TEXAS 28 Mac – Demi menunaikan janji membantu datuk dan neneknya membayar hutang rumah, seorang pelajar kolej di Houston sanggup mengorbankan zaman remajanya dan mengikat perut dengan hanya memakan piza sejuk beku selama hampir enam tahun.
Usaha murni tersebut mendapat perhatian ramai selepas video rakaman mengenai detik mengharukan bagaimana Stefun Darts, 24, membuat kejutan kepada datuk dan neneknya itu tersebar di laman Facebook beberapa hari lalu.
Menurut portal Mail Online, Darts berjaya memenuhi janji yang dibuat ketika berumur lapan tahun dengan menghadiahkan replika cek bernilai AS$15,000 (RM60,247) untuk melangsaikan hutang tersebut.
Bukan itu sahaja, pemuda tersebut turut menghadiahkan tiket percutian ke Bahamas kepada datuk dan neneknya, sehingga membuatkan kedua-dua mereka menitiskan air mata.
Pasangan warga emas itu telah membayar ansuran bulanan untuk kediaman mereka selama hampir 20 tahun dan wang pemberian Darts membantu melangsaikan jumlah hutang tersebut yang masih berbaki empat tahun lagi.
“Saya sangat terkejut dan sukar untuk mempercayainya. Darts seperti satu rahmat bagi kami,” ujar neneknya, Marilyn Roberts.
Darts yang juga Presiden Yayasan Belia Prihatin yang menjalankan program mentor untuk golongan belia mengakui tidak berniat untuk menarik perhatian sesiapa, namun berharap pengorbanan ikhlasnya itu menjadi sumber inspirasi kepada remaja lain.
“Saya tidak melakukannya untuk mendapatkan penghargaan. Peluang melihat air mata kegembiraan dan menikmati pengalaman itu sepanjang hidup merupakan sesuatu yang amat indah dan sukar digambarkan dengan kata-kata,” katanya.
No comments:
Post a Comment