Pages

Tuesday, September 9, 2014

Lelaki tanam pokok epal unik

Peter Collett menanda nama epal-epal yang tumbuh di sebatang pokok yang mampu menghasilkan 50 jenis epal berbeza di kebunnya di West Sussex, England. - AGENSI
WEST SUSSEX 8 Sept. - Seorang lelaki veteran di Tangmere, West Sussex, England berjaya menghasilkan sebatang pokok epal yang mampu mengeluarkan sebanyak 50 jenis buah epal berbeza, termasuk jenis epal yang jarang ditemui.
MailOnline melaporkan, Peter Collett, 83, menanam pokok tersebut menggunakan tunas yang dicantumkan daripada pelbagai jenis pokok epal bagi menghasilkan spesimen pokok unik berkenaan.
Ciptaan tunas pokok tersebut turut membolehkan Collett yang juga merupakan seorang ahli Royal Horticultural Society Fruit Group Committee memenangi pelbagai anugerah.
Selain itu, Collett yang mempunyai setengah ekar kebun epal mengambil masa selama 30 tahun bagi menanam sebanyak 130 jenis pokok epal serta 30 jenis pokok buah-buahan lain seperti plum, pear, ceri dan delima.
Antara epal yang dihasilkan ialah epal jenis Ashmead's Kernel yang ditanam buat pertama kali di Gloucestershire pada 1700-an.
Selain itu, epal lain yang jarang ditemui yang turut ditanamnya adalah Wonder, Red Devil, Laxton's Epicure, Spartan dan Crawley Beauty, manakala epal Api Noir adalah antara epal terkecil yang turut ditanam di kebun miliknya.
Collett yang merupakan bekas pengetua sebuah sekolah mula memupuk minatnya terhadap buah epal ketika Perang Dunia Kedua dengan meluangkan cuti musim panasnya dengan memetik buah epal di rumahnya di Norfolk.
"Kami diberi cuti panjang bagi membantu membawa hasil tanaman buah-buahan. Kemudian saya mula bekerja di sebuah kebun buah-buahan pada 1943 dan kembali ke sana enam tahun kemudian kerana saya suka bertani.
"Datuk dan moyang saya juga merupakan seorang tukang kebun, jadi bakat itu turun kepada saya. Britain mempunyai beratus-ratus jenis epal, jadi saya mula menanam pokok buah tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140909/lu_10/Lelaki-tanam-pokok-epal-unik#ixzz3Clfp1OJd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: