HASRAT saya ialah untuk ke sekolah perubatan dan menjadi seorang saintis perubatan. Saya tidak berniat menjadi doktor walaupun ketika di sekolah perubatan dan latihan industri, saya melakukan segalanya yang melayakkan diri menjadi doktor perubatan,” - Salk

Apabila tiba musim panas sekitar tahun 1950-an di Amerika, ia menjadi antara waktu paling menakutkan bagi kebanyakan ibu bapa kerana pada ketika inilah ribuan kanak-kanak dijangkiti penyakit polio.

Bagaimanapun, beban itu seolah-olah hilang apabila seorang saintis mencipta vaksin bagi penyakit tersebut setelah penyelidikan teliti selama bertahun lamanya.

Jonas Salk menjadi hero kesayangan ramai dalam sekelip mata apabila hasil ciptaannya iaitu polio vaksin diisytiharkan selamat dan berkesan oleh Universiti Michigan, Amerika Syarikat pada 12 April 1955.

Sebelum Salk mencipta vaksin, polio merupakan penyakit virus terburuk yang menjadi wabak dan membunuh ribuan kanak-kanak serta orang dewasa setiap tahun. Ia menjadi salah satu penyakit zaman kanak-kanak paling ditakuti.

Presiden Amerika Syarikat Franklin D. Roosevelt juga adalah salah seorang mangsa polio paling terkenal dalam sejarah.

Genap 10 tahun selepas kematian Roosevelt, keputusan positif hasil daripada banyak ujian vaksin Salk diumumkan, dan nyata ia disambut baik semua masyarakat di seluruh dunia.

Kehidupan awal

Jonas Edward Salk dilahirkan di New York City pada 28 Oktober 1914. Ibu bapanya Daniel dan Dora Salk adalah migran dari Poland yang tidak mendapat sebarang pendidikan formal di negara asal mereka.

Meskipun begitu, ibu bapanya tetap ingin melihat Salk dan dua lagi adiknya Herman dan Lee berjaya dengan menggalakkan mereka belajar bersungguh-sungguh.

Salk berjaya melanjutkan pengajian di City College of New York (CCNY), dalam jurusan undang-undang sebelum bertukar ke bidang sains perubatan dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang kimia pada 1934.

Selepas CCNY, Salk menyambung pengajian di Universiti New York dan dijemput menghabiskan selama setahun dalam penyelidikan influenza. Dari situ, beliau mula bekerja dalam makmal sebelum menemui virus influenza jenis B sekitar tahun 1941.
 
Pembangunan vaksin

Pada 1947, Salk memutuskan untuk mencari sebuah institusi di mana beliau boleh memiliki makmalnya sendiri. Beliau kemudiannya didatangi Pengarah Penyelidikan di Yayasan Kebangsaan bagi Penyakit Polio yang menawarkannya mengambil bahagian dalam projek polio yayasan itu yang ditubuhkan Presiden Roosevelt.

Salk menerima tawaran itu dan melihat ia sebagai peluang membangunkan vaksin untuk polio. Sejak itu, beliau mengabdikan dirinya untuk pembangunan vaksin selama lapan tahun.

12 April 1955, kajiannya membuahkan hasil apabila Dr Thomas Francis Jr dari Universiti Michigan mengisytiharkan vaksin Salk selamat dan ia menjadi berita utama di seluruh dunia.

Bagaimanapun, Salk enggan mempatenkan ciptaannya kerana beliau tidak mempunyai keinginan untuk mendapatkan keuntungan peribadi. Sebaliknya, beliau ingin melihat vaksinnya disebarkan seluas mungkin.
 
Penubuhan Institut Salk
 
Pada tahun 1963, Salk mengasaskan Institut Jonas Salk untuk Pengajian Biologi, sebuah pusat inovatif bagi penyelidikan perubatan dan saintifik di La Jolla, San Diego.

Salk percaya institusi tersebut akan membantu ahli sains baharu dan akan datang membangunkan kerjaya mereka.

Difahamkan, beliau terus menjalankan penyelidikan dan menerbitkan buku, termasuk beberapa buah ditulis dengan kerjasama anak lelakinya yang juga seorang saintis perubatan.
 
Kehidupan peribadi
 
Selepas tamat pengajian pada tahun 1939, Salk berkahwin dengan Donna Lindsay, pelajar sarjana di New York College of Social Work.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Peter, Darrell, dan Jonathan Salk.

Bagaimanapun, pada tahun 1970, mereka bercerai dan Salk berkahwin dengan Françoise Gilot, bekas pembantu pelukis terkenal Pablo Picasso.

Salk meninggal dunia akibat kegagalan jantung pada 23 Jun 1995 ketika berusia 80 tahun, di La Jolla, San Diego di California dan dikebumikan di Taman Peringatan El Camino.