HOLLI CHEUNG pulih daripada koma selepas bayi lelakinya, Jordan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam. AGENSI
BIRMINGHAM 28 Mei - Hospital Queen di Birmingham gempar apabila seorang ibu yang koma, kembali pulih selepas bayi lelakinya yang berusia tiga bulan, dibiarkan tidur di sampingnya selama dua jam.
Para doktor di hospital itu masih lagi terkejut kerana pada jangkaan mereka, Holli Cheung, 36, sukar untuk hidup setelah mengalami serangan jantung kali kedua pada Januari lalu dan terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan.
Namun keajaiban berlaku apabila suami Cheung, Jason, meletakkan anak mereka, Jordan yang baru dilahirkan tiga bulan lepas di sisi isterinya sebelum jantungnya bergedup kembali.
Menurut Cheung, Jordan telah menyelamatkan dirinya yang putus harapan untuk terus hidup.
Ibu itu mengalami jangkitan virus pada otot jantung yang menyebabkan organnya gagal berfungsi.
“Saya seolah-olah boleh mendengar Jordan memberi semangat kepada saya untuk terus hidup. Saya tidak tahu Jordan berada di samping saya sehingga membuka mata, namun saya dapat merasakan kehadirannya.
“Sejak saya masuk hospital, sudah hampir 10 hari saya tidak melihat bayi lelaki saya kerana berada dalam keadaan koma, namun selepas Jordan baring di atas dada saya, jantung saya secara perlahan-lahan menjadi kuat. Saya sangat rindukan anak saya,” katanya kepada Daily Mirror.
Cheung yang aktif bersukan kini pulih sepenuhnya daripada masalah kesihatan itu dan kembali aktif menyertai maraton.
No comments:
Post a Comment