Lambert gemar bermain dengan selimut, malah turut tidur dengan kain tersebut membalut tubuhnya. Agensi
TEXAS 27 Mac - Singa mungkin sinonim dengan gelaran raja belantara, namun lain pula kisahnya dengan seekor singa jantan dewasa yang sangat taksub dengan selimut, sehingga tidak boleh tidur tanpa kain tersebut.
Mail Online melaporkan, singa yang diberi nama Lambert itu, diselamatkan oleh pengasas Pusat Pendidikan dan Penyelamat Hidupan Liar Eksotik di Texas, Vicky Keahey yang mengambilnya daripada sebuah keluarga yang enggan menjaganya lagi.
Menurut Keahey, Lambert pada mulanya dibeli secara tidak sah oleh pemilik tersebut untuk anaknya yang berusia dua dan tiga tahun selepas menonton filem The Lion King.
“Bagaimanapun, mereka kemudian bersetuju untuk melepaskannya yang ketika itu berusia tiga bulan kepada saya,” katanya kepada laman web khusus untuk penjagaan haiwan, The Dodo.
Oleh kerana dilahirkan dalam kurungan, singa tersebut ‘jinak’ dan mudah dijaga.
“Saya berfikir, Lambert sudah biasa tinggal dalam rumah dan tidur bersama ahli keluarga tersebut. Jadi, saya cuba dapatkan selimut untuknya.
“Sejak itu, haiwan tersebut sentiasa bersama selimut terutamanya ketika tidur,” katanya yang turut mengajar Lambert untuk menyukai dan makan daging mentah, sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
Kata Keahey, Lambert yang kini berusia dua tahun juga suka bermain dengan papan luncur selepas sering bermain tab plastik ketika kecil.
“Jika dia sukakan kamu, kamu akan mengetahuinya dan jika dia tidak sukakan kamu juga, kamu akan tahu,” katanya yang memberitahu, walaupun Lambert agak manja, namun, singa itu tetap berperangai seperti kucing Afrika yang lain.
No comments:
Post a Comment