BAS dua tingkat bersalut emas dipamerkan di bandar Jinan, wilayah Shandong pada 25 April lalu sebagai cara syarikat emas SJONO menarik perhatian pelanggan. AGENSI
BEIJING 29 April – Sebuah syarikat barangan kemas China menampilkan idea tersendiri untuk menarik pelanggan apabila menghasilkan sebuah bas dua tingkat yang disalut emas dan dihiasi permata emas di bahagian dalam kenderaan itu, kesemuanya bernilai lebih 4.6 juta yuan (RM2.7 juta).
Portal People’s Daily yang memetik kenyataan jurucakap syarikat SJONO, Wang Lin sebagai berkata, idea itu merupakan cara untuk memberi peluang kepada pelanggan bertuah menaiki bas mewah berkenaan yang dihiasi lebih seribu barangan kemas.
Malah kata Lin, pembeli bertuah turut diiringi seorang model yang memakai barangan kemas termasuk rantai emas, gelang emas, subang emas dan mahkota yang bernilai lebih 1.9 juta yuan (RM1.1 juta).
Jelasnya, pihaknya menganjurkan peraduan gores dan menang kepada pembeli untuk mencuba nasib memenangi subang emas dan beberapa keping emas, selain menaiki bas mewah terbabit yang kini dipamerkan di bandar Jinan, wilayah Shandong.
“Hampir 80 peratus badan bas berkenaan disalut emas tulen dan barangan kemas yang digunakan untuk hiasan dalaman melebihi berat 80 kilogram,” katanya.
Kebanyakan emas yang dijual di China mempunyai kualiti 24 karat iaitu 99 peratus emas tulen.
Masyarakat Cina mengaitkan emas sebagai tuah yang baik serta lambang kekayaan, dan budaya tersebut masih kekal sehingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment