Pages

Tuesday, September 30, 2014

Tiga maut dirempuh trak gergasi


Trak gergasi yang gagal dikawal menyebabkan seorang kanak-kanak dan dua dewasa terkorban, manakala berpuluh penonton cedera di Belanda, kelmarin. - AGENSI
HAAKSBERGEN 29 Sept. - Seorang kanak-kanak dan dua dewasa terbunuh, sementara lebih 15 cedera apabila sebuah trak gergasi yang melakukan pertunjukan aksi ngeri hilang kawalan lalu terbabas ke arah para penonton di Belanda semalam.
Akhbar Daily Mail melaporkan, tragedi menyayat hati itu berlaku apabila trak tersebut yang baru melompat melepasi lima buah kenderaan, tiba-tiba hilang kawalan lalu meluru ke arah penonton yang menyaksikan acara berkenaan di sebuah tempat letak kereta di timur bandar Haaksbergen.
Datuk Bandar kepada kawasan yang menempatkan 25,000 penduduk itu, Hans Gerritsen berkata, kira-kira 15 hingga 30 orang cedera dalam kemalangan tersebut dan lima di antara mereka cedera parah.
Katanya lagi, tiga mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak.
Sementara itu, beratus-ratus penonton yang hadir ke pertunjukan tersebut tergamam apabila trak gergasi itu terbabas ke arah kumpulan penonton yang ramai.
Pasukan ambulans udara, paramedik, jentera bomba dan polis dikejarkan ke tempat kejadian malah sebahagian pasukan kecemasan yang terlibat datang dari sekitar Jerman untuk memberi bantuan.
Sebanyak dua buah hospital terlibat melaksanakan pelan pemulihan ekoran kejadian berkenaan.
Para pegawai keselamatan memberitahu agensi media NOS, pemandu trak gergasi itu telah ditahan untuk soal siasat.
Katanya lagi, penahanan pemandu itu merupakan prosedur biasa dalam kejadian seumpamanya.
Punca kejadian masih tidak diketahui, namun beberapa spekulasi mendakwa kemalangan tersebut berlaku ekoran brek trak berkenaan gagal berfungsi.
Presiden Star Events Foundation Haaksbergen, Geerlorf Kanis berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik seperti diperlukan bagi memastikan keselamatan penonton yang datang menyaksikan pertunjukan berkenaan.
"Selama tujuh tahun kami telah anjurkan acara ini. Setiap tahun aksi ngeri seumpama ini kerap diadakan membabitkan kereta atau motosikal. Kami pastikan ruang yang ada luas dengan ciri-ciri keselamatan yang perlu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_06/Tiga-maut-dirempuh-trak-gergasi#ixzz3Ek3M5pxH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: