Seekor biawak gergasi mengejutkan seorang warga emas apabila bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu. AGENSI
ALBURY, Wales 6 Dis. – Seorang warga emas terkejut dan tergamam seketika selepas melihat kelibat seekor biawak gergasi berlegar-legar di kawasan persekitaran rumahnya di sini, baru-baru ini.
Laman web mirror.co.uk melaporkan, Eric Holland, 80, berkata, apa yang lebih mengejutkan adalah biawak berkenaan bertindak memanjat dinding rumahnya, satu perbuatan yang jarang dilakukan oleh reptilia jenis itu.
Kata Holland, dia mula menyedari kehadiran biawak yang mempunyai kuku sepanjang kira-kira 40 milimeter itu selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumahnya.
“Kejadian tersebut begitu mengejut dan mengerikan saya. Saya belum pernah melihat seekor biawak memanjat dinding sebelum ini.
“Saya dapat lihat dengan jelas bagaimana biawak tersebut mencengkam batu-bata dinding dengan ekornya bergerak mengetuk batang paip yang kebetulan terletak berhampiran dinding yang dipanjat,” jelasnya.
Tambahnya, dia sempat menangkap gambar biawak berkenaan sebelum binatang liar tersebut melarikan diri.
“Sejak hari itu saya tidak pernah melihatnya lagi. Sebagai langkah berjaga-jaga, saya akan memakai kasut but dan seluar panjang setiap kali keluar dari rumah, bimbang diserang oleh biawak tersebut,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment