Satu daripada mayat pendaki, ditemui dalam keadaan seperti diawet di puncak Gunung Pico de Orizaba yang terletak di sempadan negeri Veracruz dan Puebla, Mexico, kelmarin. – AFP
MEXICO CITY 7 Mac – Misteri kehilangan beberapa orang pendaki gunung terungkai selepas 55 tahun, apabila mayat dua daripada mereka dijumpai di puncak gunung tertinggi negara ini, Isnin lalu.
Menurut Mail Online, mayat pertama ditemukan oleh sekumpulan pendaki kira-kira 310 meter dari puncak Gunung de Orizaba, yang mempunyai ketinggian 5,610 meter.
Kumpulan pendaki yang terdiri daripada 12 orang itu terpaksa mendaki puncak gunung tersebut yang terletak kira-kira lima jam dari Mexico City yang juga dikenali sebagai Gunung Berapi Citlaltepetl.
Menurut Datuk Bandar Chalchicomula de Sesma, mayat kedua pula ditemui hanya 150 meter dari mayat pertama dan lengkap berpakaian.
Mayat itu berada dalam keadaan seperti diawet berikutan cuaca sejuk di puncak gunung berkenaan.
Pegawai tempatan mengesyaki, dua mayat itu adalah rakyat tempatan Mexico yang hilang selepas runtuhan salji 55 tahun lalu di puncak gunung tersebut yang merupakan lokasi terkenal kepada pendaki-pendaki gunung.
Sehingga kini, identiti sebenar mayat tersebut belum dikenalpasti.
Usaha seterusnya oleh pasukan penyelamat untuk mencari mangsa-mangsa lain terjejas berikutan cuaca buruk.
Kedua-dua mayat tersebut dihantar ke Hospital Puebla bagi menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA).
No comments:
Post a Comment