Gambar diambil Alfredo Martinez, menunjukkan aksi Dane Jackson di air terjun di Sungai Alseseca berdekatan Veracruz, Mexico, baru-baru ini. Agensi
MEXICO CITY 1 Mei – Seorang jurugambar Mexico, bertindak berani mengikat dirinya dengan kabel bagi membolehkan dia mengambil gambar pelagak aksi ngeri, Dane Jackson menggunakan kayak untuk menyusuri air terjun setinggi 30.48 meter di Sungai Alseseca berdekatan Veracruz.
Jurugambar itu, Alfredo Martinez, 42, berkata, mereka memasang kabel sepanjang empat meter di hadapan air terjun tersebut bagi membolehkannya merakam gambar aksi Jackson, 21.
“Saya diberikan isyarat apabila Jackson mula mengayuh kayak dan saya menunggunya tiba di air terjun tersebut.
“Apabila Jackson melalui air terjun tersebut, saya mengambil gambar semua aksinya. Namun keadaan itu berlaku terlalu pantas, hanya dua saat sahaja,’’ katanya seperti dilaporkan laman web akhbar Mirror.
Jackson yang merupakan peserta kayak profesional dari Amerika Syarikat (AS) berkata, dia pada mulanya sudah merancang apa yang perlu dilakukan ketika menghampiri air terjun tersebut, namun segala perancangannya tidak dapat dilaksanakan.
“Apabila saya berjaya dan selamat melakukan aksi ini, saya mengenang kembali apa yang telah saya lakukan.
“Segala yang saya lakukan untuk sampai ke tahap ini, sangat berbaloi,’’ katanya menceritakan aksi yang dilakukannya pada awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment