Pages

Sunday, June 15, 2014

Risalah dibalut kulit manusia

Risalah   dibalut kulit manusia
Kulit depan buku Des Destinees abad ke-19 dibuat
menggunakan kulit manusia. 
Cambridge: Saintis Universiti Harvard membuat penemuan menggemparkan apabila mendapati risalah Perancis dari abad ke-19 di perpustakaan institusi itu dibalut dengan kulit manusia. Penemuan itu disahkan Universiti Harvard minggu ini, selepas beberapa ujian saintifik dijalankan.

Naskhah oleh Arsene Houssaye berjudul “On the destiny of the soul” adalah sebahagian daripada koleksi buku antik dari Perpustakaan Houghton, yang mengkhusus dalam naskhah unik dan jarang ditemui.

Saintis dan pakar membaik pulih menggunakan beberapa kaedah untuk menguji asal usul bahan kulit buku menggunakan sampel mikroskopik. Menerusi ujian ini, mereka menolak kemungkinan bahawa kulit buku itu dibuat daripada kulit kambing, biri-biri atau haiwan lain.
“Mereka 99 peratus yakin bahawa kulit buku itu berasal dari manusia,” kata satu pos dalam blog perpustakaan itu, memetik kata-kata pakar kanan membaik pulih buku, Alan Puglia.

Kesimpulan itu mengesahkan kebenaran nota tulisan tangan dalam bahasa Perancis yang dijumpai di dalam buku itu, yang mengatakan ia dibalut “menggunakan kertas kulit manusia.”

“Jika dilihat dengan diteliti, anda dengan mudah dapat mengesan pori-pori kulit,” tambah nota yang ditulis seorang doktor juga sahabat kepada Houssaye yang hidup sekitar 1815 hingga 1896. - AGENSI

No comments: