BEIJING 7 Okt. – Sekumpulan pelancong China menjerit ketakutan semalam apabila satu panel di jambatan kaca yang baru dibuka sebagai tarikan pelancongan baharu, tiba-tiba retak pada ketinggian 1,078.9 meter.
Seorang gadis berusia 20 tahun menyiarkan gambar yang didakwanya sebagai kaca yang retak dalam laman media sosial China, Weibo.
Laman web akhbar People’s Daily Online melaporkan, gadis yang dikenali dengan nama pengguna ‘lidonghaishuohezainihaowodehai’ itu, berkongsi pengalaman buruknya selepas turun daripada jambatan tersebut yang terletak di wilayah Henan.
“Apabila saya hampir tiba di hujung laluan, saya dengar bunyi pecah tiba-tiba dan rasa gegaran di kaki saya.
“Ketika itu semua orang menjerit. Sangat menakutkan,’’ katanya.
Jambatan berbentuk U itu dibina di satu tebing menghadap Gunung Yuntai dan dibuka kepada orang awam pada 20 September lalu.
Pihak berkuasa mengesahkan kejadian terbabit dan bertindak menutup jambatan tersebut bagi melakukan kerja-kerja pembaikan.
Dalam pada itu, seorang jurucakap agensi Yuntai Mountain Scenic Spot berkata, panel kaca itu retak selepas seorang pelancong menjatuhkan cawan yang dibawanya.
“Bagaimanapun, hanya satu daripada tiga lapisan cermin laluan itu yang pecah, jadi tiada pelancong berada dalam bahaya,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment