Kisah pulau ‘kapal perang’
PULAU HASHIMA - JEPUN. Dari jauh kelihatan seperti kapal perang yang siap sedia melancarkan serangan, hakikatnya ia hanyalah salah sebuah dari 505 pulau tidak berpenghuni di Wilayah Nagasaki di Jepun.

Terletak 15 kilometer daripada Nagasaki, Pulau Hashima atau dikenali sebagai Gunkanjima dikatakan menyimpan sejarahnya yang tersendiri.

Ditemui pada tahun 1887, pulau yang didiami oleh 5,259 penduduk ini dibangunkan oleh syarikat Mitsubishi Corporation.

Pulau yang begitu kaya dengan sumber arang batu ini menjadi gemilang pada tahun  1959 dengan pembinaan bangunan serta kemudahan awam yang lengkap.

Oleh kerana ruang daratan yang begitu sempit, pemaju mengambil langkah membina bangunan tinggi untuk didiami pekerja arang batu yang bekerja di pulau tersebut.

Selain itu, kemudahan lain seperti pusat perubatan, bar, panggung wayang dan restoran turut dibina.

Ia menjadikan pulau tersebut sebagai petempatan yang mencatatkan jumlah penduduk paling padat di dunia dengan nisbah 835 orang dalam satu kilometer persegi.

Sebaik berakhirnya Perang Dunia Kedua, kemudahan di pulau tersebut ditambah baik dengan adanya kemudahan kabel, radio dan sebagainya.

Selain itu, penanaman taman-taman dan tanaman sayuran mula diwujudkan di atas bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut.

Namun pada  tahun 1974, penggunaan arang baru mengurang dengan wujudnya sumber tenaga utama dari minyak, menyebabkan lombong di Pulau Hashima ditutup dan penduduk akhirnya mula meninggalkan pulau tersebut.

 Kegemilangan pulau mewah ini surut perlahan-lahan. Pulau Hashima dibiar tanpa berpenghuni dan segala-galanya ditinggal sepi begitu sahaja.

Bangunan-bangunan tinggi di pulau tersebut mulai reput, buruk, runtuh dan rosak manakala tumbuh-tumbahan mulai menjalar liar.

Pulau tersebut masih menerima kunjungan daripada pelawat yang mahu menyaksikan sendiri tinggalan bangunan dan runtuhan di sana.

Sehingga kini tiada rancangan dibuat untuk membangunkan semula pulau tersebut.