Pages

Friday, October 29, 2010

Permandangan dibandaraya Dubai




Dubai From Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Dubai From
 Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Dubai From Above (8 pics)

Ubah suai bas keliling dunia



GELANG PATAH – Mengubahsuai sebuah bas sekolah yang sudah berusia lebih 21 tahun, seorang jurutera dan wartawan bebas warga England berhasrat untuk menyampaikan mesej kepada dunia dalam usaha mengurangkan pembebasan gas karbon dioksida (CO2) menjelang 2050. 

Dalam siri penjelajahannya itu, Andy Pag, 35, mengelilingi 15 negara bermula England, Perancis, Switzerland, Itali dan beberapa Negara di Asia dan singgah ke Malaysia menggunakan bas berkenaan yang dipandunya sendiri. 

“Pengembaraan ini bukan satu ekspedisi biasa, sebaliknya saya mahu menyampaikan mesej kepada dunia untuk mengurangkan pembebasan CO2 dengan purata kurang daripada 2 tan setiap orang,” katanya. 

Menurutnya, penjelajahan dinamakan sebagai ‘biotruckexpedition’ bermula sejak September 2009 membabitkan kira-kira 22,500km perjalanan melalui darat dengan menggunakan bas sekolah berkenaan yang diubah suai termasuk penggunaan enjin dan bahan bakar. 

“Dengan modal serendah 500 pound saya menggunakan pengetahuan sebagai seorang jurutera mekanikal mengubahsuai enjin bas selain bahan bakar daripada fosil diesel kepada minyak sayuran dan penggunaan sistem solar,” katanya. 

Katanya, enjin bas berkenaan mempunyai kapasiti mencecah 1,500 liter bahan bakar membolehkan perjalanan dilakukan sehingga 8500 kilometer termasuk pelepasan CO2 pada kadar minimum. 

“Tidak sukar untuk mendapatkan minyak sayuran sebagai bahan bakar malah harganya juga jauh lebih murah berbanding lain seperti petrol dan diesel namun pengubahsuaian enjin termasuk menggunakan penapis khusus perlu dilakukan terlebih dahulu,” katanya. 

Bukan sahaja enjin bas digunakan dianggap mesra alam sekitar malah ruang dalam kenderaan itu turut diubah menggunakan konsep eco-kediaman melalui penggunaan bahan-bahan kitar semula selain dianggap lebih ekonomi.

Awan panas luar biasa


SEBAGAI pengarang kanan yang mengetuai pasukan laporan khas portal berita Vivanews.com, jiwa wartawan Yuniawan Wajyu Nughroho untuk memperoleh rencana-rencana eksklusif sentiasa membara. Ketika Yogyakarta berdepan dengan ancaman letusan Gunung Merapi, Yuniawan enggan ketinggalan mendapatkan bahan-bahan menarik.
Empat tahun lalu Yuniawan pernah mewawancara warga emas yang dianggap sebagai penjaga Gunung Merapi Mbah Maridjan, 83. Kali ini dia mahu bertemu semula dengan lelaki tersebut yang dianggap oleh ramai penduduk sebagai seorang yang boleh meramal letusan Merapi.
Namun, Yuniawan mungkin tidak menyangka bahawa petang Selasa lalu adalah perbualan terakhirnya dengan pengarangnya, Nezar Patria yang sempat menghubungi beliau. Nezar mengingatkan Yuniawan supaya berhati-hati dan meninggalkan kawasan terbabit sekiranya mendengar siren kecemasan.
Sekitar pukul 7 malam, seorang aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Rini Soegiharto memaklumkan kemungkinan Yuniawan dalam kebahaya.
Menurut Rini, perbualannya dengan Yuniawan sekitar pukul 6 petang terputus. Rupa-rupanya itu adalah panggilan telefon terakhir Yuniawan.
Kira-kira pukul 10.42 malam, Vivanews menerima panggilan daripada seorang tenaga kerja Pusat Pengurusan Bencana yang melakukan pencarian mangsa letusan Gunung Merapi. Mereka menemui kad pengenalan Yuniawan. Beliau disahkan sebagai salah seorang mangsa korban yang ditemui di rumah Mbah Maridjan.
Debu-debu volkanik
Selain orang ramai, wartawan Yuniawan merupakan salah seorang yang menjadi mangsa korban Merapi. Sejak beberapa hari lalu, awan panas dan debu-debu vulkanik dimuntahkan gunung berapi paling aktif di Indonesia, Gunung Merapi, yang memaksa ribuan penduduk yang tinggal di lereng-lereng gunung itu berpindah mencari tempat perlindungan.
Perkampungan di sekitar lereng gunung berapi yang dahulunya menghijau dengan tanaman pertanian yang subur telah berubah wajah menjadi kelabu apabila diselimuti debu-debu vulkanik.
Bahkan, letusan Gunung Merapi tersebut mencetuskan rasa panik di kalangan penduduk setempat yang ingin mendapat perlindungan daripada debu-debu vulkanik dan awan panas yang melanda kawasan penempatan mereka.
Gunung Merapi dengan ketinggian 2,968 meter meletus selepas para saintis memberi amaran tekanan di bahagian bawah kubah lahar gunung tersebut akan menghasilkan letusan paling kuat dalam tempoh beberapa tahun.

SUKARELAWAN mengangkut mayat-mayat yang menjadi mangsa awan panas Gunung Merapi.


Ketua daerah Sleman di Pulau Jawa, Sri Purnomo berkata, pihak berkuasa telah memberi amaran kepada kira-kira 11,400 penduduk yang tinggal di selatan lereng gunung itu supaya bersedia untuk pemindahan segera.
Terdapat kira-kira 40,000 penduduk yang menetap berhampiran gunung paling aktif di Indonesia itu bahkan penduduk itu sebelum ini enggan meninggalkan rumah dan tanaman mereka.
Kebanyakan penduduk tempatan juga dipercayai masih menjalankan aktiviti harian mereka seperti mengusahakan ladang dan memberi makan haiwan ternakan sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.
Sri Purnomo berkata, khemah-khemah untuk penduduk yang dipindahkan telah didirikan di bangunan-bangunan kerajaan dan beberapa padang sukan lebih 10 kilometer (km) dari kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua ahli vulkanologi, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku sebelum waktu senja.
Sebelum letusan berlaku, gunung itu terlebih dahulu telah mengeluarkan bunyi menderam dan asap tebal selama beberapa jam.
“Kita dapat mendengar bunyi deraman yang sangat kuat bagaikan badai selama beberapa ketika. Kemungkinan bunyi berkenaan berlaku selama 15 minit.
“Selepas itu kelihatan kepulan debu panas besar mula dikeluarkan ke udara dari Gunung Merapi,” kata seorang petani yang masih belum meninggalkan rumahnya di kawasan cerun gunung berapi itu ketika ia meletus.
Muntahan awan panas
Penduduk setempat juga memaklumkan bahawa mereka ada terbau belerang yang sangat kuat sebelum letusan gunung berapi itu berlaku.
“Tenaganya meningkat... kami berharap ia akan reda perlahan-lahan.
“Jika tidak kita akan melihat satu letusan yang besar, lebih besar daripada apa yang kita lihat semasa ia meletus beberapa tahun lalu,” kata ahli vulkanologi kerajaan, Surono.
Dalam pada itu, pegawai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Vulkanik Yogjakarta (BPPTK), Agung Nandaka berkata, sukar bagi penduduk yang berada lima kilometer dari puncak gunung berkenaan untuk berpindah sebelum berlaku muntahan awan panas.
“Ini kerana ia panas dan mempunyai kelajuan yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, seorang bayi berusia dua bulan telah terkorban dalam letusan berkenaan, manakala 20 lagi cedera apabila gunung itu mula meletus.
Bayi tersebut yang tidak diketahui jantinanya mati semasa didukung ibunya ketika orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.
Stesen televisyen swasta, Metro TV melaporkan, mayat bayi itu telah dihantar ke hospital berdekatan.
Seorang wartawan agensi berita berkata, kebanyakan yang cedera akibat terkena debu panas yang dihamburkan oleh Gunung Merapi melecur teruk.
Selain itu, pasukan penyelamat telah menemui 15 mayat di dalam dan luar rumah Mbah Maridjan di Cangkringan daerah Sleman. Mbah Maridjan merupakan Jurukunci Merapi sejak awal tahun 1980-an.


PENDUDUK kampung yang terjejas akibat letusan Gunung Merapi beratur untuk mendapatkan makanan.



Kesemua mangsa dipercayai meninggal dunia disebabkan melecur akibat suhu tinggi awan panas debu volkanik.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat enggan mengesahkan mayat Jurukunci Merapi berkenaan adalah antara 15 mayat yang ditemui sehingga hasil ujian asid deoksiribonukleik ( DNA ) diperoleh.
Puluhan ternakan lembu penduduk kampung di lereng gunung Merapi juga ditemui mati.
Merapi yang membawa erti Gunung Api biasanya mengalami letusan-letusan kecil pada setiap dua atau tiga tahun dan akan mengeluarkan laharnya dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.
Kali terakhir gunung berapi berkenaan meletus adalah pada tahun 2006 apabila ia mengeluarkan gas dan serpihan batu menyebabkan dua orang terkorban.
Pada tahun 1994, letusan Gunung Merapi lebih dahsyat berbanding tahun 2006 apabila ia mengakibatkan 60 orang maut.
Pada tahun 1930, ia telah mengorbankan 1,300 orang manakala lebih satu dozen perkampungan musnah.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, lokasi terletaknya pertemuan lapisan-lapisan benua yang menyebabkan kekerapan berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi. Negara itu dikatakan mempunyai lebih 120 buah gunung berapi yang aktif.

Kemenangan penari bogel ditarik balik



JANA KADERAVKOVA


SAAZ, Republik Czech - Pemenang satu pertandingan ratu cantik di sini, Jana Kaderavkova ditarik balik selepas dia mengaku pernah bekerja sebagai penari bogel dan bergambar erotik untuk sebuah majalah bogel, lapor sebuah akhbar semalam.
Kaderavkova yang berumur 20 tahun membuat pendedahan itu semasa dia dimahkotakan sebagai pemenang Permaisuri Bir baru-baru ini.
Semasa diwawancara selepas diumumkan sebagai pemenang dia berkata: "Saya bekerja di sana (Itali) sebagai seorang penari bogel, bergambar untuk majalah bogel dan saya merupakan gadis cuaca erotik di televisyen."
Mendengar pendedahan wanita itu, wakil pihak penganjur Petr Simacek berkata, peserta yang melakukan kerja-kerja erotik dilarang daripada menyertai pertandingan tersebut.
Kaderavkova yang mendengar keputusan untuk menarik balik gelaran itu menjadi marah dengan menyatakan pihak penganjur sepatutnya bertanya kepadanya mengenai latar belakang dirinya sebelum dia dibenarkan bertanding. - Agensi

Terselamat selepas kereta sport melayang




KERETA sport Lamborghini Gallardo.


DALLAS - Seorang pelumba, Richard Holt, 40, tidak mengalami sebarang kecederaan semasa kereta sport Lamborghini Gallardo bernilai AS$238,871 (RM742,963) yang dipandunya di trek Texas Mile di Amerika Syarikat melayang dan berpusing beberapa kali selepas dirempuh angin lintang pada Sabtu lalu, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada mulanya, dia memandu selaju 378 kilometer sejam sebelum membrek dan kereta itu mengeluarkan payung terjun untuk memperlahankan kelajuan.
Namun, angin lintang yang kuat menyebabkan kereta itu tidak stabil menyebabkan ia terbabas dan melayang sebelum berpusing beberapa kali dan terhempas.
Anggota-anggota penyelamat bergegas ke tempat kejadian dan mereka mendapati Holt cuma terperangkap di dalam kereta itu dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan. - Agensi

Lelaki miliki mulut paling lebar




KEDUA-DUA tangan Francisco Domingo Joaquim menarik mulutnya yang lebar.


ROM, Itali - Seorang lelaki, Francisco Domingo Joaquim dapat memuatkan satu tin minuman ringan di dalam mulutnya, lapor sebuah akhbar semalam. Joaquim yang berasal dari Angola memiliki mulut selebar 17 sentimeter sekali gus namanya dicatatkan dalamGuinness World of Records.
Bakat Joaquim yang dikenali sebagai Chiquinho itu ditemui oleh beberapa penyelidik Guinness Book of World Records yang mencarinya menerusi laman YouTube di internet.
Selepas dua tahun mencarinya, para penyelidik itu dapat berjumpa dengannya di bandar kelahirannya di Angola.
Sejak itu, Joaquim yang berusia 20 tahun menjadi popular di Internet dengan videonya dilihat ribuan kali.
Joaquim menyatakan, mimpinya menjadi kenyataan apabila dia diberikan penghormatan oleh Guinness Book of World Records yang mencatatkan namanya sebagai pemegang rekod dunia kerana memiliki mulut paling lebar. - Agensi

Ular paling panjang di zoo mati



GAMBAR yang disiarkan kelmarin menunjukkan ular sawa sepanjang 7.3 meter di Zoo Columbus, Ohio.


COLUMBUS, Ohio - Seekor ular sawa yang paling panjang di Zoo Columbus di sini ditemui mati pada pagi kelmarin kerana menghidap tumor.
Haiwan sepanjang 7.3 meter yang diberi nama Fluffy dan seberat 136 kilogram itu disenaraikan dalam Guinness World of Records sebagai ular paling panjang pernah tinggal dalam zoo.
Ular berusia 18 tahun itu berjaya menarik minat kehadiran ramai pengunjung di zoo tersebut sejak ia dipamerkan pada 2007.
Ular sawa paling panjang yang pernah direkodkan ialah sepanjang 9.9 meter yang mati dibunuh pada 1912 di Indonesia. - AP

UMP cipta gula daripada habuk kayu



MIMI SAKINAH menunjukkan gula daripada habuk kayu ciptaannya di UMP, Jalan Gambang, Kuantan semalam.

KUANTAN - Seorang penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini berjaya mencipta gula alternatif daripada habuk kayu khusus untuk pesakit diabetes.
Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim memberitahu, gula baru itu tidak mendatangkan sebarang kesan sampingan dan boleh digunakan sebagai bahan makanan, ubat-ubatan dan kosmetik.
"Gula ciptaan saya ini adalah baik jika dibandingkan dengan gula alternatif untuk pesakit diabetes di pasaran yang dipercayai mengandungi bahan kimia aspartam yang boleh menyebabkan tumor otak.
"Berdasarkan penyelidikan selama tiga tahun, saya dapati semua jenis habuk kayu mampu menghasilkan gula tetapi buat masa ini gula yang dihasilkan hanya daripada habuk kayu jenis meranti dan cengal," katanya pada majlis meraikan kejayaan cemerlang penyelidik UMP di sini semalam.
Mimi Sakinah menyertai British Invention Show 2010 di London baru-baru ini.
Pada pameran di London itu, beliau dan dua lagi penyelidik UMP termasuk Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Rosli Mohd. Yunus dan Dr. Zularisam Ab. Wahid berjaya mendapat pingat emas dalam kategori masing-masing pada pertandingan selama empat hari bermula 13 Oktober lalu.

Mohammad nama pilihan di Britain





2010/10/29

LONDON: Nama Mohammad kini menjadi nama pilihan paling popular bagi bayi lelaki yang baru dilahirkan di Britain. 

Ia melonjak dari kedudukan ketiga sebelum ini dan mengambil alih nama Jack dan Harry yang menduduki tempat teratas sejak 14 tahun lalu tetapi kini berada di tempat ketiga.
Tinjauan mendapati nama Olivia pula menduduki senarai teratas nama pilihan bayi perempuan, mendahului Ruby dan Chloe.
Seramai 7,549 bayi baru dilahirkan diberi 12 variasi nama Nabi Muhammad tahun lalu, antaranya termasuk Muhammad dan Mohammad. 

Nama kedua paling popular ialah Oliver yang diberikan kepada 7,364 bayi, manakala nama Harry dan Alfie menduduki tempat keempat dan kelima. 

Senarai rasmi meliputi semua kelahiran di England dan Wales pada 2009, meletakkan nama Mohammed pada kedudukan ke-16 tidak termasuk pelbagai perbezaan ejaan. – Agensi

Mayat gadis dalam beg dihumban ke longkang


Oleh Wan Faizal Ismayatim
wfaizal@bharian.com.my
2010/10/29

 MAYAT   gadis belasan tahun  dalam  bagasi ditemui di belakang bengkel kereta di Ukay Perdana, Ulu Klang, petang semalam.
MAYAT gadis belasan tahun dalam bagasi ditemui di belakang bengkel kereta di Ukay Perdana, Ulu Klang, petang semalam.
Polis percaya mangsa dibunuh beberapa jam sebelum ditemui 

KUALA LUMPUR: Mayat seorang gadis belasan tahun dipercayai dibunuh dan disumbat ke dalam beg pakaian ditemui di tepi longkang besar belakang sebuah bengkel kereta di Ukay Perdana di sini, petang semalam.
Mayat mangsa yang lengkap berpakaian gaun biru, tidak berkasut dan dalam keadaan merengkuk ditemui seorang lelaki yang juga pekerja bengkel kereta itu ketika melalui kawasan berkenaan pada jam 3.30 petang.
Turut ditemui di dalam beg itu bersama mayat mangsa ialah beberapa pakaian, termasuk jeans, tuala dan seluar dalam wanita, semuanya dipercayai milik mangsa. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata setakat ini polis belum mengenal pasti identiti mangsa, malah belum ada laporan kehilangan gadis dilaporkan di daerah ini. 

“Kita percaya mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya disumbat ke dalam beg pakaian dan dibuang di kawasan ini. 

“Berdasarkan keadaan mayat yang masih elok dan tidak berbau, kita percaya dia baru (beberapa jam sebelum ditemui) dibunuh. 
“Siasatan awal mendapati ada kesan lebam di leher dipercayai dicekik. Polis jumpa sehelai kertas di dalam beg itu tertera nama beberapa lelaki dipercayai warga Indonesia,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, petang semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pekerja bengkel yang menemui beg itu mendakwa dia membukanya selepas mendapati ia berat apabila ditendang dan menyangka ia mengandungi wang. 

“Apabila membukanya, dia terkejut melihat mayat di dalamnya, lalu menghubungi polis,” katanya. 

Abdul Jalil berkata, polis juga belum dapat mengenal pasti bangsa remaja perempuan itu, tetapi berkulit sawo matang, bertubuh sederhana dan berambut lurus mencecah bahu. 

“Polis juga tidak menemui sebarang senjata dalam beg itu atau kawasan berhampirannya. Buat masa ini kita mengklasifikasikan kes ini sebagai bunuh dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 

“Kita juga masih menyiasat punca kematian selain kemungkinan ada kesan kecederaan pada tubuh mangsa. Orang ramai yang kehilangan keluarga diminta menghubungi polis,” katanya.

Korban bencana meningkat





2010/10/29

  • Foto
    PENDUDUK menabur bunga sebelum mengebumi mangsa Merapi di Sleman, Jawa Tengah, semalam.
  • Foto
    MANGSA tsunami menunggu bantuan di Kampung Parorogat, Pulau Pagai dekat Sumatera Barat
    .
Mangsa letusan gunung berapi dikebumi dalam satu perkuburan 

JAKARTA: Korban tsunami di kawasan kepulauan barat Indonesia dan letusan Merapi mencapai 377 semalam dengan gunung berapi itu meletus buat kali kedua dalam tempoh seminggu, memuntahkan debu panas ke ruang angkasa.
Lebih 40,000 orang lari atau dipindahkan dari sekitar lereng gunung Merapi awal minggu ini tetapi ramai yang sudah pulang selepas gunung itu lebih tenang.Penduduk yang berkabung mengadakan majlis pengebumian beramai-ramai mangsa Merapi.

Pegawai berkata, angka kematian akibat tsunami yang melanda kepulauan Mentawai mencapai 343. Tsunami menyusul gempa bumi yang mencapai kekuatan 7.8 skala Richter, Isnin lalu.

Sehari selepas itu, gunung berapi Merapi yang terletak di pinggir kota Yogyakarta, Pulau Jawa, meletus menyebabkan sekurang-kurangnya 34 terbunuh.
Pegawai menjangka angka kematian akan meningkat kerana lebih 300 lagi masih hilang.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang dijadual menyertai sidang Asean di Hanoi semalam hingga esok, segera pulang untuk menguruskan bencana terbaru Indonesia. 
“Presiden terharu sebaik menemui mangsa tsunami dan gempa bumi itu. Beliau mengarahkan bantuan terus dihantar tanpa sekatan,” kata jurucakap Susilo, Julian Pasha.

Anggota penyelamat yang berada di Mentawai menemui mayat kembung di jalan raya dan kawasan pantai, kata pegawai pusat pengurusan bencana, Harmensyah.

Mereka memasukkan mayat dalam beg plastik hitam di kawasan Pagai Utara, satu daripada empat pulau utama di Mentawai. Sebahagian besar kawasan masih ditenggelami air.

Ada sebahagian sistem amaran awam yang dipasang selepas tsunami 2003 melanda menyebabkan 226,000 orang maut didapati dicuri tetapi sistem pada keseluruhannya masih berfungsi baik, kata ketua agensi kaji gempa, Sri Woro Harijono.

“Ya, ada alat pengimbas yang dicuri termasuk seismograf dan sel solar. Tetapi, cuma tiga saja yang dicuri daripada 100. Sistem berfungsi baik,” katanya. – Reuters

INFO: 26 nombor keramat benca alam

  • 26 Ogos 1883: Krakatau meletus (36,000 maut)

  • 26 Julai 1976: Gempa di China (255,000 maut)

  • 26 Januari 1951: Gempa di Portugal (30,000 maut)

  • 26 Disember 1932: Gempa di Gansu, China (70,000 maut)

  • 26 Disember 1939: Gempa di Turki (41,000 maut)

  • 26 Disember 1996: Badai di Sabah (1,000 maut)

  • 26 Disember 2003: Gempa di Bam, Iran (60,000 maut)

  • 26 Disember 2004: Gempa & tsunami Aceh (250,000 maut)

  • 26 Mei 2006: Gempa & tsunami Pangandaran (250 maut)

  • 26 Mei 2010: Gempa di Tasikmalaya (20 maut)

  • 26 Oktober 2010: Gempa & tsunami Mentawai(Beratus-ratus maut, hilang)
  • Balqis ke rumah kenalan, bukan ghaib dilarikan jin



    Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin, Azman Mahmood, Haryanti Ahmad Rodzidan Mohammad Ishak 
    bhkt@bharian.com.my 
    2010/10/29

    Norwaniza Ramli
    Norwaniza Ramli
    Misteri konon disorokkan di Gunung Jerai terbongkar 

    KUALA TERENGGANU: Misteri kehilangan Siti Balqis Mohd Nor yang didakwa keluarganya disorok ‘Jin Islam' di Gunung Jerai, Kedah, sejak Ahad lalu, terungkai selepas gadis itu ditemui polis di rumah keluarga seorang kenalannya di Kampung Batu 18, Ulu Klawang, Kuala Klawang, Negeri Sembilan, pagi semalam.
    Siti Balqis sebenarnya keluar seorang diri dari rumahnya di Kampung Gong Nangka, Jertih dan menaiki bas ekspres ke Shah Alam pada jam 9 malam, sebelum ke Seremban dan meneruskan perjalanan menaiki teksi ke Kuala Klawang.
    Ketika di situ, Siti Balqis, 22, tinggal di rumah seorang sahabat pena perempuan yang dikenalinya menerusi laman berkenalan sebuah majalah remaja pada 2005, tetapi tidak pernah bertemu sebelum ini. 

    Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Siti Balqis juga sudah membeli tiket untuk pulang ke kampungnya esok. 

    “Dengan penemuan ini, polis menganggap kes ini selesai dan polis tidak akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak,” katanya pada sidang media sebelum menyerahkan Siti Balqis kepada ibunya, Norizan Said, 47, di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, di Kampung Raja di sini, semalam. Hadir sama sahabat penanya, Norwaniza Ramli, 19. 

    Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat mengenai gadis itu apabila bapa sahabat pena Siti Balqis menghubungi polis daerah Jelebu selepas terbaca berita kehilangan misteri gadis itu dalam akhbar ini. 
    Polis juga mendapat petunjuk gadis itu berada di Negeri Sembilan selepas semakan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibunya pada jam 5 pagi Isnin lalu mendapati pencawang terakhir ialah di Kuala Klawang. 

    Pada Isnin lalu, Norizan memberitahu menerima SMS daripada anaknya pada jam 5 pagi yang mendakwa berada di Gunung Jerai selepas dibawa jin berbulu lebat. 

    Sementara itu, Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, berkata laporan Norizan di Balai Polis Jertih pada jam 1.30 pagi Isnin lalu, antara lain menyebut melihat anaknya menaiki kereta Perodua Kembara milik keluarga pada jam 8 malam. 

    "Berikutan laporan itu, kita menjalankan siasatan kes orang hilang dan meliputi semua aspek termasuk sama ada gadis berkenaan melarikan diri atau dilarikan," katanya sambil menambah kereta itu ditemui di Stesen Bas Jertih pada jam 1 tengah hari Isnin. 

    Norizan ketika ditemui terkejut dengan penemuan itu kerana sebelum ini anaknya menghantar SMS dan memberitahu berada di Gunung Jerai dan dibawa jin berbulu serta yakin anaknya berada di gunung berkenaan berdasarkan gerak hatinya. 

    Norwaniza pula berkata, dia selalu berutus surat dan menghubungi Siti Balqis tetapi hanya bertemu selepas kenalannya itu datang sendiri ke rumahnya Isnin lalu. 

    "Saya tidak menduga pertemuan ini rupanya dengan seorang gadis yang sering dilaporkan ghaib kerana sebelum ini Siti Balqis tidak pernah menceritakan kisahnya,” katanya. 

    Di KUALA KLAWANG, ibu Nurwaniza berkata gadis itu mengajaknya dan anaknya ke Seremban, Selasa lalu dan menggunakan wang sendiri membeli pelbagai makanan dan pakaian bernilai RM279, termasuk tiket bas untuk pulang ke Terengganu. 

    Ramlah Meon, 60, berkata beliau pelik melihat Siti Balqis kerap SMS dan apabila ditanya dimaklumkan ia di hantar kepada kawannya. 

    “Siti Balqis beritahu dia tinggal bersama ibu saudaranya selepas ibunya meninggal dunia dalam kemalangan November tahun lalu. Dia turut beritahu rumahnya besar dan ada tujuh bilik lengkap dengan pembantu rumah dan kolam renang," katanya. 

    Ramlah berkata, pembohongan Siti Balqis terbongkar apabila anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu datang ke rumahnya, kelmarin, berikutan SMS diterima ibu Siti Balqis menggunakan nombor telefon yang didaftarkan atas nama Nurwaniza. 

    Beliau berkata, ketika menyelongkar beg pakaian Siti Balqis, mereka menemui lebih 20 kad sim yang masih aktif, sejumlah wang, beberapa kad ATM dan sebuah kotak kecil berisi 10 batu delima dalam kain kuning.

    Kereta James Bond dilelong lebih AS$4 juta



    Jerry Lee, pemilik kereta Aston Martin DB5 keluaran 1964 yang digunakan oleh James Bond dalam filem Goldfinger danThunderball bergambar bersama kereta tersebut sebelum ia dilelong pada harga setinggi AS$4,114,760 di London, kelmarin. - AP


    LONDON 28 Okt. - Seorang penggemar kereta Amerika Syarikat (AS) warga Britain membeli kereta Aston Martin yang terkenal dalam filem James Bond, lengkap dengan kerusi lenting dan nombor pendaftaran berputar pada satu jualan lelong di sini pada harga lebih AS$4 juta (RM12.4 juta).
    Kereta Aston Martin DB5 berwarna perak tahun 1964 itu dipandu oleh aktor, Sean Connery ketika dia melakonkan watak perisik Britain dalam filem Goldfinger pada 1964 dan Thunderball pada (1965).
    Pengumpul AS, Harry Yeaggy terbang ke Britain bagi menghadiri jualan lelong yang diadakan semalam dan menawarkan harga yang lebih tinggi berbanding pesaingnya untuk membeli kereta itu pada harga AS$4.1 juta (RM12.7 juta).
    Bagaimanapun, jumlah ini adalah kurang daripada anggaran awal iaitu lebih AS$5 juta (RM15.5 juta).
    Yeaggy berkata, sebuah muzium di AS bakal menjadi rumah baru untuk kereta itu, namun sebelum itu dia merancang untuk 'menikmati sedikit keseronokan' dengan memandu kereta itu menyelusuri jalan-jalan di ibu negara Britain ini.
    "Kami akan memanaskan enjin kereta ini dan memandunya menyusuri jalan-jalan di sekitar London malam ini. Kami akan menikmati sedikit keseronokan dengannya," katanya kepada televisyen BBC.
    Pengumpul AS itu berkata, dia mengambil keputusan pada saat-saat akhir untuk terbang ke Britain bagi menghadiri jualan lelong itu dan mengaku terkejut kerana seorang warga AS muncul sebagai pembeli yang berjaya dalam jualan itu.
    "Saya sangka seorang warga Eropah akan membelinya. Namun saya rasa mereka tidak menghargai Bond sebanyak mana yang kami lakukan," katanya.
    Kereta yang digunakan dalam filem James Bond itu telah dijual oleh pemiliknya dari AS, pemilik stesen radio B101 Philadelphia, Pennsylvania, Jerry Lee, yang telah membelinya pada harga AS$12,000 (RM37,302) pada 1969.
    Hasil jualan itu akan disalurkan kepada yayasan amalnya. - AFP

    Korban tsunami meningkat



    PAGAI UTARA 28 Okt. - Angka kematian akibat tsunami yang melanda kepulauan Mentawai, kepulauan terpencil di barat Indonesia akibat gempa bumi pada malam Isnin lalu, melonjak kepada 343 orang, hari ini.
    Di lokasi lain, penduduk kampung menjalankan upacara pengebumian beramai-ramai untuk 33 orang penduduk yang terbunuh apabila Gunung Merapi di Jawa Tengah meletus, termasuk penjaga kunci yang dikenali sebagai Mbah Maridjan.
    Presiden Susilo Bambang Yudhoyono dalam perjalanan untuk bertemu penduduk yang terselamat dalam bencana berkembar ini, yang berlaku selang 24 jam di dua kawasan berbeza di negara ini.
    Pegawai berkata, sistem amaran bernilai berjuta-juta dolar yang dipasang selepas tragedi tsunami 2004 rosak sebulan yang lalu akibat tidak diselenggara dengan betul.
    Pengarah pusat pengurusan bencana Sumatera Barat, Harmensyah berkata, mayat-mayat mangsa ditemui dalam keadaan bengkak akibat lama ditinggalkan di tepi pantai dan sekitar perairan rangkaian pulau-pulau kecil di kepulauan Mentawai, yang menyaksikan semua perkampungan musnah.
    Katanya, pasukan penyelamat merasakan harapan semakin tipis untuk menemui lebih 370 orang yang masih hilang, dipercayai dihanyutkan ke laut.
    Sebuah kapal membawa bantuan makanan, air bersih dan perubatan serta beg mayat tiba di Sikakap di pulau Pagai Utara hari ini, satu daripada dua pulau paling terjejas teruk, dengan tsunami.
    Kira-kira 1,300 kilometer di sebelah timur di Jawa Tengah, Gunung Merapi tidak menunjukkan sebarang aktiviti, namun masih dianggap mampu mencetuskan ancaman selepas meragut sekurang-kurangnya 33 nyawa dan mencederakan 17 yang lain. - AFP/AP

    Merapi meletus lagi





    Beberapa orang penduduk memeriksa keadaan rumah mereka yang rosak teruk akibat terkena debu panas Gunung Merapi yang meletus pada 24 Oktober, 2010. Gunung itu meletus kali kedua, semalam dengan letusan lebih dahsyat menghamburkan debu panas setinggi 3,500 meter ke udara. - AFP


    YOGYAKARTA 28 Okt. - Gunung Merapi di Sleman dekat sini hari ini meletus buat kali kedua dalam tempoh tiga hari dan kali ini lebih dahsyat menghambur debu panas setinggi 3,500 meter.
    Ketua Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Gunung Berapi Yogyakarta, Subandriyo berkata, letusan itu berlaku pada pukul 4.40 petang waktu tempatan.
    "Letupan itu menghemburkan debu yang membentuk awan panas," katanya di sini hari ini.
    Menurut beliau, walaupun hemburan kali ini sekali ganda lebih tinggi berbanding letupan Selasa lalu, tetapi ia membentuk awan yang lebih kecil.
    Kata Subandriyo, pihaknya belum dapat memastikan arah debu panas itu diterbangkan kerana cuaca kurang baik untuk membolehkan pemantauan dibuat.
    Sehubungan itu beliau mengingatkan penduduk supaya berhati-hati kemungkinan berlaku lagi letusan susulan.
    Letupan petang Selasa lalu menyebabkan debu gunung berapi itu tersebar sehingga ke Ciamis iaitu kira-kira 300 kilometer dari Merapi.
    Pasukan penyelamat juga telah mengumpul 345 bangkai lembu di sekitar Cangkringan.
    Ketua Kampung Cangkringan, Samsul Bakri berkata, bangkai lembu itu dikumpulkan bagi mengelakkan daripada merebak penyakit.
    "Banyak lembu ditemui mati di dalam kandang. Ada yang dalam satu kandang ada 10 ekor lembu," ujar beliau. - Utusan