Pages

Tuesday, September 30, 2014

Rumah Tergantung Tepi Tebing, Depan Laut


Kediaman tergantung yang sedang dibina di Australia berhadapan Lautan Hindi yang luas.

CANBERRA: Tidak pernah terbayang akan ada kediaman berkonsep tergantung, lebih-lebih lagi di tebing tinggi berhadapan lautan luas di pinggir Australia.

Portal berita melaporkan rekaan yang dihasilkan arkitek negara itu dari Modscape's Ambitious Designs.

Siput laut atau teritip yang melekat dan tergantung di bawah kapal atau perahu memberi ilham kepada pereka firma berkenaan.


"Rekaannya ini sesuai dengan permintaan pelanggan yang inginkan sesuatu yang luar biasa di kawasan pantai di Australia.

"Rumah ini bukan sahaja tergantung di tebing bukit, malah memiliki pemandangan Lautan Hindi yang indah," kata jurucakap firma tersebut.

Kediaman mewah itu memiliki lima tingkat, selain digantung di tebing dengan menggunakan pin keluli kejuruteraan tinggi.

Beberapa arkitek dan pakar kejuruteraan daripada firma berkenaan akan bekerjasama membina rumah pasang siap ini.

Ontake Meletus: 30 Pendaki Nazak Ditemui Dekat Puncak


Diterbitkan: Isnin, 29 September 2014 11:00 AM
Pasukan mencari dan menyelamat masih meneruskan misi untuk mengeluarkan mangsa kejadian letusan gunung berapi di tengah Jepun itu.

OTAKI: Lebih 30 pendaki ditemui dalam keadaan nazak berhampiran puncak gunung berapi Ontake yang meletus di tengah Jepun.

Agensi berita Kyodo melaporkan, kumpulan pendaki ditemui  selepas sehari ia memuntahkan debu, batu dan asap.

Laporan berita itu juga menyebut kumpulan pendaki itu ditemui pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat di kawasan pergunungan itu.

Helikopter tentera juga digunakan untuk membawa keluar mangsa kejadian itu, memetik kenyataan pegawai polis seperti dilaporkan Kyodo.

Anggota bomba, polis dan tentera meneruskan operasi selepas empat mangsa disahkan maut dan sekurang-kurangnya 27 lagi dikhuatiri mati.

Lebih 500 anggota penyelamat kembali ke gunung berapi itu selepas operasi berkenaan ditangguhkan berikutan wujud gas beracun yang berbahaya.

Asap masih kelihatan di puncaknya tetapi helikopter mulai melakukan usaha mencari mangsa dari udara di gunung berapi yang popular dalam kalangan pengembara itu.

Sekurang-kurangnya 31 orang dijumpai terbaring berhampiran puncak gunung berapi setinggi 3,067 meter itu, yang meletus Sabtu lalu.

Empat daripada 31 orang itu dibawa turun dan kemudian disahkan mati. Semua mereka adalah lelaki berusia antara 23 hingga 61 tahun.

Anggota penyelamat berusaha untuk membawa turun baki 27 orang lagi yang masih berada di gunung berapi itu yang dalam keadaan 'serangan jantung', ungkapan yang digunakan sebelum doktor mengesahkan kematian.

Anggota bomba pula secara berasingan mengesahkan lebih 30 orang cedera akibat terkena batu yang berterbangan dan menghidu gas beracun.

Agensi Meteorologi meramalkan bahawa letusan akan berlaku lagi, dan memberi amaran bahawa serpihan daripada letusan itu boleh menjangkau sejauh empat kilometer dari puncaknya. 

Curi Cincin Berlian RM500,000 Untuk Beli Ganja RM60


Diterbitkan: Ahad, 28 September 2014 2:00 PM

ARIZONA: Seorang bekas pekerja syarikat perkhidmatan kargo udara di lapangan terbang di sini dituduh mencuri berlian bernilai hampir £100,000 (RM500,000) sebelum menukarkannya dengan ganja yang cuma bernilai £12 (RM60).

Walter Earl Morrison, 20, masih bertugas dengan syarikat UPS apabila dia didakwa mencuri satu bungkusan berisi berlian itu dan menyembunyikannya di dalam baju ketika mengendalikan satu kargo memasuki kapal terbang.

Laporan mahkamah menyatakan, Morrison percaya bungkusan itu berisi wang tunai sebaliknya apabila memeriksanya kemudian, dia terkejut mendapati ada sebentuk cincin di dalamnya.

Dia kemudian menukarkan cincin itu dengan ganja kerana ketagihan dadah.

Siasatan dalaman ekoran laporan kehilangan cincin itu mendorong pihak berkuasa menangkap Morrison dan mendakwanya di mahkamah, manakala UPS memecatnya serta-merta.

Jurucakap UPS berkata, cincin itu berjaya ditemui dan dipulangkan kepada pemiliknya.
Bercakap kepada media mengenai insiden itu, jurucakap berkenaan berkata, kejadian berlaku di Lapangan Terbang Sky Harbor.

Curi kasut lebih RM425 juta


Smith mula mencuri kasut di tempat dia bekerja sejak tujuh tahun lalu.
Smith mula mencuri kasut di tempat dia bekerja sejak tujuh tahun lalu.
SEORANG lelaki di Netherfields, Middlesbrough, England berdepan hukuman penjara kerana didakwa mencuri kasut dari Charles Clinkard dan menjualnya di laman jual beli eBay.

Kevin Smith, 33, bekerja di bahagian gudang dan mengaku mencuri pelbagai jenis kasut bernilai lebih 80,000 Pound (RM425 juta) sejak tujuh tahun lalu bermula Februari 2007 hingga tahun ini.

Menurut Mirror UK, pendakwa Jenny Haigh memberitahu Mahkamah Teesside Crown, ia jelas menunjukkan bahawa defendan terlibat dalam kesalahan itu sejak beberapa tahun lalu dan menjualnya untuk mendapatkan keuntungan.

“Clinkard menuntut ganti rugi 80,000 Pound (RM425 juta). Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk mengetahui secara tepat tempoh sebenar berlakunya kecurian dan jumlah kerugian.

“Smith telah bekerja dengan syarikat terbabit selama lebih 10 tahun. Ketika bertugas di cawangan, dia tidak mempunyai akses untuk masuk ke gudang sehinggalah pada 2011, apabila dia ditukarkan ke bahagian tersebut,” katanya.

Difahamkan, Smith memperoleh keuntungan lebih 11,000 Pound (RM58 juta) dari jualan di eBay sepanjang tahun lalu, dengan kira-kira enam pasang kasut dijual setiap minggu.

Pesawat terbesar terbang jarak paling panjang dunia

Pesawat Qantas Airbus Supe Jumbo A380 bergerak ke pintu keluar ketika pelancaran pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth di Texas hari ini. - Foto AP
FORT WORTH, Texas: Qantas menerbangkan pesawat penumpang terbesar dunia untuk laluan paling panjang di dunia.
Pesawat Airbus Super Jumbo A380 Qantas itu mendarat semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth (DFW) kira-kira 15 jam selepas berlepas dari Sydney, Australia, dalam perjalanan sejauh 13,804 kilometer.
Pesawat dua tingkat, empat enjin itu disambut dengan tembakan meriam air, kemudian ditarik ke pintu dua tingkat yang direka khas untuk upacara berkenaan.
Jurucakap Qantas berkata pelancaran penerbangan itu membawa 484 penumpang.
DFW adalah lapangan terbang besar yang menghubungkan penerbangan di seluruh Amerika Syarikat dan Latin Amerika, menjadikannya sesuai bagi pesawat berkenaan serta laluannya.
Qantas sebelum ini menggunakan pesawat Boeing 747 untuk penerbangan Sydney-Dallas, yang memerlukannya berhenti di Brisbane, Australia.
"Dengan A380 kami dapat menyediakan lebih ruangan," kata Naib Presiden Qantas Vanessa Hudson. - AP

36 disahkan terbunuh


Pasukan penyelamat di puncak Gunung Ontake yang dilitupi abu tebal semalam menemui lima mangsa baru letupan yang berlaku Sabtu lalu itu. 
Letupan puncak setinggi 3,067 meter yang terletak kira-kira 200 kilometer ke barat Tokyo itu berlaku ketika ramai pendaki, termasuk kanak-kanak berada di situ untuk menikmati pemandangan indah musim luruh. 
Foto
PASUKAN penyelamat mengusung seorang mangsa yang cedera dalam letupan Gunung Ontake, semalam.
Setakat ini 10 orang disahkan maut dalam letupan gunung berapi pertama yang menyebabkan kematian di Jepun sejak 1991. 
Seramai 63 lagi mangsa cedera, sebahagiannya mengalami patah tulang. Lapan dilaporkan hilang dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mereka antara yang maut. 

Seorang warga emas yang ditemuramah media tempatan berkata anak lelakinya berusia 26 tahun antara yang hilang. 

“Dia anak kedua kami dan kami langsung tidak mendengar khabar berita daripadanya. 

“Dia pergi ke gunung itu bersama teman wanitanya. Kami terlalu risau dan hampir putus asa,” katanya. 

Lebih 500 anggota keselamatan mencari mangsa di puncak gunung itu tanpa menghiraukan keadaan asap tebal dan debu setinggi paras lutut. 

Helikopter turut membawa mangsa satu persatu dari lokasi berkenaan sebelum usaha mencari dan menyelamat dihentikan disebabkan asap tebal yang beracun. 

Kali terakhir Ontake, gunung berapi kedua paling aktif Jepun meletup ialah tujuh tahun lalu. 
Letupan besar pertamanya direkodkan pada 1979. 

Mangsa yang ditemui berkata tiada langsung tanda-tanda gunung itu akan meletup. 

“Saya cuma menyedari apa yang berlaku selepas merasa angin panas di belakang saya lalu terus mencangkung. 
“Ketika itu saya sangka akan mati di situ,” kata seorang pendaki yang terselamat. 
Sementara itu Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata, Agensi Kaji Cuaca Jepun tidak boleh dipersalahkan kerana tiada tanda-tanda menunjukkan letupan itu akan berlaku. 


Selain itu, katanya, letupan berkenaan tidak langsung memberi kesan terhadap pemulihan loji nuklear Sendai yang juga terletak di kawasan gunung berapi aktif. 

Sementara itu, pakar berkata letupan Gunung Ontake sukar dijangka walaupun ada gegaran kecil berlaku sepanjang bulan ini disebabkan gunung berkenaan tidak menunjukkan sebarang perubahan. 

Selain itu, pakar gunung berapi Toshitsugu Fujii berkata, jenis letupan dialami memang sukar diramalkan. 

“Jenis letupan ini memang berlaku mendadak. Jadi sukar untuk mengaitkan letupan ini dengan gegaran yang dilaporkan baru-baru ini,” katanya. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Bomoh halau jin dalam rahim


Riyadh: Seorang bomoh memperkosa remaja yang mendapatkan rawatan kerana masalah psikologi selepas dia membohongi mangsa kononnya terdapat jin dalam rahimnya.

Bomoh berkenaan memberitahu gadis itu, dia mempunyai kekuatan untuk menghalau jin berkenaan dalam satu sesi rawatan saja jika dia mahu berubat di rumahnya.


Apabila mangsa yang umurnya tidak didedahkan datang ke rumah bomoh terbabit, lelaki itu merogolnya.

Polis menahan bomoh berkenaan selepas mangsa yang masih dara itu menyedari kesilapannya dan membuat laporan polis.


“Lelaki itu memberitahu mangsa rahimnya dihuni jin dan dia mahu menghalaunya,” menurut laporan akhbar tempatan, memetik kata-kata polis.


Kisah itu menjadi viral di media sosial Saudi dan ramai pembaca mengecam bomoh itu dan ada juga yang menyelar gadis berkenaan.

“Nampaknya masyarakat kita masih percaya perkara khurafat dan mengamalkan upacara sebegini atas nama agama. Kami meminta kementerian kehakiman dan dalam negeri, menghukum Raqi,” kata aktivis masyarakat terkenal negara itu, Souad Al Shammari. Bagaimanapun, seorang pembaca, Sarah Al Waleed mempunyai pendapat berbeza.


“Gadis itu yang senang-senang menyerah diri kepada bomoh itu memang bodoh,” katanya.

Seorang lagi pembaca bernama Dalal bersetuju dengan berkata: “Kenapa menyalahkan bomoh saja. Kenapalah bodoh sangat gadis itu sehingga membenarkan dirinya diperkosa.” - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Masih ada harapan


Pakar bedah Australia, Tony Holmes bertemu dengan Yahya Zohra, kanak-kanak warga Maghribi untuk kali pertama Ogos lalu bagi menilai sejauh mana dia boleh membentuk semula muka kanak-kanak itu.

“Saya percaya adalah menjadi hak bagi setiap orang untuk dilihat sebagai manusia tetapi Yahya tidak macam manusia biasa.
“Yang membimbangkan saya ialah sama ada dia sesuai menjalani pembedahan atau tidak,” kata Holmes. Yahya dilahirkan di perkampungan kecil berhampiran Tangiers tanpa mata, hidung dan rahang atas kerana tulang mukanya gagal bercantum ketika dalam kandungan.

Satu-satu rakannya ialah Heba, kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebelah rumahnya.

Bapanya, Mostapha berkata, dia sudah puas membawa Yahya dari seorang pakar ke seorang pakar untuk mendapatkan bantuan selepas anaknya dilahirkan.
Foto
Holmes bersama Yahya.
Tetapi, tidak seorang pun bersedia merawatnya.

Mujur wanita kelahiran Maghribi yang menetap di Melbourne, Fatimah Bakara terbaca kisah kanak-kanak itu di Facebook bersedia membantu dan menjejaki Holmes.
“Dia bersedia membantu Yahya dan saya sekeluarga amat berterima kasih kepadanya,” kata Mostapha.

Fatimah sendiri berdepan dengan barah payu dara apabila mengetahui nasib Yahya tetapi ia tidak menyekatnya menelefon keluarga itu untuk menyatakan kesediaannya membantu.

Holmes yang turut dihubungi Fatimah juga bersedia menghulurkan bantuan.

Pakar bedah itu akan terus memeriksa keadaan Yahya walaupun sedar prosedur itu memerlukan banyak pembedahan.

Dia berharap untuk melakukan pembedahan pertama di Melbourne menjelang tahun ini.

“Maaf cakap, kecacatan Yahya sungguh teruk. Anda boleh lihat di mana matanya sepatutnya berada. Lubang di tengah mukanya sepatutnya hidungnya. Anda boleh lihat mulutnya terbuka dan di sebelah ialah otaknya. Tidak ada tulang, kulit saja,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Anak landak tanpa duri ditemui di Scotland



PERBEZAAN antara seekor anak landak normal (kiri) dan seekor anak landak yang tidak mempunyai duri.


DUNTOCHER - Seekor anak landak yang dilahirkan tanpa duri dibadannya telah ditemui di sebuah kebun di Duntocher, Dunbartonshire di Scotland, lapor Metro.co.uk kelmarin.
Anak landak itu ditemui orang ramai di kebun berkenaan sebelum diserahkan kepada sebuah pusat penyelamat haiwan liar di bandar ini.
Pemilik pusat penyelamat haiwan liar Hessilhead, Gay Christie berkata, dia terkejut selepas seseorang menyerahkan landak itu ke pusat berkenaan.
"Anak landak ini sangat unik kerana ia tidak mempunyai bulu atau duri tetapi ia berada dalam keadaan yang sihat.
"Bagaimanapun, haiwan ini mungkin terpaksa tinggal di pusat ini sepanjang hayatnya kerana kulitnya terlalu sensitif untuk berada di hutan," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3Ek6bAJHI 
Hakcipta terpelihara 

Gambar ekstrem di pergunungan Alps



SEKUMPULAN pendaki membuat formasi peta dunia di tebing sebuah gunung di pergunungan Alps.


LIECHTENSTEIN, Switzerland - Beberapa pendaki, peluncur ski dan pemandu arah merakamkan beberapa gambar ekstrem di kawasan pergunungan Alps dekat sini sebagai salah satu cara untuk mempromosikan produk keluaran sebuah syarikat barangan aktiviti luar.
Gambar tersebut diambil oleh jurugambar profesional, Robert Bosch yang bertujuan untuk mempromosikan barangan syarikat Mammut serta sebagai persediaan menyambut ulang tahun ke-150 pendakian ke Rabung Hornligrat di pergunungan itu pada Julai 2015.
Beberapa gambar menarik yang dirakam menunjukkan pasukan itu membuat formasi bentuk 'X' di lereng gunung selain tergantung di tali dan membentuk seperti pokok kaktus pada rabung batu.
Mereka juga membuat formasi membentuk peta dunia selain berada di puncak gunung setinggi 4,158 meter. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Ek6SvmgV 
Hakcipta terpelihara 

Kanak-kanak tanpa muka


Yahya kini menerima harapan baharu untuk memiliki muka dan menjalani kehidupan secara normal. - AGENSI

RABAT 29 Sept. - Seorang kanak-kanak lelaki Maghribi yang dilahirkan tanpa muka, berpeluang untuk menjalani kehidupan secara normal apabila seorang pakar bedah Australia sedia membantunya.
Yahya El Jabaly berusia tiga tahun, dilahirkan tanpa mata, mempunyai lubang di bahagian tengah mukanya dan tiada rahang atas selepas berlaku komplikasi ketika dia masih dalam kandungan ibunya.
Portal berita Mail Online melaporkan, walaupun hidup serba kekurangan dan tidak berupaya bercakap, Yahya yang tinggal di sebuah kampung kecil jauh dari Casablanca, masih mampu meneruskan hidup dan membesar dengan gembira atas dorongan ibu dan bapanya.
Kisah kecacatan Yahya disebarkan melalui Facebook oleh kawan bapanya sebelum mendapat perhatian seorang bekas pesakit kanser payudara, Fatima Baraka yang dilahirkan berdekatan kampung kanak-kanak itu dan menetap di Melbourne.
Atas rasa simpati, Fatima secara sukarela mencari pakar bedah yang sanggup mengubah semula muka Yahya dan akhirnya dia bertemu dengan Dr. Tony Holmes yang pernah memisahkan pasangan kembar siam Bangladesh, Trishna dan Krishna.
Wanita berkenaan kemudiannya pergi ke rumah Yahya untuk bertemu keluarga kanak-kanak malang itu sebelum membawa mereka ke Australia bagi menjalani ujian imbasan otak sama ada pembedahan boleh mengubah hidup kanak-kanak tersebut.
Menurut Holmes, Yahya boleh meninggal dunia jika pembedahan tidak dilakukan dengan segera walaupun terdapat risiko yang tinggi.
Tambahnya, kanak-kanak itu akan dibedah pada Disember ini dan beliau akan membentuk semula tulang tengkorak selain memulihkan bahagian hidung Yahya.
"Yahya mungkin boleh bercakap jika pembedahan ini berjaya dan saya bukan menjalankan eksperimen ke atasnya, tetapi mahu melakukan yang terbaik bagi kanak-kanak ini," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_05/Kanak-kanak-tanpa-muka#ixzz3Ek3dQ6OT
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiga maut dirempuh trak gergasi


Trak gergasi yang gagal dikawal menyebabkan seorang kanak-kanak dan dua dewasa terkorban, manakala berpuluh penonton cedera di Belanda, kelmarin. - AGENSI
HAAKSBERGEN 29 Sept. - Seorang kanak-kanak dan dua dewasa terbunuh, sementara lebih 15 cedera apabila sebuah trak gergasi yang melakukan pertunjukan aksi ngeri hilang kawalan lalu terbabas ke arah para penonton di Belanda semalam.
Akhbar Daily Mail melaporkan, tragedi menyayat hati itu berlaku apabila trak tersebut yang baru melompat melepasi lima buah kenderaan, tiba-tiba hilang kawalan lalu meluru ke arah penonton yang menyaksikan acara berkenaan di sebuah tempat letak kereta di timur bandar Haaksbergen.
Datuk Bandar kepada kawasan yang menempatkan 25,000 penduduk itu, Hans Gerritsen berkata, kira-kira 15 hingga 30 orang cedera dalam kemalangan tersebut dan lima di antara mereka cedera parah.
Katanya lagi, tiga mangsa terkorban termasuk seorang kanak-kanak.
Sementara itu, beratus-ratus penonton yang hadir ke pertunjukan tersebut tergamam apabila trak gergasi itu terbabas ke arah kumpulan penonton yang ramai.
Pasukan ambulans udara, paramedik, jentera bomba dan polis dikejarkan ke tempat kejadian malah sebahagian pasukan kecemasan yang terlibat datang dari sekitar Jerman untuk memberi bantuan.
Sebanyak dua buah hospital terlibat melaksanakan pelan pemulihan ekoran kejadian berkenaan.
Para pegawai keselamatan memberitahu agensi media NOS, pemandu trak gergasi itu telah ditahan untuk soal siasat.
Katanya lagi, penahanan pemandu itu merupakan prosedur biasa dalam kejadian seumpamanya.
Punca kejadian masih tidak diketahui, namun beberapa spekulasi mendakwa kemalangan tersebut berlaku ekoran brek trak berkenaan gagal berfungsi.
Presiden Star Events Foundation Haaksbergen, Geerlorf Kanis berkata, pihaknya telah melakukan yang terbaik seperti diperlukan bagi memastikan keselamatan penonton yang datang menyaksikan pertunjukan berkenaan.
"Selama tujuh tahun kami telah anjurkan acara ini. Setiap tahun aksi ngeri seumpama ini kerap diadakan membabitkan kereta atau motosikal. Kami pastikan ruang yang ada luas dengan ciri-ciri keselamatan yang perlu," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140930/lu_06/Tiga-maut-dirempuh-trak-gergasi#ixzz3Ek3M5pxH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Monday, September 29, 2014

Jadi Genius selepas dibelasah Samseng






Jason Padgett
Jason Padgett
Setiap orang sudah semestinya mahukan dirinya menjadi seorang genius. Dalam erti kata lain berilmu dalam sesuatu perkara. Bagi untuk mencapai status genius itu adakalanya adalah secara semula jadi, tetapi ada juga yang sentiasa berusaha untuk ke arah itu. Terdapat seorang lelaki yang dikenali sebagai Jason tidak memiliki sebarang kelulusan malah dianggap sebagai budak kurang pintar. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila dirinya menjadi genius setelah dibelasah oleh sekumpulan samseng jalanan. Ikuti kisah di bawah ini.
Jason Padgett BrainHanya dalam tempoh satu malam, selepas dibelasah oleh sekumpulan samseng, Jason berubah menjadi bijak sehingga memiliki kecerdasan tinggi yang luar biasa.
Sejak kecil, Jason yang berasal dari Tacoma, Washington bukanlah seorang budak pintar. Malah, hingga ke hari ini, dia langsung tidak mempunyai sebarang ijazah walaupun pernah melanjutkan pelajaran ke kolej.
Bagaimanapun, Jason tidak dapat menghabiskan pelajarannya selepas disingkir kerana tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh pihak kolej.
Dengan gelaran bekas mahasiswa yang dibuang dari kolej, Jason hanya mampu bekerja dan menjawat jawatan sebagai penyelia kedai perabot. Biarpun bekerja, banyak masanya dihabiskan dengan berpesta dan berpoya-poya. Pendek kata, dia berminat dengan dua perkara sahaja, bekerja dan berhibur di kelab malam.
Sehinggalah pada suatu malam, ketika dia berjalan keluar selepas berpesta di sebuah kelab karaoke di Tacoma, Jason diserang oleh sekumpulan samseng. Mereka memukul dan menendang kepalanya berkali-kali semata-mata mahu mencuri jaket kulit yang dipakainya berharga $99 dolar.
Ketika itu menurut Jason, tiada apa yang boleh dilakukannya selain memikirkan mati. Dia sedaya-upaya melawan dan cuba mengecam wajah-wajah suspek tapi tidak berjaya. Apa yang dilihatnya hanyalah cahaya terang seperti kilat, sebelum dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Ajaib, dia bukan saja terselamat dalam serangan itu, malah menerima hadiah berupa misteri matematik. Dua hari selepas kejadian itu, Jason merasakan dirinya ada sesuatu yang berbeza. Dia tiba-tiba mampu melukis diagram yang mewakili rumus-rumus matematik dalam pelbagai bentuk format.
Formula dalam bentuk gambar rajah ini dipanggil Fractals. Malah, gambar Fractals buatan Jason dilihat sangat teliti dan rumit untuk dibuat secara manual. Walhal, sebelum ini dia langsung tidak mampu menggambarkannya sama sekali.
Jason juga tidak lagi melihat dunia dengan cara yang sama seperti kebanyakan orang. Dimana-mana sahaja, dia melihat formula matematik yang kompleks seperti Teorem Pythagoras.
Ibaratnya, mata lelaki ini seperti sebuah skrin yang tidak pernah berhenti memaparkan rumus-rumus dan formula matematik. Malah, setiap benda yang ada lekukan atau lingkaran, semuanya terlihat seperti diagram matematik.
Bakat luar biasa Jason yang terserlah selepas tragedi itu telah menarik perhatian ramai ahli perubatan dari seluruh dunia. Setiap mereka cuba memahami dan mencari jawapan sebenar bagaimana otak berfungsi sehingga berubah sebegitu rupa.
Pakar Neurosains dan Falsafah dari Pusat Neurodynamics, Universiti of Missouri-St. Louis, Profesor Berit Brogaard, antara pakar yang serius ingin mengetahui keadaan otak Jason. Profesor Brogaard bersama pasukannya kemudian terbang ke Finland untuk menjalankan satu siri ujian ke atas Jason.
Jason Padgett Brain
Hasil pemeriksaan menunjukkan kawasan otak Jason yang mengawal matematik dan imej mental didapati menyala. Profesor Brogaard menjelaskan, kerosakan yang disebabkan oleh serangan itu telah menyebabkan beberapa bahagian otak yang lazimnya tidak boleh diakses terdedah.
Penyelidik percaya, kerosakan yang berlaku pada otak Jason telah memberikannya hadiah yang luar biasa dalam dunia matematik. Keadaan inilah yang membuatkan beliau memiliki kecerdikan luar biasa setara dengan manusia super.
Kebolehan mengagumkan ini menjadikan dia satu-satunya manusia di dunia yang diketahui mempunyai kemahiran dan kepakaran matematik hanya disebabkan oleh kecederaan kepala. Sama seperti ahli matematik yang cemerlang seperti John Nash dalam filem Hollywood, A Beautiful Mind, lakonan Russell Crowe.
Apabila ditanya pendapat beliau sama ada bakat genius itu sebuah hadiah ataupun bebanan, Jason berkata, perasaannya bercampur aduk.
Kadangkala katanya, dia benar-benar ingin menghentikan saja bakat baru yang diperolehinya itu. Bagaimanapun, daripada sudut lain, ia sebenarnya memberi banyak kebaikan daripada keburukan.
Menurut Profesor Brogaard, keadaan yang dialami Jason dikenali sebagai Sindrom Savant. Ia adalah suatu keadaan di mana individu dengan gangguan perkembangan saraf, gangguan autisme, terutama spektrum atau kecederaan otak, menunjukkan kapasiti yang mendalam atau kemampuan yang jauh melebihi dari apa yang dianggap normal.
Sehingga sekarang, tidak ada kesepakatan tentang berapa ramai orang memiliki keterampilan Sindrom Savant.
Namun, berdasarkan perkiraan, satu dari sepuluh orang penghidap autisme mengalami keadaan ini.
http://um-fabolous.blogspot.com/2014/09/jadi-genius-selepas-dibelasah-samseng.html#

Subhanallah! Lelaki Berusia 137 Tahun Hanya Bangun Untuk Solat (Video)

susulanRIYADH- Seorang lelaki yang didakwa berusia 132 tahun (ada yg mengatakan 13 tahun) di Arab Saudi didapati menghabiskan masanya dengan tidur tetapi dia akan tersedar setiap kali tiba waktu solat, lapor sebuah akhbar tempatan.
Warga emas itu akan bangkit daripada tidur dengan dibantu anak lelakinya untuk menunaikan solat setiap kali bunyi azan kedengaran.
Aksi lelaki itu dirakamkan dalam satu klip video pendek dan dimuat naik di laman perkongsian video YouTube.
Dalam rakaman tersebut, lelaki itu dilihat sedang tidur nyenyak apabila anak lelakinya meletakkan tangan di kepala bapanya dan menyatakan waktu solat telah tiba.
Lelaki tua dan uzur itu yang pada mulanya sukar bergerak menjawab ‘azan’ dalam nada rendah (lemah) dengan air matanya mula menitis.
Keadaan ayah saya ini sepatutnya menjadi satu pengajaran kepada kita semua,” kata anaknya. Namun, akhbar berkenaan tidak mendedahkan lokasi kediaman lelaki tersebut.
http://um-fabolous.blogspot.com/2014/09/subhanallah-lelaki-berusia-137-tahun.html

Video remaja dibaham harimau terus viral


Video remaja dibaham harimau terus viralNEW DELHI - INDIA. Video kisah malang seorang remaja yang berdepan detik-detik mencemaskan sebelum maut dibaham seekor harimau putih masih terus menjadi perbualan hangat.

Lebih menyedihkan, sekeping gambar yang menunjukkan saat-saat akhir remaja itu kini mula menjadi viral di laman sosial dan video yang berdurasi dua minit 15 saat mula dimuat naik di laman sosial, Youtube.

Menerusi video tersebut, mangsa yang berada dalam ketakutan tidak mampu berbuat apa-apa.

Memetik laporan AFP, rata-rata pengguna laman sosial meluahkan rasa simpati kepada remaja terbabit.

Laporan itu dipetik, harimau putih itu menyerang dan membunuh yang dipercayai terjatuh ke dalam sebuah kandang yang menempatkan haiwan tersebut di sebuah zoo, di India.

Pengunjung yang turut sama berada di tempat kejadian cuba untuk membantu mangsa dengan membaling kayu serta batu, namun usaha mereka dilihat gagal.

Sebaliknya, harimau tersebut menerkam mangsa di bahagian leher.

‘Teruja’ hadapi tuduhan jenayah


Bagaimanapun, Michael Whitington kelihatan tidak kesal, sebaliknya teruja ketika gambarnya dirakam oleh polis. 
Lelaki berusia 45 tahun itu dituduh merompak sebuah bank dan kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta api. 

Polis berjaya menangkap Whitington tidak lama selepas itu, lapor stesen televisyen ABC.
Foto
WHITINGTON.
Foto
SONYA.

Bagaimanapun, dia kelihatan gembira untuk mengikuti prosiding di balai polis dan melemparkan senyuman ketika gambarnya diambil selepas tuduhan terhadapnya dibacakan.

Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Denver County hari ini. 

Whitington bukanlah satu-satunya tahanan yang kelihatan gembira ketika menghadapi tuduhan melakukan jenayah berat. 

Pada 6 September lalu, polis menyiarkan gambar seorang wanita berusia 24 tahun tersenyum selepas dia mengaku mengguna beg plastik untuk membunuh dua anaknya di rumahnya di Maryland. 

Sonya Spoon ditahan tanpa diberi peluang untuk diikat jamin selepas menghadapi tuduhan membunuh dengan niat berkait dengan kematian anaknya, Ayden yang berumur setahun dan Kayla, tiga. 

Tetapi selepas dia dimaklumkan akan ditahan sehingga dibicarakan, Sonya melemparkan senyuman di depan kamera polis. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Culik budak buat isteri


Colombo: Seorang lelaki yang mendakwa disisihkan oleh wanita, menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun untuk membesarkannya sebelum dijadikan isteri.

Lelaki itu dilapor menculik kanak-kanak berkenaan minggu lalu ketika keluarga mangsa tidur.


Dia kemudian menyembunyikan kanak-kanak itu di hutan di Wellawa dan memberikannya makanan yang dicuri dari rumah jirannya.

Selepas mendapati sukar untuk berbuat demikian, lelaki itu membawa pulang kanak-kanak berkenaan ke rumahnya dan menyorok mangsa di bawah katil.


Dia dilapor mengikat mulut kanak-kanak itu untuk memastikan dia tidak menjerit.

Perbuatan lelaki itu terbongkar apabila abangnya yang tinggal di sebelah rumahnya, terserempak dengan kanak-kanak itu.

Apabila dia menyoal suspek mengenai kanak-kanak itu, lelaki berkenaan bertindak menikam abangnya.

Bagaimanapun, si abang berjaya menangkap lelaki itu dan menyelamatkan kanak-kanak itu sebelum membuat laporan polis.

Sementara itu, suspek sempat melarikan diri sebelum polis tiba.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya apabila dia berjaya ditangkap oleh orang ramai dan dibelasah sebelum polis mengambil keputusan untuk campur tangan.

Lelaki itu sebelum ini dipercayai menculik tiga kanak-kanak lain dengan tujuan yang sama.

Mangsa dihantar menjalani permeriksaan di hospital tetapi disahkan tidak diapa-apakan.

Dalam pada itu, lelaki berkenaan mengaku kepada polis dia menculik kanak-kanak berkenaan bukan untuk dibunuh, sebaliknya untuk memelihara dan membesarkan mangsa untuk dijadikan isteri kerana selama ini tidak ada wanita yang sudi menerimanya menjadi suami.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

31 dipercayai mati


Polis berkata, semua mangsa ditemui tidak sedarkan diri dengan degupan jantung terhenti, tetapi enggan mengesahkan kematian mangsa kerana menunggu bedah siasat dijalankan.
Seorang pegawai bertugas berkata, usaha menyelamat terpaksa dihentikan berikutan peningkatan paras toksik berhampiran kawasan kawah Gunung Ontake dan keadaan yang semakin gelap.

Ratusan pengunjung termasuk kanak-kanak terperangkap di gunung berkenaan, kawasan pendakian popular dalam kalangan rakyat tempatan dan antarabangsa, selepas letupan tiba-tiba berlaku kelmarin, memuntahkan debu meliputi kawasan sejauh lebih 3 kilometer.
Foto
ORANG ramai terpaksa mengguna topeng bagi melindungi diri mereka daripada debu gunung berapi.
Foto
KEPULAN asap kelihatan keluar di celahan gunung itu semalam.
Foto
ANGGOTA bomba dan pasukan penyelamat mengusung seorang mangsa yang diselamatkan.

Kebanyakan pengunjung turun dari gunung itu kelmarin namun kira-kira 40 yang lain bermalam berhampiran kawasan kawah.

Media tempatan melaporkan seorang mangsa memberitahu, bumbung kawasan penginapannya rosak teruk akibat dihujani batu yang dimuntahkan Ontake, sekaligus memaksa pengunjung berlindung di bawah bangunan berkenaan.

Letupan berkenaan turut mencederakan 40 orang. Ada yang patah tulang. 
Sebelum ini, Agensi Pengurusan Kebakaran dan Bencana berkata, pihak berkuasa berusaha mengesan lokasi 45 mangsa lain.

Masih belum dapat dipastikan sama ada 45 mangsa itu termasuk dalam 31 mangsa yang dipercayai mati. 

Sementara itu, gunung berapi berkenaan terus memuntahkan debu dan kesan kesannya dilihat pada kenderaan yang terletak sejauh 80 kilometer dari kawasan berkenaan.

Letupan gunung berapi kerap berlaku di Jepun yang tergolong antara negara yang paling aktif berlaku pergerakan seismik, namun tidak pernah menyebabkan kematian sejak 1991.

Kali terakhir gunung berapi kedua tertinggi di Jepun yang terletak 200 kilometer di barat Tokyo itu memuntahkan laharnya ialah tujuh tahun lalu dan letupan terbesar berlaku pada 1979.

Seorang pengunjung, Satoshi Saito, 52, berkata dia turun dari kawasan berkenaan kurang sejam sebelum letupan berlaku.

Saito berkata, cuaca pada hari itu amat baik dan kawasan gunung yang terkenal dengan pemandangan musim luruh yang indah, dipenuhi pelawat yang ingin merakamkan suasana berkenaan.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Potong kaki tersepit celah batu


Tsenolo Shadrack Rasello berusaha mencari air di gunung Magaliesber di sini awal Jumaat lalu.
Namun, selepas kakinya tersekat di celah batu, dia menelefon pasukan penyelamat dengan mengguna telefon bimbit. 

Mereka cuba menariknya keluar dengan memecahkan batu dan mengguna pelincir.
Foto
PASUKAN penyelamat menanti pakar bedah memotong kaki Rasello.

Bagaimanapun, semalam, pasukan itu semakin bimbang mengenai kesihatan mangsa selepas dia terperangkap selama lebih 50 jam dan mengambil keputusan memotong kakinya.

Ketua pasukan penyelamat berkata, dia terpaksa menjelaskan kepada lelaki itu mengenai keputusan itu kerana sudah tidak ada jalan lain untuk menyelamatkannya. 

Bagaimanapun, Rasello, 26, memahami keadaan itu dan dilapor berkata: “Begini, jika anda perlu memotong kaki saya, potonglah, asalkan saya dapat keluar dari sini.” 

Kejadian itu hampir sama dengan peristiwa yang menimpa Aron Ralston yang memotong sendiri tangannya dengan pisau lipat selepas ia tersekat selama 127 jam di celah batu di Utah, Amerika Syarikat pada 2003.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Gunung berapi meletup: 4 maut


PASUKAN Pertahanan Jepun membantu menarik pendaki yang cedera dalam insiden gunung berapi Ontake meletus, naik ke atas helikoter untuk dihantar ke hospital berdekatan, semalam. - REUTERS
TOKYO 28 Sept. - Sekurang-kurang empat orang pendaki disahkan terbunuh, manakala 30 yang lain ce­dera dalam kejadian gunung berapi meletup petang semalam.
Pasukan penyelamat bertungkus lumus mengeluarkan mayat pendaki berdekatan puncak Gunung Ontake setinggi 3,067 meter di tengah Jepun.
"Seramai empat daripada 31 pendaki ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia, kesemua mereka adalah lelaki," kata seorang saksi kepada saluran NHK.
Pasukan polis daerah Nagano berkata, maklumat lengkap tentang lokasi mangsa itu ditemui, hari ini dan identiti mereka masih tidak diketahui.
Beberapa buah helikopter tentera dikerah mengeluarkan tujuh daripada mangsa itu di sebuah kawasan pergunungan di tengah Jepun hari ini selepas sebuah gunung berapi meletus, semalam.
Seramai 550 orang anggota tentera, polis dan penyelamat turut dihantar untuk mencari mang­sa yang cedera dan terkandas di gunung berkenaan.
Gunung Ontake meletus pagi semalam, memuntahkan asap tebal dan gas ke udara serta menyelubungi kawasan sekitarnya dengan debu panas.
Seramai 250 orang dipercayai terperangkap di beberapa kawasan cerun di pergunungan itu, namun kebanyakan mereka berjaya turun dari gunung tersebut pada malam semalam.
Agensi Pengurusan Bencana dan Kebakaran Jepun berkata, sekurang-kurangnya 34 pendaki didapati cedera termasuk 12 da­ripada mereka cedera parah.
- AGENSI/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_05/Gunung-berapi-meletup-4-maut#ixzz3EeH32W95
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Wanita catat rekod larian amal

Amy Hughes

LONDON 28 Sept. - Seorang wanita Britain memecahkan rekod dunia apabila melengkapkan larian maraton paling banyak secara berturut-turut dalam tempoh 53 hari.
Menurut laporan pertal berita Mail Online, Amy Hughes memadamkan rekod Akinori Kusuda dari Jepun yang menyertai 52 pertandingan maraton dalam tempoh 17 minggu antara 30 Januari dan 22 Mac pada 2009.
Menurut laporan tersebut, wanita Britain itu yang merupakan seorang pakar terapi sukan, mencipta nama apabila menyertai 53 pertandingan larian maraton untuk kutipan amal, bermula pada 6 Ogos lalu di Chester sehingga 27 September lalu di Manchester.
Tambah Mail Online, secara keseluruhannya, Amy melengkapkan larian sejuah 2,233 kilometer dalam pertandingan yang diadakan di seluruh seluruh.
Usahanya itu berjaya mengutip wang lebih 20,000 pound (RM105,880) untuk Yayasan Isabelle Lottie bagi membantu kanak-kanak yang menghidap ketumbuhan otak.
Wanita berasal dari Oswestry, Shropshire itu secara puratanya mengambil masa lima jam 20 minit untuk menamatkan setiap larian maraton yang disertainya.
Kata Amy, dia menyertai larian tersebut kerana anak perempuan kawannya menghidap ketumbuhan otak dan ingin membantu golongan terbabit melalui larian amal.
"Melalui acara ini, saya juga dapat bertemu ramai orang yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang hebat, selain menarik perhatian masyarakat umum untuk menyumbang melalui larian ini.
"Pengalaman ini sangat bermakna buat saya yang pertama kali terlibat dalam aktiviti amal," kata wanita berusia 26 tahun itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_09/Wanita-catat-rekod-larian-amal#ixzz3EeGkaYiI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Labi-labi berkepala dua ditemui di AS


IMEJ menunjukkan anak labi-labi berkepala dua yang ditemui di Amerika Syarikat, semalam. - AGENSI
AUGUSTA, Amerika Syarikat, 28 Sept - Seorang wanita di Maine menemui seekor anak labi-labi berkepala dua yang cuba melintas sebatang jalan di Augusta, Amerika Syarikat (AS), semalam.
Akhbar Daily Mail melaporkan, Kathleen Talbot memberitahu WLBZ-TV, dia menemui anak labi-labi itu ketika dia sedang memantau sekumpulan anak labi-labi yang baharu menetas melintasi jalan raya dengan selamat.
"Pada mulanya saya sangka ia memiliki dua kaki di bahagian hadapan. Saya sangka labi-labi itu cacat.
"Saya hanya menyedari ia berkepala dua setelah membawanya pulang ke rumah dan membasuhnya. Labi-labi itu mula menggerakkan kepalanya kerana kelaparan," kata wanita itu.
Stesen televisyen itu melaporkan reptilia itu kemudian diberi nama Frank dan Stein.
"Saya telah belikan reptilia itu makan pelet dan saya tidak pasti sama ada ia menyukainya atau tidak. Namun, labi-labi itu suka makan cacing, lalat dan burger daging.
"Saya bukan berniat mahu memeliharanya, namun sekadar membantu memberi permulaan hidup yang baik untuknya. Mungkin saya akan hantarnya ke Aquarium New England atau tempat lain," kata Talbot kepada akhbar Bangor Daily News, yang mendakwa labi-labi yang dijumpainya itu kini mampu makan dengan menggunakan kedua-dua kepalanya.
Seorang Pakar Biologi Hidupan Liar daerah, Derek York berkata, dia pernah membaca mengenai situasi seperti ini sebelum ini.
"Apa yang penting tentang labi-labi berkepala dua ini ialah anda perlu berhati-hati dan pastikan ia tidak lemas.
"Haiwan itu mudah tersangkut jika terbalik dan tidak mampu membetulkan kedudukannya kembali berbanding dengan labi-labi berkepala satu," katanya, sambil menambah kata, labi-labi berkepala dua tidak hidup lama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140929/lu_10/Labi-labi-berkepala-dua-ditemui-di-AS#ixzz3EeGYy4Yy
© Utusan Melayu (M) Bhd