Pages

Tuesday, June 10, 2014

Kebaikan berpuasa


LOS ANGELES 9 Jun - Satu kajian baharu mendapati, amalan berpuasa selama dua hari atau lebih dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh manusia.
Saintis dari California yang menjalankan kajian tersebut menyatakan, pesakit kanser merupakan individu yang paling banyak mendapat manfaat daripada berpuasa kerana amalan itu boleh membantu sistem imunisasi yang terjejas akibat rawatan kemoterapi.
Menurut akhbar Daily Mail yang melaporkan penemuan tersebut, apabila sistem imunisasi manusia pulih, keadaan itu boleh menggalakkan badan menggantikan sel-sel lama yang telah rosak.
Pakar jangka hayat dari Universiti Southern California, Profesor Valter Longo berkata, apabila lapar, sistem badan cuba menjimatkan tenaga dan satu perkara yang dilakukan adalah mengitar semula sebanyak mungkin sel-sel imunisasi yang tidak diperlukan, terutamanya yang rosak.
Pasukan penyelidiknya juga mendapati, amalan berpuasa selama dua hingga empat hari setiap enam bulan membolehkan badan menggunakan simpanan lemak dan gula serta menghapuskan sel-sel rosak.
"Badan kemudian bertindak balas dengan menghantar isyarat memberitahu sel-sel stem untuk menjana dan membina semula keseluruhan sistem badan.
"Jika satu sistem itu telah rosak teruk setelah melakukan rawatan kemoterapi dan akibat penuaan, berpuasa secara perlahan-lahan dapat menjana sistem imunisasi badan yang baharu," kata Longo.
Kajian yang dilakukan mendapati, sebelum melakukan rawatan kemoterapi, seseorang pesakit barah akan hilang sedikit sel-sel darah putih jika mereka berpuasa selama 72 jam.
Puasa juga mengurangkan kesan-kesan kurang sihat dan kematian dalam tikus yang terdedah kepada ubat-ubatan kemoterapi dan meningkatkan imunisasi bagi tikus yang tua.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140610/lu_12/Kebaikan-berpuasa#ixzz34BKTllMl
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments: