Sumber, ibtimes.co.uk melaporkan, Ma yang memiliki kekayaan bernilai AS$24 bilion (RM80 bilion) mendedahkan, dia tidak gembira seperti yang disangka serta menyifatkan lebih sukar untuk membelanjakan duit daripada berusaha untuk mendapatkan wang.
“Saya tidak berasa senang hati, sebaliknya sangat tertekan. Ramai yang berkata, menjadi kaya adalah menyenangkan, tetapi tidak kepada lelaki paling kaya di China.
“Saya tertekan kerana semua orang menghampiri saya disebabkan wang. Hari ini ketika saya berjalan kaki di luar, orang ramai memerhatikan saya. Saya mahu menjadi diri sendiri,” katanya dalam wawancara stesen televisyen, CNBC TV.
Menurut senarai kekayaan tahunan, The Hurun Report, nilai kekayaan Jack meningkat enam kali ganda berbanding tahun lalu.
Lelaki berusia 50 tahun itu memiliki enam peratus saham syarikat Alibaba yang bernilai AS$164 bilion (RM547 bilion) dan mempunyai 46 peratus pegangan dalam laman web transaksi, Alipay.
Ma juga merupakan seorang daripada lima pendatang baharu dalam senarai 10 individu paling kaya di China yang kebanyakannya terlibat dalam sektor teknologi negara ini.