MOTOSIKAL Honda CBR 150 RR Repsol. - Agensi
SEKUMPULAN pekerja mengira wang syiling seorang pelanggan yang membeli sebuah motosikal. - Pos Kota News
Depok (Indonesia): Pekerja sebuah kedai menjual motosikal di sini terkejut selepas seorang pelanggan membeli motosikal dengan menggunakan wang syiling Rp1,000 (RM0.30).
Jurujual di Honda Motor Care, Yulia Anggraeni, 23, berkata, seorang pelanggan menghubungi syarikat itu dan bertanya bolehkah dia membeli sebuah motosikal dengan menggunakan wang syiling.
“Selepas saya berkata boleh, lelaki itu datang ke kedai kami semalam (kelmarin) untuk membeli motosikal Honda CBR 150 RR Repsol yang berharga Rp32 juta (RM10,218).
“Apa yang mengejutkan kami dia mahu membeli motosikal itu secara tunai dengan menggunakan wang syiling Rp1,000,” katanya kepada portal Pos Kota News.
Menurutnya, lelaki itu membawa syiling berkenaan dalam tong cat seberat 25 kilogram dan 14 karung plastik.
“Lelaki berusia 46 tahun itu memberitahu, dia mengumpul wang syiling berkenaan selama lima tahun untuk membeli motosikal idamannya itu,” jelasnya.
Menurutnya, semua pekerja syarikat itu diarahkan mengira wang syiling berkenaan kerana jumlahnya terlalu banyak.
“Kami menjangkakan wang syiling ini siap dikira dalam tempoh dua hari,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 10:36 AM
No comments:
Post a Comment