Budd memegang ular sawa yang ditangkapnya di Mount Stewart, kelmarin. AGENSI
SYDNEY 6 Sept. – Penduduk Queensland di timur laut Australia diminta lebih berwaspada ketika menggunakan tandas selepas ini apabila peniaga di negeri itu menemukan seekor ular sawa bersaiz besar sedang bersembunyi di dalam sebuah mangkuk tandas, semalam.
Penemuan mengejutkan itu memaksa mereka menghubungi seorang penangkap ular sukarela, Elliot Budd dari Townsville untuk datang ke sebuah premis di Mount Stewart bagi mengeluarkan dan menangkap reptilia berkenaan.
“Ular itu kira-kira tiga meter panjang dan mungkin merupakan seekor daripada reptilia berkenaan yang pernah saya pindahkan sebelum ini.
“Mereka tidak menerangkan tentang kedudukan ular itu sehinggalah saya tiba dan saya tidak menjangka ular tersebut berada di dalam tandas,’’ katanya kepada Daily Mail Australia.
Bagaimanapun, usaha Budd menangkap ular itu tidak semudah seperti yang disangka kerana reptilia yang besar dan agak kuat itu cuba bersembunyi dengan masuk ke tangki air tandas.
“Kami mengangkat penutup tangki tandas itu namun reptilia tersebut berdegil dengan mengukuhkan cengkamannya pada saluran tandas tersebut.
“Akhirnya kepala ular itu terjulur keluar dan saya dapat menariknya dan mengeluarkan reptilia itu sepenuhnya,’’ kata Budd.
Budd meminta penduduk Queensland supaya berwaspada kerana pada musim panas ini, ular sawa akan mencari perlindungan di tempat yang sejuk dan mencari sumber air untuk minum.
Budd berkata, penemuan ular yang bersembunyi di mangkuk tandas di sebuah premis di Mount Stewart bukanlah yang pertama kali berlaku kerana dua hari sebelum itu, seorang penangkap ular berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang 2.3 meter juga di dalam tandas, dalam kejadian di Telso.
No comments:
Post a Comment