Laman web Oddity Central melaporkan, tembok yang turut dikenali sebagai Tembok Berlin Peru itu dibina bagi melindungi golo­ngan kaya di Las Casuarinas, sekali gus menghalang golongan miskin daripada memasuki kawasan tersebut.
Kawasan penempatan golo­ngan miskin yang terletak di pinggir Vista Hermosa berada dalam keadaan daif sehinggakan ada di antara rumah penduduk tidak mempunyai peralatan kemudahan paling asas.
“Rumah kayu hanya diterangi dengan api lilin dan beratapkan kayu reput terletak hanya beberapa kilometer sahaja daripada kediaman mewah bernilai jutaan ringgit,” lapor media tempatan.
Kebanyakan penduduk Peru tidak bersetuju dengan pembinaan tembok berkenaan yang disifatkan sebagai sesuatu yang hina dan telah melancarkan kempen memuat naik video dan gambar tentang situasi yang dihadapi oleh penduduk miskin di laman sosial untuk memalukan mereka yang menyokong idea tersebut.
Bagaimanapun, penduduk yang menetap di Las Casuarinas beranggapan tembok berkenaan penting bagi melindungi mereka daripada sebarang bentuk aktiviti jenayah.
“Terdapat tembok di seluruh kawasan bandar. Saya rasa tindakan tersebut bukan suatu diskriminasi. Bagi pihak lain, mereka merasakan pembinaan tembok sebagai satu penindasan kerana kami berjauhan dengan penduduk miskin,” kata penduduk Las Casuarinas, Renzo Alberti.