Mutiara gergasi dijumpai seorang nelayan miskin di Filipina dianggarkan bernilai RM402 juta. Agensi
MANILA 23 Ogos – Siapa sangka sebutir mutiara yang dianggap tidak lebih daripada pembawa tuah oleh seorang nelayan miskin sebenarnya bukan sahaja terbesar di dunia malah nilainya juga mencecah lebih AS$100 juta dolar (RM402 juta).
Malangnya, nelayan tersebut yang berasal dari Kepulauan Palawan, Filipina tidak menyedari tuah mutiara gergasi itu sebaliknya hanya meletakkannya di bawah bantal selama lebih 10 tahun.
Daily Mail melaporkan, nilai mutiara tersebut hanya diketahui selepas nelayan yang tidak dikenali itu membawa objek terbabit kepada kepada pihak berkuasa untuk diperiksa, baru-baru ini.
Dengan berat 34 kilogram, mutiara itu dianggap paling besar yang pernah ditemui oleh manusia setakat ini.
Menariknya, permata jenis sama pernah direkod sebelum ini iaitu Mutiara Lao Tze dengan berat 6.4 kilogram dan bernilai AS$35 juta (RM141 juta) turut dijumpai di perairan Palawan pada tahun 1939 oleh seorang penyelam Amerika Syarikat.
Menurut pegawai pelancongan, Aileen Cynthia, nelayan tersebut tidak menyangka mutiara itu bukan sahaja bernilai jutaan dolar, malah penemuan berkenaan merupakan sejarah yang bakal melonjakkan sektor pelancongan Filipina.
“Dia tidak tahu sebarang maklumat mahu pun nilai mutiara itu. Apabila dia membawa mutiara tersebut kepada kami, kami sangat terkejut.
“Dia menjumpai mutiara itu dalam cengkerang gergasi kira-kira 10 tahun lepas,” kata Cynthia.
Jelas beliau, pihaknya telah menghantar mutiara itu kepada pakar antarabangsa untuk diperiksa bagi mengetahui nilai sebenarnya.
“Jika andaian kami benar, kami akan mencipta sejarah sekali lagi,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment