Kucing berbulu hijau ditemui berkeliaran di sekitar bandar Laut Hitam di Varna, Bulgaria, baru-baru ini. – AGENSI
VARNA 5 Dis. – Penduduk tempatan gempar dengan kehadiran seekor kucing liar berwarna hijau terang yang ditemui berkeliaran di sekitar Varna, sebuah bandar pelancongan di Laut Hitam di Bulgaria, baru-baru ini.
Laman web, MailOnline melaporkan, pada mulanya, penduduk tempatan menganggap kucing berkenaan menjadi mangsa individu nakal.
Mereka turut menubuhkan satu halaman kumpulan dalam Facebook yang dipanggil ‘Hukuman kepada Pesalah Jenayah Ini’ bagi menangkap individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tersebut terhadap kucing berkenaan.
Namun, sebenarnya kucing itu mempunyai bulu berwarna hijau kerana haiwan tersebut tidur di atas longgokan cat hijau sintetik dalam sebuah garaj yang menyebabkan kucing itu kelihatan lebih hijau setiap hari.
Kini, kucing hijau itu menjadi semakin terkenal apabila satu rakaman video yang dimuat naik dalam laman web, YouTube menunjukkan haiwan tersebut bermain dengan seekor kucing perang.
Persatuan Diraja Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (RSPCA) memberi amaran bahawa tindakan mengecat atau menukar warna bulu binatang atas tujuan kosmetik boleh menyebabkan kesan buruk kepada haiwan itu.
Varna yang merupakan bandar terbesar Bulgaria adalah sebuah destinasi popular di negara ini yang terletak di tepi pantai Laut Hitam.
No comments:
Post a Comment