JAKARTA 22 Nov. – Peserta Tunisia, Fatma Ben Guefrache dinobatkan sebagai Ratu Cantik Muslimah pada edisi keempat pertandingan itu yang diadakan di Yogyakarta, malam semalam.
Fatma, seorang pakar komputer, menewaskan 17 finalis lain sekali gus melayakkannya menerima hadiah seutas jam tangan emas, sekeping dinar emas dan pakej umrah ke Mekah.
Ketika diberi peluang berucap bagi menyatakan perasaannya menang dalam pertandingan itu, Fatma berharap, Palestin dan Syria dapat bebas daripada belenggu peperangan.
“Semoga Allah membantu saya dalam misi ini dan bebaskanlah Palestin. Tolonglah, tolonglah, bebaskan Palestin dan rakyat Syria,’’ kata wanita berusia 25 tahun itu sambil menangis.
Fatma dalam video promosi tentang dirinya di YouTube menyatakan bahawa dia gemar berzikir dan membaca al-Quran.
Dalam video itu juga, wanita tersebut memegang bendera Palestin bersama kapsyen gambar, ‘Katakan tidak kepada penjajahan!’.
Peserta Ratu Cantik Muslimah bukan sahaja dikehendaki memakai tudung dan diadili dari segi penampilan, malah kelancaran membaca al-Quran serta pandangan mereka tentang Islam di dunia moden turut diambil kira.
Pertandingan itu mula menarik perhatian global tahun lalu selepas pihak penganjur mengadakan acara berkenaan sebagai bantahan secara aman kepada pertandingan Ratu Cantik Dunia yang dilangsungkan di tempat dan masa yang sama di pulau peranginan di Bali. – AFP
No comments:
Post a Comment