Steven Assanti, yang hampir seberat 362 kilogram, terpaksa tinggal di dalam kereta bapanya selepas dihalau daripada hospital kerana memesan piza. Agensi
RHODE ISLAND 8 Okt. - Seorang pemuda yang berat badannya hampir 362 kilogram yang dirawat di sebuah hospital di sini, dihalau selepas dia memesan piza, dan kini terpaksa tinggal dalam kereta SUV milik bapanya.
Portal Mail Online melaporkan, pemuda itu, Steven Assanti, 33, dari Cranston menerima bantuan untuk mengawal ‘ketagihan kepada makanan’ di Hospital Rhode Island di Providence.
Sejak dirawat di hospital berkenaan selama beberapa bulan, Assanti berjaya mengurangkan berat badannya kira-kira sembilan kilogram.
Bagaimanapun, apabila dia melanggar peraturan yang ditetapkan dengan memesan makanan ringan, Assanti yang kini seberat 352 kilogram tidak dibenarkan untuk berada di hospital berkenaan lagi.
Asssanti sepatutnya berada di hospital itu sehingga berat badannya turun kepada 249 kilogram bagi membolehkannya menjalani pembedahan pintasan gastrik.
Bapa Assanti, Steven Veilette berkata, dia tidak boleh membawa anaknya pulang dan tidak tahu apa yang patut dilakukan.
“Jika saya membawanya pulang ke rumah dan dia mampu memanjat tangga, anak saya akan kembali kepada ketagihannya itu.
“Saya sudah tidak tahu untuk meminta pertolongan siapa lagi. Saya sudah menghubungi semua pihak di Rhode Island dan tiada sesiapa boleh membantu saya,’’ katanya kepada stesen televisyen, NBC10.
No comments:
Post a Comment