Mayat beku misteri ditemui
Rangka misteri dipercayai milik pendaki yang menyertai misi pada 1959.
PICO DE ORIZABA - MEXICO. Seramai 12 ahli pasukan penyelamat terkejut selepas menemui dua rangka manusia dipercayai membeku sehingga menjadi ‘mumia’ ketika menjalankan usaha mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan tertinggi Mexico, baru-baru ini.

Menurut metro.uk, Rangka manusia itu ditemui pada ketinggian 310 meter (m) dari puncak gunung Pico de Orizaba yang setinggi 5,636 m.

Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, Juan Navarro, identiti kedua-dua rangka itu masih belum dikenal pasti.

“Siasatan awal mendapati mayat tersebut mungkin milik pendaki yang menyertai ekspedisi pada 1959.

“Pada tahun tersebut, hanya empat pendaki selamat kembali manakala tiga lagi dilaporkan hilang,” katanya.

Pasukan penyelamat berdepan kesukaran meneruskan usaha mencari mayat ketiga berikutan kabus tebal menyelubungi kawasan pergunungan itu.