Mail Online melaporkan, kereta lumba itu diberi nama Grimsel, kelihatan seperti sebuah kereta permainan berbanding sebuah mesin berteknologi tinggi, yang berjaya memecahkan rekod dunia dengan mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 1.785 saat dalam jarak 30 meter.
Kereta yang diperbuat daripada gentian fiber itu mempunyai berat 168 kilogram dan mengeluarkan kuasa kuda 200hp (147 kW).
Pada perlumbaan yang dilakukan oleh pasukan pelajar Formula di Akademi Club Motor Zurich (AMZ), kenderaan itu berjaya menewaskan rekod sebelum ini pada catatan 2.134 saat yang dilakukan oleh sebuah kereta elektrik yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Delft.
Rekod terbaru itu dicatatkan di lapangan terbang tentera di Dubendorf apabila kenderaan itu membuat pecutan selaju 100 km/j pada jarak kurang 30 meter.
Kereta itu dibina dalam tempoh tidak sampai setahun oleh 30 pelajar Jurusan Sains Gunaan dan Kesenian di ETH Zurich dan Universiti Lucerne.
Grimsel merupakan kereta elektrik kelima yang dibangunkan AMZ dan kejayaan itu adalah hasil kerja-kerja pembangunan yang berterusan.
Kereta pacuan empat roda itu direka dengan empat hub roda khas yang isteimewa serta mampu menghasilkan tujahan keseluruhan 1630Nm.