Dhaka: Keluarga seorang remaja perempuan berusia 12 tahun yang dipenuhi bulu pada wajahnya merayu bantuan kewangan untuk membolehkan gadis itu menjalani pembedahan seterusnya hidup normal seperti orang lain.
Bithi Akhtar menghidap sindrom Byars-Jurkiewicz dan keadaan hipertrikosis atau juga dikenali sebagai ‘sindrom serigala jadian.’
Ibunya Beauty Begum berkata: “Keadaan Bithi memang seperti ini sejak dilahirkan dan kami menaruh harapan ia pulih apabila membesar.”
Katanya, sindrom itu juga menyebabkan Bithi mengalami radang gusi selain mempunyai payudara terlalu besar - hampir separuh daripada tubuhnya - menyebabkan dia sukar berdiri atau pegi ke sekolah.
“Kami pada awalnya menganggap ini takdir Tuhan, namun saya tidak sanggup lagi melihat dia menderita seperti ini,” katanya.
Doktor di Universiti Perubatan Bangabandhu Sheikh Mujib, Fakhrul Alam berkata, hanya empat atau lima orang di seluruh dunia menghidap hipertrikosis.
Keluarga Bithi mahu menimbulkan kesedaran mengenai keadaannya selain mengumpul wang untuk membolehkan dia menjalani rawatan, termasuk mengecilkan payudara, mengawal gusinya yang bengkak dan terapi hormon untuk mengawal penghasilan bulu serta rambut.
“Kami yakin dia mampu menjalani kehidupan normal selepas semua itu dilakukan,” katanya.
Universiti berkenaan membantu kos rawatannya, tetapi keluarganya masih memerlukan wang.
Ayahnya Abdul Razzak, pemandu teksi berkata: “Saya membelanjakan lebih 80,000 taka (RM4,000) untuk ubat termasuk mengambil pinjaman bank. Kini saya tiada wang untuk rawatannya.”
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2016 @ 5:07 AM
No comments:
Post a Comment