Sun Ming Wong (kiri) dan King Pong Li (kanan) bergambar bersama pemegang pintu yang diselaputi sebatian titanium dioksida bagi membunuh bakteria. AGENSI
BEIJING 16 Jun - Dua pelajar pintar berjaya mencipta pemegang pintu yang boleh membunuh bakteria setiap kali tangan manusia menyentuhnya.
Laman web Oddity Central melaporkan, idea inovasi tersebut terhasil selepas Sun Ming Wong, 17, dan King Pong Li, 18, mendapati terdapat berjuta-juta bakteria hidup di sekitar objek yang sering dipegang oleh manusia setiap hari seperti tombol pintu dan pemegang troli.
Pelajar Sekolah Menengah Tam Lee Lai Fun Memorial itu berpendapat, bakteria boleh memudaratkan kesihatan manusia dan sesuatu perlu dilakukan bagi menghapuskannya.
Hasil kajian dan penyelidikan yang dijalankan oleh dua sahabat baik itu, mereka menemui sebatian titanium dioksida yang telah disahkan sebagai agen pembunuh bakteria paling berkesan.
“Kami juga mendapati titanium dioksida sangat aktif ketika berada di bawah sinaran UV. Bagi memastikan sebatian itu terus aktif, kami telah membina pemegang pintu khas yang diperbuat daripada lampu LED.
“LED bertindak sebagai sinaran UV tiruan. Kami boleh sahkan 99.8 peratus bakteria akan mati setiap kali sesiapa memegang tombol pintu berkenaan,” jelas Ming Wong.
Produk yang masih belum diberi nama itu kini berada dalam makmal untuk ujian lanjut dan dijangka dijual kepada umum pada harga AS$13 (RM48.81) sebuah.
No comments:
Post a Comment