Aksi menarik Ryusei meniru gaya legenda seni pertahanan diri, Bruce Lee mencuri perhatian ramai orang apabila videonya ditonton lebih 1.7 juta kali menerusi laman Facebook dan YouTube. AGENSI
TOKYO 4 Mei – Kanak-kanak berusia lima tahun kebiasaannya masih sukar untuk mengimbangi badan bermain papan luncur atau mengayuh basikal.
Tetapi berbeza dengan seorang kanak-kanak Jepun, Ryusei yang terkenal dengan kebolehannya beraksi dalam seni mempertahankan diri sehingga disebut-sebut sebagai pengganti legenda terkemuka pengasas seni Jeet Kune Do, Bruce Lee.
Menurut portal Mirror, bakat kanak-kanak berusia lima tahun itu terbukti mengagumkan apabila Ryusei meniru setiap langkah kungfu Lee tanpa menonton aksi pakar seni pertahanan diri tersebut.
Malah bapanya turut memuat naik aksi Ryusei dalam laman sosial Facebook dan laman perkongsian video YouTube pada tahun lalu yang menunjukkan kanak-kanak terbabit memakai baju hitam dan kuning yang selalu digunakan Lee ketika beraksi.
Dalam video berkenaan, Ryusei mempamerkan kebolehannya meniru gaya Lee menerusi filem terakhir bintang terkenal Hong Kong itu, Game of Death yang tidak berjaya disiapkan akibat kematian aktor berkenaan pada 1973.
Video tersebut ternyata mendapat sambutan hangat apabila telah ditonton lebih 1.7 juta kali dan ramai pengguna laman sosial menggelar Ryusei sebagai kelahiran semula Lee.
Selain itu, kanak-kanak terbabit dijemput melakukan persembahan di majlis tertentu dan pernah muncul dalam rancangan televisyen Korea Selatan untuk mempamerkan kemahirannya.
No comments:
Post a Comment