Portal Mirror melaporkan, pelajar Universiti Texas di Austin, Joel Weber membina rumah mudah-alih dalam tempoh setahun dengan kos sebanyak AS$20,000 (RM60,000), sekali gus mengelak daripada membayar sewa rumah sebanyak AS$800 sebulan.
Malah Weber masih mampu meraih keuntungan dengan menjual semula rumah tersebut apabila dia menamatkan pengajiannya kelak.
Menurut laporan Mirror, walaupun rumah berkenaan hanya berukuran 44 meter persegi, berkonsepkan karavan, ia sudah memadai untuk keperluan seorang pelajar kerana ia turut dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik, air, dapur, sinki, bilik mandi dan dua loteng.
Weber berkata, dia menggunakan duit simpanannya dan mengutip bahan yang didermakan oleh penduduk tempatan untuk membina rumah tersebut, selain menerima bantuan daripada seorang tukang kayu dan juru elektrik.
“Saya melakukan kerja sambilan termasuk mengasuh dan kerja-kerja seni taman di kawasan setempat untuk mencari duit belanja.
“Jika mempunyai wang berlebihan, saya akan mengambil upah murah dengan penduduk tempatan yang mengambil saya bekerja, sebagai balasan kepada mereka kerana membantu saya membina rumah ini,” katanya.