Aleks MIJATOVIC mencipta alat pemanas khas untuk mengelakkannya dari kesejukan ketika memancing. – AGENSI
BELGRADE 20 Feb. – Seorang nelayan, bertindak kreatif mencipta sebuah alat pemanas mudah alih yang boleh dipakai seperti beg galas untuk memanaskan badan ketika memancing dalam cuaca sejuk.
Paling menarik, rekaan Aleks Mijatovic, 45, itu juga boleh digunakan untuk memasak hasil tangkapannya, sambil dia terus memancing.
Menurut portal Daily Mail, alat pemanas mudah alih itu dicipta daripada besi terbuang dan menggunakan arang batu sebagai bahan api.
“Saya selalu pergi memancing ikan pada waktu Subuh atau malam. Walaupun saya memakai baju tebal, pakaian itu tidak mampu melindungi saya dari kesejukan”, katanya yang berasal dari Leskovac, selatan Serbia.
Mijatovic berkata, idea untuk membuat alat pemanas yang unik itu tercetus apabila dia bermimpi mempunyai ‘ketuhar’ mudah alih yang boleh dipakai seperti beg galas yang bukan sahaja mampu memanaskannya, malah memasak hasil tangkapannya.
Walaupun rekaan itu menjadi kebanggaan nelayan tersebut, penduduk kampung menyifatkan ciptaan Mijatovic sebagai berbahaya.
Rakannya, Ilija Kovacevic, 40, berkata, dia bimbang alat pemanas itu boleh mendatangkan bahaya kepada Mijatovic.
“Dia berkata, alat itu selamat dan boleh memanaskan badannya. Namun, saya tetap bimbang,” katanya.
No comments:
Post a Comment