Pages

Wednesday, December 24, 2014

Selfie tak bertempat

Beijing: Biro Kesihatan Xi’an mengumumkan pemecatan tiga pegawai hospital selepas gambar sekumpulan pakar bedah mencetus kontroversi apabila mereka mengambil selfie bersebelahan pesakit yang sedang dirawat.
Tiga yang dipecat itu ialah timbalan presiden, dekan dan ketua jururawat di jabatan anestesiologi Hospital Xi’an Fengcheng.
Ketua pegawai eksekutif dan pekerja perubatan di dalam gambar berkenaan juga dikenakan demerit dalam rekod mereka - satu daripada hukuman dalam pentadbiran di China.
Mengikut biro berkenaan, gambar itu diambil pada 15 Ogos lalu di dalam bilik pembedahan yang akan ditutup.
Disebabkan itu, petugas terbabit sengaja mengambil gambar kenang-kenangan di bilik berkenaan.
Selfie itu kemudian dimuat naik ke Sina Weibo - Twitter versi China - Sabtu lalu oleh seorang pengguna yang mendakwa rakan kepada doktor terbabit.
Ekoran penyiaran gambar itu, ramai pengguna Weibo yang berang.
Seorang daripada mereka menulis: “Apa yang kamu lakukan ketika pembedahan? Patutlah banyak kes perubatan dipertikaikan pesakit.”
Walaupun gambar itu dipadamkan, ia terlewat kerana tersebar di media sosial.
Pada Isnin, gambar berkenaan dilihat 9.9 juta kali dan mendapat lebih 12,000 komen.
Ada pengguna Weibo menyelar perbuatan doktor terbabit sebagai tidak profesional.
“Perbuatan itu salah. Pesakit belum sedar dan doktor bergembira tanpa mengendahkan privasi pesakit,” kata pengguna bernama Youma.
Namun ada juga yang memandang perkara itu dengan positif.
Baiyishanmao yang dikenal pasti seorang pakar bedah menganggap tidak ada salahnya mengambil gambar selepas selesai melakukan pembedahan yang berjaya.
Komennya itu mendapat lebih 10,000 ‘like.’
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Disember 2014 @ 5:06 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18645#sthash.IBzZb0Gn.dpuf

No comments: