Pages

Tuesday, September 30, 2014

Masih ada harapan


Pakar bedah Australia, Tony Holmes bertemu dengan Yahya Zohra, kanak-kanak warga Maghribi untuk kali pertama Ogos lalu bagi menilai sejauh mana dia boleh membentuk semula muka kanak-kanak itu.

“Saya percaya adalah menjadi hak bagi setiap orang untuk dilihat sebagai manusia tetapi Yahya tidak macam manusia biasa.
“Yang membimbangkan saya ialah sama ada dia sesuai menjalani pembedahan atau tidak,” kata Holmes. Yahya dilahirkan di perkampungan kecil berhampiran Tangiers tanpa mata, hidung dan rahang atas kerana tulang mukanya gagal bercantum ketika dalam kandungan.

Satu-satu rakannya ialah Heba, kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebelah rumahnya.

Bapanya, Mostapha berkata, dia sudah puas membawa Yahya dari seorang pakar ke seorang pakar untuk mendapatkan bantuan selepas anaknya dilahirkan.
Foto
Holmes bersama Yahya.
Tetapi, tidak seorang pun bersedia merawatnya.

Mujur wanita kelahiran Maghribi yang menetap di Melbourne, Fatimah Bakara terbaca kisah kanak-kanak itu di Facebook bersedia membantu dan menjejaki Holmes.
“Dia bersedia membantu Yahya dan saya sekeluarga amat berterima kasih kepadanya,” kata Mostapha.

Fatimah sendiri berdepan dengan barah payu dara apabila mengetahui nasib Yahya tetapi ia tidak menyekatnya menelefon keluarga itu untuk menyatakan kesediaannya membantu.

Holmes yang turut dihubungi Fatimah juga bersedia menghulurkan bantuan.

Pakar bedah itu akan terus memeriksa keadaan Yahya walaupun sedar prosedur itu memerlukan banyak pembedahan.

Dia berharap untuk melakukan pembedahan pertama di Melbourne menjelang tahun ini.

“Maaf cakap, kecacatan Yahya sungguh teruk. Anda boleh lihat di mana matanya sepatutnya berada. Lubang di tengah mukanya sepatutnya hidungnya. Anda boleh lihat mulutnya terbuka dan di sebelah ialah otaknya. Tidak ada tulang, kulit saja,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments: