Niloofar Rahmani
Niloofar Rahmani

AFGHANISTAN - Juruterbang wanita Afghanistan, Niloofar Rahmani, 23, tidak gentar apabila menerima ugutan bunuh dari pengganas, Taliban.

Menurut Dailymail, Niloofar dan enam lagi ikon wanita dari serata dunia dianugerahkan  Anugerah Keberanian Wanita 2015 dalam sebuah majlis di Amerika Syarikat, minggu lalu.

Menurut Niloofar, sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang juruterbang menghabiskan hampir setahun mempelajari bahasa Inggeris untuk memasuki kolej.

Beliau akhirnya menyertai Program Latihan Pegawai Afghan Air Force pada 2010 dan tamat pengajian pada 2012 dengan pangkat Leftenan Kedua.

Niloofar dikatakan mengingkari sebuah arahan selepas menemui beberapa askar Afghanistan yang cedera ketika sebuah misi dan menerbangkan mereka ke hospital.

Pegawai atasan membuat keputusan untuk tidak menghukum Niloofar kerana mengingkari arahan tersebut.

Selepas kejayaan Niloofar menyelamatkan askar-askar berkenaan diketahui umum, beliau menerima ugutan bunuh daripada Taliban dan ahli keluarganya sendiri kerana pilihan kerjayanya itu.

“Anda tidak boleh melihat diri anda sebagai seorang wanita sahaja, anda perlu percaya kepada diri anda sendiri,” kata Niloofar ketika ditemuramah WTKR.

Beliau bertegas akan terus meneruskan kerjayanya dan bercita-cita untuk menjadi tenaga pengajar untuk menggalakkan lebih ramai wanita menceburi pekerjaan tersebut.