Pages

Sunday, July 12, 2015

Kampung 1 buah pinggang

BEBERAPA penduduk kampung menunjukkan parut pembedahan pada badan selepas buah pinggang mereka dijual.
Kathmandu: Kampung Hokse di pinggir bandar ini dikenali sebagai kampung buah pinggang kerana hampir semua penduduknya mempunyai hanya satu organ berkenaan.
Keadaan itu berlaku apabila hampir semua penduduk kampung itu yang miskin menjual buah pinggang mereka sebagai jalan untuk mendapatkan wang.
Kebanyakan penduduk menggunakan wang hasil menjual buah pinggang mereka untuk membeli tanah dan membina rumah.
Seorang penduduk yang dikenali sebagai Geeta, 37, berkata, dia dan suaminya dipujuk oleh anggota sindiket perdagangan organ untuk menjual buah pinggang mereka.
Katanya, anggota sindiket itu memberitahu, mereka boleh hidup normal dengan hanya satu buah pinggang.
“Kami melihat ramai penduduk kampung lain sihat dan masih hidup selepas menjual buah pinggang mereka.
“Kerana terdesak mencari wang untuk membina rumah, saya dan suami akhirnya bersetuju,” katanya.
Katanya, dia dan suaminya dibawa ke sebuah hospital di sempadan India untuk mengeluarkan buah pinggang mereka.
“Saya dan suami dibayar £2,600 (RM15,298) selepas buah pinggang kami dikeluarkan.
“Mereka memberitahu, organ kami itu akan diberikan kepada seorang pesakit buah pinggang,” katanya.
Menurutnya, dia menggunakan wang hasil menjual organ itu untuk membeli tanah dan membuat rumah.
Bagaimanapun, keluarga Geeta dan seluruh penduduk kampung itu kini terpaksa tinggal dalam khemah semula selepas gempa bumi kuat yang melanda Nepal pada April lalu memusnahkan kediaman mereka.
“Kami kini terpaksa mencari ikhtiar lain untuk mendapatkan wang bagi membina kediaman kami semula,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2015 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/63818#sthash.XjuaBdmW.dpuf

No comments: