JASON Oxlee sangat taksub dengan kasut jenama Adidas sehingga mengabaikan keluarganya. Agensi
LONDON 26 Okt. – Seorang lelaki di Leeds, London yang begitu obses mengumpul kasut sukan jenama Adidas sehingga mengabaikan keluarganya, kini mungkin terpaksa berdepan dengan penceraian.
Jason Oxlee, 44, yang dilapor memiliki 150 pasang kasut jenama tersebut, dikatakan sanggup berhabis duit bagi menambah koleksinya sehingga mengabaikan keluarga.
Mirror UK melaporkan, keadaan itu menyebabkan isterinya, Faye, 36, memberi kata dua kepadanya sama ada mahu memilih keluarga atau kasut kesayangannya.
Menurut Faye, setiap bulan, Oxlee yang bekerja sebagai pengurus membelanjakan 100 pound (RM650) hanya untuk memastikan dia memiliki kasut yang diingininya.
Tambah wanita itu, suaminya sanggup meminta anak-anak mereka berkongsi bilik kerana mahu menyimpan kasut di bilik berkenaan.
“Rumah kami sudah penuh dengan kasut termasuk kotaknya sekali. Saya tidak tahu bagaimana untuk melalui kehidupan seperti itu dengannya.
“Saya terpaksa memintanya memilih antara saya atau Adidas. Adalah tidak normal untuk memenuhkan kasut di setiap ceruk rumah,” katanya.
Faye berkata, suaminya menyimpan 50 pasang kasut di bawah katil mereka, 80 pasang di loteng, dan 20 pasang lagi di setiap ceruk dalam rumahnya.
Koleksi kasut Adidas edisi khas Oxlee juga dianggarkan bernilai hampir 15,000 pound (RM96,000).
Oxlee dan Faye yang berkahwin sembilan tahun lalu, mempunyai tiga orang anak berumur antara lapan hingga tiga tahun.
No comments:
Post a Comment