Seekor Ibu gajah cuba mengeluarkan anaknya selama 11 jam selepas terperangkap di dalam perigi berhampiran Chatra, di India, baru-baru ini. – AGENSI
MUMBAI 28 Mac – Kasih ibu gajah kepada anaknya membuatkan haiwan itu tidak sanggup untuk meninggalkannya meskipun telah lebih 11 jam cuba menyelamatkan anaknya daripada maut akibat terperangkap di dalam sebuah perigi.
Dalam kejadian menyayat hati berhampiran daerah Chatra di India baru-baru ini, ibu gajah itu dilihat cuba menyelamatkan anaknya dengan menggunakan belalai dan kaki bermula pukul 9 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya.
Agak malang, usaha ibu gajah itu menjadikan keadaan lebih buruk selepas dia secara tidak sengaja menolak lebih banyak lumpur ke dalam perigi sehingga hampir membunuh anaknya.
Bagaimanapun, anak gajah itu akhirnya berjaya diselamatkan dengan bantuan penduduk kampung yang bergegas ke lokasi kejadian selepas mengetahui kejadian terbabit.
Menurut Jitendra Tiwari yang merakam kejadian itu dan membantu operasi menyelamat, mereka menggunakan beberapa buah lori pisang dan meletakkannya berhampiran perigi itu bagi mengalih perhatian ibu gajah daripada berada dekat dengan anaknya untuk beberapa ketika.
“Rancangan itu berjaya dan kami menggunakan masa yang ada untuk membuang longgokan lumpur yang memerangkap anak gajah tersebut,’’ katanya sebagaimana lapor Mail Online.
Selepas timbunan lumpur itu dipindahkan, ibu gajah kemudian menghampiri anaknya dan menggunakan belalai bagi mengeluarkan anaknya dari perigi itu sebelum kedua-dua haiwan tersebut beredar dari lokasi kejadian.
No comments:
Post a Comment