Pages

Thursday, September 4, 2014

Ratu cantik tuntut permohonan maaf sebelum serah mahkota



RATU cantik Myanmar, May Myat Noe. - Foto EPA
NAYPYIDAW: Penganjur pertandingan Ratu Cantik Asia Pasifik di Korea Selatan mengancam untuk membuat laporan polis dalam usaha mereka menuntut supaya ratu cantik Myanmar, May Myat Noe mengembalikan semula tiara yang dimenangi yang didakwa dilarikan ke negara asal wanita itu.
Pengasas pertandingan itu, Choi Youn mendakwa May Myat Noe lari bersama tiara terbabit yang dianggarkan bernilai AS$100,000 yang dimenanginya di Korea Selatan Mei lalu selepas beliau menjadi ratu cantik pertama di peringkat antarabangsa.
"Perkara ini sekarang adalah membabitkan imej dan reputasi negara dan beliau perlu ditahan kerana melarikan tiara itu," kata Choi kepada Reuters di Seoul.
Katanya, pihak penganjur bercadang untuk melaporkan perkara itu kepada polis.
Kelmarin, ratu cantik berkenaan yang ditarik balik gelarannya atas dakwaan menipu dan tidak jujur menegaskan hanya akan memulangkan semula tiara kemenangannya jika penganjur ratu cantik Korea Selatan itu memohon maaf.
Beliau turut menafikan mendapatkan rawatan pembesaran buah dada secara percuma.
Penganjur juga mendakwa May lari bersama mahkota terbabit selepas menjalani pembedahan implan buah dada bernilai AS$10,000 yang dibiayai penganjur untuk meningkatkan karier nyanyiannya.
May Myat Noe dalam satu sidang media di Yangon kelmarin berkata beliau masih lagi seorang ratu apabila pulang ke negaranya bersama tiara terbabit.
Beliau hanya menerima surat memaklumkan beliau digugurkan gelaran itu selepas tiba di tanah airnya.
Katanya, beliau hanya akan mengembalikan tiara itu selepas menerima satu permohonan maaf dari penganjur yang menyebarkan pembohongan mengenai dirinya yang turut menjejaskan 'maruah negaranya'.
"Sebaik saja semua dijelaskan, saya akan kembalikan tiara ini secara sukarela," katanya yang turut mendakwa penganjur di Myanmar memalsukan umurnya dari 16 kepada 18 tahun.
Katanya, penganjur di Korea Selatan pula cuba memujuknya menjalani pembedahan membesarkan buah dada tetapi beliau enggan melakukannya.
Antara tuduhan lain, May Myat Noe berkata, penganjur juga meminta beliau untuk 'mengiringi beberapa jutawan sekiranya mereka meminta berbuat demikian dalam usaha untuk mendapatkan wang bagi menghasilkan album beliau sebagai seorang penyanyi.
Choi yang juga bekas ratu cantik menafikan dakwaan itu.
"Tidak sama sekali. Ia adalah tidak benar." - Reuters

No comments: