Gambar illustrasi menunjukkan sebahagian Bandar Ekonomi Sultan Abdullah berdekatan Laut Merah yang dijangka siap dalam tempoh 10 tahun lagi melibatkan kos kira-kira RM371 bilion. AGENSI
JEDDAH 21 Mac – Kerajaan Saudi mendedahkan rancangan negara ini untuk membina bandar baharu bertaraf mega yang sedang giat dijalankan di sebuah kawasan padang pasir meliputi kawasan seluas 112 kilometer persegi, sekali gus apabila siap kelak melebihi saiz bandar Washington DC, Amerika Syarikat (AS).
Menurut portal berita Mail Online, bandar yang dipanggil Bandar Ekonomi Raja Abdullah (KAEC) terletak dekat Laut Merah, kira-kira 100 kilometer dari Jeddah, dijangka menelan kos pembinaan sebanyak AS$100 bilion (RM371 bilion).
Jelas laporan itu, bandar itu yang mampu menempatkan dua juta penduduk, merupakan perancangan Almarhum Raja Abdullah dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.
Setakat ini, projek mega itu telah mencapai 15 peratus dan kerja-kerja menyiapkan kemudahan awam dan kawasan penempatan masih dalam pembinaan, selain sebuah pelabuhan, kawasan pulau dan kemudahan pantai turut dibina.
KAEC merupakan satu daripada empat bandar baharu yang sedang dibina untuk memperluaskan peluang ekonomi, selain bergantung kepada industri minyak.
Pengarah Urusan Bandar Ekonomi Emmar, Fadi Al-Rasheed yang terlibat dalam pembinaan bandar KAEC berkata, projek itu melibatkan kemudahan bagi 65 peratus penduduk yang berusia 30 tahun ke bawah.
Jelasnya, Arab Saudi menghantar kira-kira 200,000 rakyatnya melanjutkan pelajaran di luar negara dan mereka akan membawa perubahan di bandar tersebut apabila pulang ke tanah air.
KAEC juga dijangka menjadi kawasan pelancongan penting bagi jemaah haji yang menunaikan haji atau umrah, lebih-lebih lagi Mekah dan Madinah bakal memiliki sistem rangkaian kereta api berkelajuan tinggi yang akan mula beroperasi pada hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment