka hayat panjang rejim sebegini dijamin menerusi keupayaannya dalam menekan suara-suara bantahan dengan jentera-jentera kerajaan yang dikawal, terutamanya institusi ketenteraan. Apa yang berlaku di Tunisia menzahirkan bahawa bila mana salah satu jentera kerajaan tidak berfungsi – seperti yang berlaku kepada pihak tentera ketika mereka gagal bergerak secara efektif – jentera-jentera lain seperti media dan kehakiman akan turut gagal berfungsi.
Apakah ini merupakan detik seperti runtuhnya Tembok Berlin bagi warga Timur Tengah? Apakah negara-negara Arab lain yang mengguna pakai modus operandi yang sama dalam amalan penindasan politik bakal ditumbangkan juga?
Pada tahun 2005, dalam satu ucapan di Forum Dunia Amerika Syarikat (AS) – Islam di Doha, saya mengungkapkan bahawa pendemokrasian bakal muncul di Timur Tengah jauh lebih awal dari yang diramalkan, dan saya mengkritik dasar luar AS dengan menyifatkannya sebagai “dasar talam dua muka.” Ketika pentadbiran Bush mendukung kebebasan dalam melancarkan perang melawan keganasan, AS tetap teguh bersekutu dengan negara-negara yang secara terang-terangan mengamalkan dasar penindasan untuk mengekang masyarakat awam dan menggagalkan demokrasi.
Di bawah pentadbiran Obama, dasar talam dua muka ini masih lagi wujud. Walaupun dalam ucapan bersejarahnya di Kaherah di mana beliau secara khusus memuji wakil kerajaan, pentadbiran Rumah Putih masih terus bekerjasama dengan pelbagai otokrat dari Timur Tengah. Dari perspektif para demokrat di rantau itu, dasar talam dua muka AS ini adalah disebabkan pendemokrasian akan mengakibatkan wujudnya kerajaan yang kurang cenderung menyokong agenda dan tuntutan AS terutamanya pentadbiran yang disifatkan Islamik oleh AS.
Merujuk kepada Tunisia, adalah mustahil Zine el Abidine Ben Ali mampu kekal menerajui negara selama 25 tahun tanpa dukungan dari Amerika. Kenyataan bahawa rejim kleptokratik pimpinan beliau akhirnya tumbang merupakan peringatan keras bahawa sesebuah kerajaan yang ditegakkan melalui penindasan ke atas rakyat takkan bertahan lama. Kita telah menyaksikannya di Iran pada tahun 1979 menerusi kejatuhan dramatik Shah, dan juga pada tahun 1998 ketika rakyat Indonesia mengecap nikmat demokrasi secara aman setelah hampir tiga dekad ditadbir di bawah kepimpinan tentera.
Masalah yang menghantui dunia Arab tetap mengejutkan: monopoli kekayaan dan kuasa oleh segelintir elit politik, kemerosotan infrastruktur, sistem pendidikan yang jumud, kepincangan dalam perkhidmatan kesihatan serta bebanan pendapatan dalam menghadapi kenaikan harga barang dan kos hidup. Rasuah dan nepotisme menjadi raja di sebalik tiadanya kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Sememangnya semua ciri tersebut merupakan acuan terbaik sebuah pergolakan politik: peminggiran politik dan ekonomi ke atas rakyat serta perompakan kekayaan negara oleh elit pemerintah. Ianya merupakan satu realiti yang tidak dapat disucikan oleh propaganda – kerana rakyat boleh menyaksikannya di YouTube dan Facebook – walaupun dicuba dengan pelbagai kaedah oleh pemerintah. Pastinya, tiada seorang pun pemimpin Arab yang akan mengakui kebejatan ini, sebaliknya akan menzahirkan kewarakan dan menabur janji untuk terus memperbaiki tahap ekonomi rakyat.
Adalah sesuatu yang bodoh bagi kerajaan di rantau itu sekiranya menganggap bahawa apa yang berlaku di Tunisia ini sebagai kes terpencil. Permasalahan ekonomi dan politik yang mencetuskan revolusi merupakan sesuatu yang luar biasa terhadap negara tersebut. Seseorang hanya perlu berjalan di sepanjang kaki lima di Kaherah dan Karachi, atau merayau-rayau di pekan-pekan terpencil di Algeria dan Afghanistan untuk melihat bagaimana sengsaranya kemiskinan dan penindasan sehingga mampu memusnahkan martabat diri seseorang.
Pemerintah otokratik yang telah terbiasa dengan kedaulatan mutlak barangkali akan mengubah fikiran mereka. Kebangkitan di Tunisia didorong oleh hasrat untuk mencapai kebebasan dan keadilan, dan bukan kerana ideologi tertentu. Faktor keganasan Islam, yang sering dijadikan kambing hitam oleh para diktator di Timur Tengah untuk menghalalkan kezaliman mereka, perlu dipertimbangkan semula atau dibakulsampahkan terus. AS juga harus mengambil pengajaran tentang mitos bahawa diktator yang sekular merupakan taruhan terbaik dalam melawan golongan Islamis. Revolusi, sama ada yang bersifat sekular atau keagamaan lahir dari keinginan sejagat untuk memartabatkan hak. Persamaan di antara revolusi di Iran dan pergolakan di Tunisia adalah kebangkitan rakyat yang telah sekian lama menderita di bawah pemerintahan yang menindas.
Apakah revolusi di Tunisia ini mampu menjana kebangkitan warga Arab dan mengubahnya kepada pembebasan Timur Tengah? Tatkala Tunisia bergerak ke dalam kelompok negara-negara Timur Tengah yang memartabatkan demokrasi seiring dengan negara seperti Turki, namun untuk kebanyakan negara Islam lain, demokrasi masih lagi merupakan sesuatu yang sukar dikecap. Pakatan pembangkang di negara-negara seperti Mesir kini sudah menemui harapan baru menerusi perkembangan yang berlaku di Tunisia. Bantahan-bantahan di Kaherah dan di wilayah-wilayah sekitarnya telah mengubah tanggapan yang selama ini menganggap bahawa bangsa Arab dan umat Islam bersifat pasif dalam politik dan senantiasa cenderung terhadap otoritarianisme. Namun, apakah mereka akan diberi peluang yang adil? Rakyat Palestin pernah memilih pemimpin mereka menerusi pilihan raya namun kuasa Barat telah campurtangan dan mengubah peraturan pilihan raya tersebut.
Kenyataan asasnya adalah jelas iaitu AS mesti menghentikan sokongan terhadap pemimpin-pemimpin diktator dan kuku besi sama ada di Timur Tengah, Pakistan atau di Asia Tenggara. Apa yang berlaku di Tunisia sewajarnya diamati sebagai fajar baru bagi demokrasi di dunia Arab dan Islam.
*Diterjemahkan oleh Najwan Halimi dari artikel berjudul “Will Tunisia Be the First Domino?” tulisan Anwar Ibrahim yang diterbitkan di laman The Wall Street Journal pada 26 Januari 2011*