Ollie Trezise yang dianggap sebagai Pinocchio sebenar oleh ibunya selepas pembedahan dilakukan ke atasnya. AGENSI
CARDIFF 15 Dis. - Seorang kanak-kanak lelaki dari Wales disifatkan oleh ibunya sebagai ‘Pinocchio sebenar’ selepas otaknya didapati membesar dari dalam bahagian hidungnya hingga membentuk wajahnya sama seperti watak animasi itu yang popular pada tahun 1940.
Ollie Trezise dari bandar Maesteg dilahirkan dengan menghidap penyakit misteri yang belum pernah ditemui sebelum ini yang mengakibatkan bahagian otaknya membesar melalui rekahan dalam tengkoraknya hingga memasuki ke dalam hidungnya.
Mail Online melaporkan, keadaan itu memaksa Trezise, 21 bulan menjalani beberapa pembedahan bagi membantunya bernafas dan menutup ruang pada bahagian tengkoraknya itu.
Ibu Trezise, Amy Poole, 22, berkata, sejurus kelahiran anaknya itu, dia sering menerima ejekan daripada orang yang tidak dikenalinya termasuk ada yang memberitahu ‘Trezise tidak sepatutnya dilahirkan’, dan ada yang mencemuh anaknya sebagai ‘hodoh’.
“Penghinaan itu amat menyakitkan. Pernah ada seorang wanita memberitahu bahawa saya tidak sepatutnya melahirkan Trezise, saya terus menangis.
“Bagi saya. Ollie adalah sempurna. Dia merupakan Pinocchio sebenar dan saya amat berbangga dengannya,’’ kata Poole, ibu kepada dua orang anak.
Poole berkata, dia hanya mengetahui tentang keganjilan pada diri anaknya itu semasa dia melakukan imbasan pada minggu ke-20 selepas dia dilahirkan setelah doktor memaklumkan terdapat tisu yang sedang membesar pada wajah anaknya itu.
Poole yang selepas itu berpisah dengan bapa Trezise berkata, dia amat terkejut semasa pertama kali diberikan peluang memegang anaknya malah hampir tidak dapat berkata-kata.
“Dia terlalu kecil namun terdapat gumpalan besar seperti bola golf pada hidungnya.
“Pada mulanya saya tidak tahu sama ada saya dapat berdepan dengan situasi itu, namun saya tahu saya akan mencintainya tanpa mengira bentuk wajahnya,’’ kata Poole.
Sementara itu, seorang pakar di Hospital Kanak-Kanak Birmingham, Martin Evans berkata, kes Trezise dianggap sebagai ganjil dan mungkin berlaku sekali dalam setahun.
“Kami gembira kerana pembedahan ke atasnya berjaya dan mendoakan yang terbaik untuk masa depannya,’’ kata Evans.
No comments:
Post a Comment