Zain Ackrim (kiri) dan abangnya, Rehan, berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro dalam tempoh enam hari sahaja. AGENSI
DODOMA, Tanzania 1 Sept. – Seorang kanak-kanak lelaki dari Holland Park, West London dinobatkan sebagai pendaki Britain paling muda berjaya menakluk gunung tertinggi Afrika, Kilimanjaro.
Zain Ackrim berjaya mendaki gunung itu di timur laut Tanzania yang mempunyai ketinggian 5,895 meter dari paras laut, baru-baru ini, dalam tempoh enam hari sahaja.
Ackrim yang berumur sembilan tahun 11 bulan hanya mengetahui dia berjaya memecahkan rekod sebagai pendaki paling muda berjaya menawan gunung itu, apabila sampai di puncak Gunung Kilimanjaro.
Dia turut ditemani bapa, Rehel, 49, dan abangnya, Rehan, mendaki gunung itu bersama sekumpulan pendaki dari Amerika Syarikat dan Scotland.
Menurut Mirror UK yang menemuramah Ackrim, dia begitu teruja dan gembira kerana berjaya menakluk gunung tertinggi di Afrika itu, selepas menjalani latihan intensif termasuk pendakian di pergunungan Banjaran Alps dan Gunung Snowdon di Wales.
“Rasa penat itu belum hilang lagi walaupun sudah beberapa hari, tetapi saya rasa sangat gembira kerana berjaya sampai ke puncak,” katanya.
Keluarga Ackrim menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kilimanjaro sebagai aktiviti kebajikan untuk mengumpul dana bagi projek-projek persekolahan di Afrika.
Sebelum ini, rekod pendaki muda Britain dipegang seorang kanak-kanak lelaki berumur 10 tahun dari Wetherby Yorkshire, Britain yang berjaya menakluk gunung itu pada 2014.
No comments:
Post a Comment