Pages

Thursday, July 3, 2014

Kem ala tentera untuk penagih internet


BEBERAPA remaja dihukum melakukan tekan tubi di Pusat Pendidikan Qide, Beijing pada 19 Februari lalu.


BEIJING - Sekumpulan remaja termasuk gadis menyertai kem-kem yang diselia bekas-bekas askar China sebagai cara untuk menghapuskan ketagihan mereka melayari internet.
Terdapat kira-kira 250 kem seperti itu di China dengan menggunakan kaedah pembelajaran yang lebih agresif berbanding di klinik-klinik di Amerika Syarikat (AS).
Beberapa klinik di AS menawarkan perisian kawalan dan membuat sekatan ke atas laman web selain menguatkuasakan larangan melayari internet ke atas para penagih internet.
Ibu bapa remaja di China menghantar anak-anak mereka ke kem-kem tersebut selepas terdapat peningkatan bilangan golongan muda yang menghabiskan banyak masa bermain pelbagai jenis permainan internet.
Kebanyakan golongan muda itu bermain permainan internet bagi melarikan diri daripada persaingan sengit di dalam negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu.
"Ibu bapa saya mahu saya belajar di rumah pada setiap hari dan saya tidak dibenarkan untuk bermain di luar rumah," kata seorang remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Wang.
Sebagai tindak balas, dia kemudian melayari internet dan menumpukan masanya dengan bermain permainan menembak yang diminatinya di internet.
Wang pernah bermain internet selama tiga hari berturut-turut sehinggakan dia hanya tidur kurang sejam.
"Disebabkan saya ketagih dengan permainan itu, keputusan peperiksaan sekolah saya menurun.
"Namun, saya memperoleh satu lagi perasaan mengenai pencapaian diri saya dengan bermain permainan itu," kata Wang.
Seorang ahli psikologi yang menubuhkan sebuah kem untuk para penagih internet itu, Rao Ran berkata, Wang hilang keyakinan apabila gagal untuk memenuhi hasrat ibu bapanya untuk melihat anak-anak berjaya dalam hidup.
Menurut Ran, anak-anak itu kemudian terdedah dengan kemurungan dan kebimbangan selepas gagal memenuhi hasrat ibu bapa mereka.
Anak-anak itu kemudian bertindak untuk tidak berada bersama dengan rakan-rakan dan keluarga masing-masing sehingga menyebabkan mereka menjadi ketagih dengan internet.
Wang menghadapi masalah ketagih internet selama dua tahun di rumah dan sekolahnya. Dia kemudian disahkan menghidap ketagihan internet dan dihantar ke kem milik Ran yang dikenali sebagai Pusat Pendidikan Qide di sini.
Sebanyak 70 peratus daripada 110 remaja yang dirawat di pusat itu menghidap masalah disebabkan melayari internet secara keterlaluan.
Kebanyakan mereka bermain permainan internet.

DUA remaja memasak di Pusat Pendidikan Qide, Beijing.


Guru-guru dan pengajar ketenteraan memilih golongan remaja untuk memasuki pusat itu atas permintaan ibu bapa mereka.
Golongan remaja itu akan mengikuti arahan yang disampaikan dengan menggunakan kaedah ketenteraan sebagai cara untuk menghapuskan ketagihan internet yang dihidapi mereka.
Seorang pegawai di pusat itu, Xing Liming berkata, keadaan fizikal golongan itu adalah amat lemah.
"Keghairahan mereka terhadap internet telah menjejaskan kesihatan dan mereka kehilangan kemampuan untuk melibatkan diri dalam kehidupan normal," katanya.
Golongan remaja itu perlu memakai uniform tentera dan membasuh pakaian serta memasak.
"Pendidikan dan tinggal dalam suasana ketenteraan menjadikan mereka lebih berdisiplin dan memulihkan kemampuan mereka untuk hidup secara normal," kata Liming.
Kursus itu melibatkan tempoh antara empat hingga lapan bulan.
Antara kursus yang ditawarkan di pusat itu ialah kelas muzik dan tarian singa.
Sesi kaunseling dan psikologi turut disediakan bagi membantu golongan remaja tersebut membina keyakinan diri dan memperbaiki hubungan dengan keluarga dan rakan-rakan mereka.
"Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang pereka permainan.Namun, saya menyedari, saya tidak akan berjaya menjadi pereka permainan kerana mata pelajaran matematik dan bahasa Inggeris saya tidak bagus," kata seorang remaja yang bernama He, 23.
Dia mengikuti kursus selama enam bulan untuk menghapuskan ketagihan internet.
Remaja itu kini memperoleh minatnya yang baharu iaitu memasak.
"Saya berharap, memasak akan membantu saya memperoleh pekerjaan," katanya.
Namun, sebuah pusat seperti itu kini disaman oleh seorang ibu yang menyatakan ketagihan internet anaknya semakin buruk selepas dia mengikuti kursus itu pada tahun lalu. - Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0703&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz36MN9kvh9 
Hakcipta terpelihara 

No comments: