SEORANG wanita di Britain nekad menolak rawatan konvensional selepas dia disahkan menghidapi barah payudara kira-kira tiga minggu menjelang majlis perkahwinannya.
Alex Wynn, 33, dari Thame, Oxfordshire enggan menjalani rawatan termasuk membuang payu dara kirinya seperti disarankan doktor kerana mahu memiliki cahaya mata seperti pasangan lain.
Wynn menegaskan dia mahu melawan barah tersebut dengan menggunakan bahan semula jadi seperti mengambil vitamin C dan campuran jus sayur-sayuran termasuk lobak merah sebanyak 2 kilogram sehari.
"Saya memutuskan untuk merawat kanser dengan diet sihat walaupun doktor telah menyarankan pelbagai rawatan lapor  Daily Mail.
"Rawatan kemoterapi memberi kesan kepada sistem tubuh kita selama beberapa tahun dan saya tidak mahu ia memberi kesan kepada bayi dalam kandungan jika saya hamil dalam masa terdekat," jelasnya.
Keputusan Wynn turut mendapat sokongan daripada suaminya, Matt Baker, 30.
Wanita terbabit juga mengamalkan diet yang ketat seperti tidak mengambil daging, gula, produk tenusu, gluten, makanan tinggi kanji seperti kentang.
Wynn juga mempunyai kit ujian, Navarro Test yang berfungsi mengukur paras HCG, kimia sama dihasilkan sel barah.
"Saya telah membuat ujian sendiri sebanyak empat kali dan secara teorinya, paras kanser itu telah menurun," jelasnya.