Pages

Wednesday, January 1, 2014

Rawatan pelik pulih pesakit dirasuk jin



KUBUR-KUBUR penghuni pusat pemulihan yang meninggal dunia boleh dilhat dari dalam bilik kurungan.


AKIBAT bertengkar dengan bapanya, Muhammed Din dikurung di dalam bilik kecil di sebuah tempat suci Afghan. Dia turut dirantai dan hanya diberi makan roti untuk 40 hari.
Muhammed dipaksa untuk menjalani perubatan tradisional di pusat pemulihan, Mia Ali Baba yang terletak di perkampungan Samar Khel di pinggir bandar Jalalabad, bagi memulihkannya daripada rasukan jin.
Walaupun selepas sedekad bantuan kewangan antarabangsa dan pakar perubatan disalurkan kepada Afghanistan, kebanyakan penduduk tempatan masih mempercayai kaedah perubatan tersebut.
"Saya bertengkar dengan bapa kerana saya mengambil duitnya untuk membeli sebuah motosikal," kata lelaki muda berbadan kurus yang duduk di atas selimut kotor dengan pergelangan tangan dan buku lalinya dirantai.
"Saya amat marah dan tidak berpuas hati dengannya kerana meletakkan saya di sini," katanya.
Halau semangat jahat
Muhammed dikatakan mempunyai lima parut di badannya yang diperoleh ketika berkhidmat dalam pasukan tentera Afghan. Dia ditempatkan di pusat tersebut yang mempunyai 20 bilik kecil diperbuat daripada batu.
Struktur siling dan dinding tidak berplaster, cuaca lembap serta tiada kipas angin menjadikan keadaan di tempat tersebut bertambah buruk.
"Para pesakit akan dirantai selama 40 hari dan hanya diberi makan roti bersama lada hitam. Ia bertujuan untuk menghalau semangat jahat di dalam badan mereka," kata Malik yang merupakan penyelia pusat tersebut.
KANAK-KANAK dari kawasan berhampiran turut dibenarkan mengunjungi pusat pemulihan Mia Ali Baba.


Pemulihan tersebut telah berjalan sejak 360 tahun lalu dan dipercayai ribuan pesakit berjaya dipulihkan. Pada peringkat akhir pemulihan, para pesakit akan diberi minum air rebusan kepala kambing untuk melengkapkan proses pemulihan.
Kesemua penghuni pusat pemulihan tidak bercakap antara satu sama lain kerana keletihan selepas mengikuti kaedah rawatan yang ketat semasa proses pemulihan. Ia juga menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merosot.
"Saya tidak mahu masuk ke sini, abang memaksa saya masuk. Dia kata mahu membawa saya berjumpa doktor dan meminta wang sebanyak 5,000 Afghani (RM293) daripada saya. Tidak lama kemudian, saya berasa pening dan mula sakit kepala," kata seorang lagi pesakit, Abdul berumur 30-an yang tidak mampu menjelaskan punca dia dihantar ke pusat pemulihan itu.
Keadaan bilik kurungan Abdul sangat menjijikkan. Ia berbau busuk dan dipenuhi sampah sarap. Kanak-kanak yang melintasi kawasan tersebut selalu mengetawakannya sebelum mereka melarikan diri.
Mengurung pesakit
Menurut pengarah dan juga seorang doktor di Hospital Psikiatri Kabul, Dr. Shah Temor Mosamim, dia tidak bersetuju dengan kaedah rawatan tersebut kerana ia tidak mempunyai rujukan asas mengikut aspek penyelidikan sains.
"Tidak kira berapa agresifnya seseorang pesakit, jika tidak memberinya makanan dalam tempoh 40 hari mereka akan lemah," katanya.
Menurutnya, di Afghanistan, terdapat beberapa rawatan tradisional untuk merawat pesakit mental iaitu merantai dan mengurung di dalam bilik atau menghantar mereka ke pusat pemulihan.
MUHAMMED dikurung di pusat pemulihan Mia Ali Baba selepas mengambil duit bapanya untuk membeli sebuah motosikal.


Kumpulan kempen Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) menggesa pusat pemulihan tersebut ditutup yang turut mendapat reaksi sama daripada aktivis hak asasi tempatan.
"Pusat pemulihan ini perlu ditutup kerana mengamalkan kaedah rawatan yang tidak sesuai dengan hak-hak asasi manusia," kata penyelidik HRW, Heather Barr.
Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Afghanistan, Rafiullah Bidar mempersoalkan tindakan keluarga yang sanggup membiarkan ahli keluarga mereka hidup di sana.
"Mereka fikir, ia pilihan terakhir... kita tidak boleh menolak kenyataan ini. Keluarga tersebut tidak berpuas hati dengan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan, sebab itu mereka bergantung kepada perkhidmatan pusat pemulihan berkenaan.
"Persekitaran tempat tinggal pesakit di pusat pemulihan itu tidak sihat, mereka membuang air besar dan kencing di dalam bilik kecil masing-masing. Saya masih ingat keadaan bau busuk dan suasana yang tidak sihat di pusat pemulihan itu ketika saya melawatnya dahulu," katanya.
Bagi Muhammed dan Abdul, ketakutan terbesar apabila berada di sana ialah kematian dan bukan sembuh daripada penyakit masing-masing.
Dari bilik kurungan, mereka boleh melihat kubur-kubur mereka yang telah meninggal dunia.
"Sesetengah keluarga tidak datang semula melihat pesakit sehingga mencecah enam hingga lapan bulan dan adakalanya pesakit tersebut meninggal dunia. Kami mengebumikan mereka di sana," kata penjaga pusat pemulihan itu, Mir Shafiqullah sambil menunjukkan satu kawasan perkuburan di luar pusat pemulihan itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz2p619YOKy 
Hakcipta terpelihara 

No comments: