BRUNO GRACIANO sempat merakamkan pemandangan indah di Rio de Janeiro ketika seorang pelagak ngeri meniti kabel pada ketinggian 200 meter, baru-baru ini. AGENSI
RIO DE JANEIRO 7 Ogos – Tiga pelagak ngeri mengambil masa selama empat jam untuk menamatkan cabaran meniti tali setinggi 200 meter yang menghubungkan beberapa bangunan ke puncak sebuah bukit di sini, baru-baru ini.
Aksi mendebarkan itu yang dilakukan oleh Ighor Pereira, Mitsu Kawaguchi dan Marcio Cardoso, sempat dirakamkan oleh jurugambar profesional tempatan, Bruno Graciano, 28.
Malah ketiga-tiga pelagak ngeri itu seolah-olah tidak berdepan sebarang ketakutan ketika mengimbangi badan untuk meniti tali yang berada pada ketinggian melebihi roda besar London Eye, yang menuju ke puncak Bukit Morro Cantalgo.
Graciano berkata, dia berasa bertuah kerana dapat merakamkan aksi memukau mereka itu yang sangat berbahaya dan boleh membawa maut.
Tambahnya, selain merakamkan aksi lagak ngeri, dia tidak melepaskan peluang mengambil gambar indah pemandangan Tasik Rodrigo de Freitas.
“Saya berasa teruja untuk mengambil gambar pemandangan indah bandar raya Rio de Janeiro.
“Malah saya rasa gembira kerana berada di puncak bukit untuk melihat aksi mendebarkan pelagak ngeri meniti tali pada ketinggian 200 meter,” katanya seperti laporan portal Mirror.
No comments:
Post a Comment