NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Dek kerana paranoid dengan dunia luar, seorang ayah sanggup mengurung anak-anaknya selama 14 tahun di dalam rumah. Mereka yang dikurung adalah Bhagavan, 23, pasangan kembar Govinda dan Narayana, 22, Mukunda, 20, Krisna, 18, Jagadesh, 17, dan yang paling bongsu, Visnu.


LATAR BELAKANG

Ayah kepada tujuh adik-beradik ini, Oscar Angulo merupakan seorang pendatang dari Peru, dan ibu mereka, Susanne, pula bekas pejuang budaya hipi dari Midwest, berkahwin pada bulan Disember 1989, di Peru.

Setelah berkahwin, mereka mengambil keputusan untuk berpindah ke Amerika Syarikat.


KEHIDUPAN DI AMERIKA SYARIKAT

Kehidupan awal mereka bermula di Los Angeles pada tahun 1994 dan tidak lama kemudian berpindah ke Side Manhattan, sejak Mei 1996 sehinggalah sekarang.

Selepas mendiami kediaman itu, ‎Angulo tidak membenarkan seorang pun daripada tujuh beradik itu untuk keluar rumah.

Bagi mencegah mereka daripada lari daripada rumah, bapanya senantiasa memastikan pintu rumah terkunci dan menyimpan satu-satunya anak kunci dengan serapi mungkin.

Susulan daripada tindakan ayahnya itu, anak-anaknya tidak pernah bersekolah. Mereka belajar membaca dan menulis daripada ibu mereka.


DUNIA HANYA DALAM RUMAH

‎Mereka hanya berkawan sesama mereka, malah  mereka tujuh bersaudara tidak pernah mempunyai kawan luar, tidak pernah merasai aktiviti beriadah di luar rumah dan hanya boleh mempelajari kehidupan luar dengan cara menonton filem, jika dihitung lebih 5,000 buah filem, sama ada disewa atau dibeli oleh ayahnya telah mereka saksikan.


ALASAN SI AYAH

Angulo percaya bahawa bandar New York bukanlah tempat ideal untuk anak-anaknya. Dia selalu curiga dengan keadaan di kawasan perumahannya, bahkan dia sangat percaya bahawa bandar  New York boleh merosakan dan memberi imej buruk dan negatif kepada anak-anaknya.

Atas sebab itulah Angulo bertindak mengunci pintu sepanjang masa.


BERJAYA KELUAR DARIPADA DUNIA RUMAH

Namun, setelah 14 tahun hidup terkurung, pada Januari 2010, salah seorang daripada mereka (Govinda) berjaya keluar daripada rumah dan membebaskan adik-beradik yang lain kecuali Visnu (adik bongsu).

‎Akhirnya sekitar bulan April 2010, seorang pengarah bernama Crystal Moselle secara tidak sengaja menjumpai mereka, penemuan itu benar-benar memeranjatkan Moselle.

"Saya menjumpai mereka dengan gaya yang aneh, keenam-enam mereka berjalan dengan berwajah eksotik, berambut panjang mengurai dan memakai cermin mata hitam.

"Saya seolah-olah menjumpai kaum yang telah lama hilang dari hutan Amazon. Saya merapati mereka dan sejak itu saya menjadi kawan kepada mereka.

"Dek kerana keunikan mereka saya terpanggil untuk memfilemkan kisah keluarga ini dalam sebuah dokumentasi berjudul, The Wofpack," katanya kepada AFP.

Akhirnya dokumentasi itu telah berjaya memenangi kategori Grand Jury Prize di Sundance Film Festival pada bulan Januari lalu. Kini, Govinda mengambil keputusan untuk tinggal berasingan, manakala enam yang lain kembali untuk tinggal bersama ibu bapa mereka.