TENNESSEE - AMERIKA SYARIKAT. Seorang juruterbang bertindak memberikan piza kepada penumpang selepas penerbangan pesawat terpaksa ditangguh, semalam.

Menurut Dailymail, penerbangan Delta DL1346 dari Philadephia sepatutnya tiba di Atlanta namun tersadai di lapangan terbang Knoxville selepas cuaca di Georgia  menghalang sebarang pendaratan.

Menurut seorang penumpang, Khoury Ashooh berkata pesawat berpusing beberapa kali berdekatan Georgia dan kemudian berpatah kembali dan mendarat di Knoxville.

Penerbangan tersebut yang terpaksa ditangguh selama tiga jam menyebabkan kapten juruterbang memesan piza untuk diberikan kepada penumpang yang resah.

"Kami tersekat di lapangan terbang dan mereka buat parti piza!" kata Riley Vasquez yang berkongsi berita tersebut di Twitter.

"Penerbangan Delta menguruskan hal ini dengan baik. Anda hebat," kata Vasquez.

Difahamkan, beberapa penerbangan Delta yang tertangguh dari Ohio, Illinois dan Mississippi juga diberikan layanan sama.