Gail Be menghabiskan masa selama tiga tahun untuk menyiapkan gaun tebesar di dunia dengan bantuan 22 orang tukang jahit. – AGENSI
MINNESOTA, Amerika Syarikat 19 Nov. – Seorang pereka pakaian berjaya menghasilkan sepasang gaun pengantin yang diiktiraf sebagai yang terbesar di dunia dengan hanya menggunakan manik.
Mail Online melaporkan, Gail Be menghabiskan masa selama tiga tahun untuk menyiapkan gaun yang mempunyai berat 181 kilogram dan panjang enam meter itu dengan bantuan 22 orang tukang jahit.
Be berkata, proses menjahit gaun menggunakan 995,000 biji manik kristal yang dikumpul dari seluruh dunia itu dijalankan secara rahsia dan hanya didedahkan kepada umum, baru-baru ini.
“Saya mahu menghasilkan kerja tangan yang boleh disifatkan sebagai `hasil seni’ dan saya telah menghasilkan sebuah gaun pengantin terbesar di dunia.
“Gaun ini bukan untuk digunakan pada mana-mana acara perkahwinan tetapi saya mahu gaun ini digunakan dalam penggambaran filem atau dipamerkan di muzium,” jelas wanita berusia 57 tahun itu.
Kata Be lagi, dia tidak membuat lakaran awal atau menyukat panjang gaun tersebut sebelum kerja-kerja menjahit dijalankan.
Menurut laman web Guinness World Records, rekod gaun pengantin paling besar penah dihasilkan ialah pada 2011 oleh Hikmat Gelinlik Moda Tasarim dari Turki menggunakan 45,024 manik kristal.
No comments:
Post a Comment